Perdana Menteri berharap langkah itu dapat menarik minat individu yang tidak selesa bekerja di bawah panas terik matahari untuk berkecimpung dalam sektor penanaman padi. Idea baharu itu diharapkan mengurangkan pergantungan negara kepada tenaga kerja warga asing yang kebanyakannya tertumpu dalam sektor pekerjaan yang dikategorikan sebagai kotor, berbahaya dan sukar (3D).

Penulis tidak mahu mengulas lebih lanjut kerana perkara itu sudah melarat menjadi isu politik, cuma ingin menyatakan jika benar rakyat negara ini tidak meminati bidang pertanian kerana tidak tahan panas terik matahari atau ingin menjaga kulit supaya tidak gelap mereka sebenarnya masih boleh bertani tanpa menghadapi masalah itu.

Mereka boleh memilih bertani di kawasan letak kereta bawah tanah yang terbiar atau jika takut sangat panas, tanam sahaja pokok dalam gelap. Ya pokok boleh hidup dalam gelap walaupun tiada lampu. Sekurang-kurangnya oksigen yang dikeluarkan tanaman itu dapat menjadikan udara di tempat letak kereta lebih nyaman untuk disedut.

Idea itu sudah lama tetapi tiada sesiapa berminat untuk mempopularkannya. Mungkin kerajaan di bawah kepemimpinan Dr. Mahathir yang nampaknya lebih terbuka dengan idea-idea baharu dan luar biasa boleh mencubanya. Kajian yang dilakukan oleh ahli sains dari Amerika Syarikat (AS), Dr. Thomas Galen Hieronymus menunjukkan bahawa pokok sebenarnya boleh hidup dalam gelap.

Penyelidikan beliau mendapati pokok mampu hidup subur kerana mendapat cahaya matahari yang disalurkan menerusi wayar tembaga.Menurut beliau, perkara itu boleh dilakukan kerana yang diperlukan oleh pokok bukanlah cahaya boleh nampak sebaliknya dalam bentuk tenaga bukan elektromagnet yang disalurkan menerusi wayar tembaga.

Pokok yang mendapat cahaya menerusi kaedah itu tetap berwarna hijau. Ini membuktikan wujud klorofil yang berfungsi untuk menukarkan tenaga cahaya matahari kepada makanan yang diperlukan tumbuh-tumbuhan manakala yang tidak disambung dengan wayar berwarna kekuningan.

Dalam satu temu bual dengan sebuah majalah pada 1977, Hieronymus yang digelar sebagai The Big Daddy of American Psionics mengulas tanggapan sesetengah pihak yang menyifatkan kajian dilakukan di makmalnya di Great Smoky Mountains, Georgia, AS sebagai tidak masuk akal.

Beliau memetik kata-kata pencipta roket V-2 Jerman, Wernher von Braun: “Saintis yang telah berumur akan menolak sama sekali konsep-konsep baharu sehinggalah mereka mati sebaliknya ahli sains muda yang akan menerima konsep baharu itu.”

Dengan kematian Hieronymus pada 1988, bermakna berakhir satu era. Diharapkan saintis muda selepas beliau dapat melihat semula idea itu. Kalau kereta terbang boleh, apa salah kita mencuba menanam pokok dalam gelap pula.