* Ainun Rahim, Ampang.

UKE:  Daripada Abu Hurairah RA, katanya: “Bahawa ada seorang laki-laki berkata kepada Nabi SAW: “Sesungguhnya ayahku sudah wafat, dia meninggalkan harta dan belum diwasiatkannya, apakah jika disedekahkan untuknya, maka hal itu akan menghapuskan kesalahannya? Rasulullah SAW menjawab: Na’am (ya).” (Hadis riwayat Muslim No. 1630, Ibnu Majah No. 2716, al-Nasa’i No. 3652, Ahmad No. 8486).

 Imam al-Nawawi menjelaskan tentang maksud hadis di atas: “Dalam hadis ini menunjukkan boleh bersedekah untuk mayat dan itu disunatkan melakukannya, dan sesungguhnya pahala sedekah itu sampai kepadanya dan bermanfaat baginya, dan juga bermanfaat buat yang bersedekah. Dan semua ini adalah ijmak (kesepakatan semua kaum Muslimin).” (Imam al-Nawawi, al-Minhaj Syah Shahih Muslim, 6/20. Mawqi’ Ruh al-Islam).

 Imam Ibnu Katsir dalam kitab tafsirnya: “Adapun doa dan bersedekah, maka keduanya telah disepakati (ijma’) akan sampai kepadanya (mayat) dan keduanya memiliki dasar dalam nash syariat.” (Imam Ibnu Katsir, Tafsir al-Quran al-Azhim, Juz. 7, Hal. 465. Dar Thayyibah Lin Nasyr wat Thayyibah Lin Nasyr wat Tauzi’. Cet. 2, 1999M01420H).
 

Onani suami isteri

Sepasang suami isteri sudah menjangkau usia 60-an. Si isteri tidak lagi ingin bersentuhan dan melayan keinginan seksual suami. Bolehkah si suami menyuruh isteri melakukan onani terhadap dirinya (suami) bagi meredakan nafsu? Apakah suami berdosa?

* Suami Inginkan Layanan, Kuala Lumpur.

UKE: Allah SWT berfirman: Isteri-isterimu adalah (seperti) tanah tempat kamu bercucuk-tanam, maka datangilah tanah tempat bercucuk-tanammu itu bagaimana sahaja yang kamu kehendaki. Dan kerjakanlah (amal yang baik) untuk dirimu, dan bertakwalah kepada Allah SWT dan ketahuilah bahawa kamu kelak akan menemui-Nya. Dan berilah khabar gembira orang-orang yang beriman. (al-Baqarah: 223).

 Daripada ayat ini jelas menunjukkan betapa Islam menjaga hubungan suami isteri supaya hidup tenteram. Berhubunglah suami isteri selagi mana dengan cara yang dibenarkan syarak.
 Isteri juga wajib melayan permintaan suami dalam bab ini, jika permintaan suami itu tidak melanggar batas agama.
 Maka anda harus menggunakan tangan isteri anda untuk itu. Yang dilarang anda menggunakan tangan sendiri.

 

Masalah solat

Saya tidak menggunakan jari telunjuk semasa tahyat awal dan akhir kerana tangan tidak berfungsi kerana serangan angin ahmar lima tahun lalu. Apakah sah solat saya?

* Asmawati, Pulau Pinang.

UKE: Daripada Ibnu Umar RA, katanya: “Adalah Rasulullah SAW apabila duduk dalam sembahyang, baginda meletakkan kedua-dua tangannya di atas lutut dan mengangkat anak jarinya yang mengiringi ibu jari (jari telunjuk), lalu baginda berdoa dengannya, sedang tangannya yang kiri diletakkan di atas lutut kiri dengan menghamparkannya.” (Hadis riwayat Ahmad, al-Nasa’i dan Abu Daud).

 Ini bermakna perbuatan itu ada dilakukan oleh Nabi SAW namun ia bukan rukun solat. Oleh yang demikian, solat anda sah dan tidak menjadi apa masalah apatah lagi anda sakit.

 

Belanja wang riba

Apakah hukumnya wang riba hasil dari simpanan di bank digunakan untuk membeli peralatan menanam pokok bunga di halaman rumah seperti baja, pasu bunga dan gunting?

* Wan Bunga, Melaka.

UKE: Wang sebegitu hendaklah digunakan untuk maslahah umum atau kegunaan orang ramai dan bukan untuk kegunaan peribadi anda.

 Boleh buat tandas untuk orang awam, jambatan, jalan, pagar dewan orang ramai atau lampu jalan yang kegunaannya untuk orang ramai.