Berhubung ini, terlebih dahu­lu, saya ingin merakamkan se­tinggi-tinggi tahniah dan me­nyambut baik usaha murni lagi penuh bermakna ini oleh Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang dipengerusikan oleh Datuk Jefridin Atan, dalam menganjurkan siri syarahan yang penuh bermanfaat ini.

Sesungguhnya, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau lebih mesra disapa dan kenali dengan nama ‘Pak Lah’ oleh hampir kesemua rakyat Malaysia, sejak dahulu, ialah seorang tokoh yang terbilang dalam sejarah negara Malaysia.

Justeru, apabila saya sedang menukil catatan syarahan perdana ini, apa yang terlintas dan tersuara dari lubuk sanubari saya, Pak Lah, dari perspektif tidak formal, bukan sahaja secara peribadi merupakan rakan karib kepada keluarga saya, akan tetapi saya ingin disebut dengan jelas bahawa, Tun Abdullah tersemat di hati saya sebagai seorang abang, teman rapat dalam susah dan senang, serta yang paling penting, antara insan yang sangat mulia hatinya yang pernah saya kenali.

Berbalik kepada program ini, saya difahamkan inisiatif Syarahan Tun Abdullah Ahmad Ba­da­wi ini, diilhamkan sebagai sa­tu platform tahunan untuk me­ngundang para sarjana dan tokoh dari pelbagai bidang untuk mem­bicara serta mewacanakan susur galur pemikiran dan sumbangan-sumbangan Tun Abdullah sepanjang karier beliau, sejak menjadi seorang pentadbir, sehinggalah menjawat sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO serta seterusnya perjuangan beliau sehingga hari ini.

Seperti mana kita semua sedia maklum, Tun Abdullah yang adalah Perdana Menteri Malaysia kelima, dikenali sebagai ‘Bapa Pembangunan Modal Insan’. Dalam me­ngetengahkan kepentingan mo­dal insan terhadap pembangunan negara, Tun Abdullah sering menekankan hal pemupukan dan pembangunan kemahiran insa­niah sebagai modal yang terpenting dalam pembikinan kemajuan negara. Antara kata-kata Tun Abdullah dalam banyak ucapan beliau di pelbagai majlis dan forum, ‘we don’t want in Malaysia a situation where we have a first class facility or infrastructure, but a third class mentality’.

Pada hemah saya, apa yang Tun Abdullah nyatakan dan maksudkan ini memang benar. Mempunyai kemudahan dan prasarana serta bangunan batu bata atau brick and mortar, yakni pencapaian fizikal semata-mata tanpa diimbangi elemen manusia, yakni modal insan yang terlatih, berilmu, berakhlak mulia, berkemahiran, mampu berfikir dengan daya intelektual yang par excellence, segalanya tidak akan bererti.

Malah, ketika Tun Abdullah menjadi Perdana Menteri, semasa melancarkan Rancangan Malaysia Kesembilan, melalui Misi Nasional, telah ditekan objektif untuk memastikan matlamat kemajuan negara adalah bersifat holistik dan seimbang bagi faedah rakyat.

Tun Abdullah juga sering me­ngetengahkan soal mening­katkan nilai tambah dalam ekonomi negara, meningkatkan ke­upayaan pengetahuan, kreativiti dan ino­vasi negara serta memupuk ‘min­da kelas pertama’, menanga­ni masalah ketidaksamaan sosio­ekonomi serta membina dan pro­duktif, meningkatkan tahap serta kemampanan kualiti hidup dan mengukuhkan keupayaan institusi serta pelaksanaan negara dan memberi keutamaan pada pembentukan integriti dalam kalangan masyarakat.

Pada sisi lain, saya amat menghormati Tun Abdullah sebagai se­orang pemimpin yang cen­de­rung mengangkat martabat Is­lam dan golongan agamawan. Ti­dak hairanlah, memandangkan latar belakang pengajian beliau ­datangnya di bidang sastera dalam bidang pengajian Islam dari Universiti Malaya.

Oleh kerana itulah, selain se­ring memperkatakan tentang modal insan, Tun Abdullah turut mengimbangkan ciri pembinaan tamadun negara, civilization approach in Islam yang diselaras­kan dalam pemikiran beliau me­nurut kerangka Manhaj Hadhari.

Melalui Manhaj Hadhari, Tun Abdullah menggariskan 10 prinsip penting antaranya, keimanan dan ketakwaan kepada Allah, kerajaan yang adil serta beramanah, penguasaan ilmu pengetahuan, kehidupan berkualiti dan keutuhan budaya serta moral.

Justeru, apabila saya mengambil alih sebagai Perdana Menteri, saya kira amat molek bagi saya, meneruskan segala prinsip asas yang telah digagaskan oleh Tun Abdullah. Makanya, melalui falsafah 1Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan, pada hemah saya, ia adalah satu kesinambungan wawasan di era kepimpinan saya yang menjadi tali-temali, kepada apa yang diusahakan sehingga zaman Pak Lah. Malah, demi menjengah masa depan negara, kini, seluruh dunia berada di ambang apa yang disebutkan the fourth industrial revolution, yang datang dan kombinasi pelbagai bentuk agen perubahan seperti teknologi maklumat dan internet, robotik,teknologi nano, task automation serta percetakan 3D.

Sesungguhnya lagi, saya hadir pada petang berbahagia ini, jika diikutkan, terlalu banyak jasa, sumbangan, khidmat bakti dan pengorbanan serta perkara yang boleh saya senaraikan tentang Tun Abdullah.

Sebentar tadi kita lihat ­pa­meran bagaimana kelahiran Ins­titut In­tergriti Nasional, kurikulum J-Qaf di sekolah-sekolah, kewujudan Halal Corporation dan bagi diri saya setiap kali saya mem­pengerusikan pembangunan Ko­ridor Wilayah Iskandar, Ko­ri­dor Pantai Timur, East Coast Economic Coridor dan Northern Economic Coridor, saya teringat bahawa ini semua adalah legasi Pak Lah kepada negara.

Bagi tujuan ucapan dan pe­nyampaian syarahan ini, barang kali saya boleh simpul dan ringkaskan beberapa hal yang utama tentang tokoh negarawan budiman, setia lagi terbilang ini, antaranya:

Pertamanya: Saya ingin memberikan satu penghormatan kepada Tun Abdullah, Perdana Menteri Malaysia kelima, yang juga Presiden UMNO keenam, yang telah mencurah bakti, mengkhidmati rakyat dengan penuh tekad sejak tahun 1964 lagi, yang bermula hanya sebagai seorang pentadbir di sektor perkhidmatan awam.

Kedua: Bagi pihak diri saya dan keluarga, saya ingin memberikan penghargaan atas jasa serta pe­ngorbanan Tun Abdullah, khususnya ketika beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Gerakan Negara atau Mageran, bagi membantu ayahanda saya Tun Abdul Razak sebagai ketuanya, di saat negara telah diuji dengan tragedi hitam rusuhan kaum pada tahun 1969.

Begitu rapatnya hubungan Pak Lah dengan Allahyarham Tun Razak sehinggakan Pak Lah beberapa kali sebut kepada saya bahawa, ‘You are the biological son of Tun Razak. I am his political son’.

Ketiga: Saya ingin menghargai kesetiaan Pak Lah selama ini, yang walau apa pun berlaku, beliau terus memberi sokongan padu dan berdiri teguh bersama kerajaan, parti UMNO dan Barisan Nasional dan tidak sesekali terlintas untuk mengkhianati parti jauh keluar dari parti UMNO yang dikasihi.

Berbalik kembali kepada hubungan peribadi, apa menyentuh hati saya adalah, beliau bukan sahaja memanggil saya ‘my brother’, bahkan bagi saya, Tun Abdullah adalah sahabat yang sebenar lagi sejati, kerana beliau tetap setia, sanggup bersama saya dan kerajaan, sama ada ketika senang mahupun susah, waima dalam situasi sekalipun.

Bahkan, lebih menyentuh dan mengharukan saya, betapa tingginya nilai kasih sayang Tun Abdullah kepada parti serta negara, sebagai pemimpin besar lagi berjiwa mulia, sanggup menyerahkan tampuk kepimpinan tertinggi UMNO dan jawatan Perdana Menteri Malaysia kepada saya dengan penuh tertib dan kemuliaan tradisi parti.

Di atas segalanya itu, secara jujur dan ikhlas, saya ingin mengucapkan terima kasih Pak Lah.

Di samping itu, saya juga sering teringat dan suka akan kata-kata Tun Abdullah sewaktu dalam kepimpinan beliau bahawa, ‘be­kerja bersama saya, bukan untuk saya’ demi menjadikan Malaysia ‘Cemerlang, Gemilang dan Terbilang’. Kerana memang benar, dalam sebarang organisasi malah dalam perjuangan kita, bak kata bijak pandai, “if you want to go fast, you go alone, but if you want to go far, you go together”.

Seperkara lagi, yang turut menyentuh hati saya, dalam banyak waktu kami berbincang, Tun Abdullah pernah menyebut kepada saya bahawa beliau mempunyai satu impian ingin melihat Malaysia menjadi sebuah negara maju dan beliau berpesan kepada saya jika beliau masih ada usia pada tahun 2020 kelak,‘jangan lupa, jemputlah Pak Lah nanti,...’ bila Malaysia, diisytiharkan menjadi sebuah negara maju, high income advanced economy.

Tuan-tuan dan puan-puan se­kalian, atas segala-galanya ma­ka di majlis pada hari ini, saya bukan datang dengan tangan kosong. Tetapi saya ingin me­ngumumkan dana sebanyak RM5 juta kepada Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi akan saya keluarkan pada tahun ini dan Insya-Allah tahun depan pula kalau ada rezeki boleh tambah lagi.

Semoga Allah kekalkan hubu­ngan persaudaraan ‘abang adik’ antara saya dan Pak Lah sampai bila-bila jua. Akhir kata, marilah kita sama-sama berdoa ke-hadrat Allah SWT agar Pak Lah dipelihara oleh-Nya selalu dan sentiasa sihat bahagia sampai bila-bila. Insya-Allah.

Dengan lafaz kalimah yang mulia, Bismillahirrahmanirrahim, saya sukacitanya merasmikan Pelancaran Syarahan Tun Abdullah Badawi.