Sebelum itu, pada 27 Mac empat orang ditahan, termasuk seorang warga emas berusia 74 tahun kerana memukul sehingga menyebabkan kematian seorang suspek pecah rumah di Kuala Kangsar, Perak. Suspek yang ber­usia 30-an cedera teruk di kepala. Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh.

Baru-baru ini gempar pula dengan berita seorang penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didera teruk dengan seterika wap sehingga menyebabkan kematiannya. Penuntut tersebut, Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zul­karnain, 21, dipercayai didera sekumpulan rakannya kerana dituduh mencuri komputer riba milik salah seorang suspek utama.

Suspek utama dalam kes dera ini yang kehilangan komputer riba itu dikatakan meminta bantuan bomoh untuk mengenal pasti siapa pencurinya. Mangsa dituduh sebagai pencuri komputer riba rakannya itu kerana namanya ‘dipetik’ oleh bomoh tersebut.

Dalam hal ini penulis berasa amat pelik apabila penuntut-penuntut ini yang kita boleh pa­nggil golongan cerdik pandai boleh pula termakan dan percaya pada kata-kata dan tilikan bomoh tersebut. Sekali gus menafikan anggapan bahawa dalam masyarakat moden sekarang ti­dak ada orang yang percaya pada bomoh dan tahyul. Malahan pada masa kini, kerjaya bomoh itu sendiri mempunyai darjat dan tahap tertentu sehingga ada yang digelar bomoh VIP.

Jika benar mangsa dera itu mencuri, ia satu hal lain. Tetapi tetap juga kematian bukan sepatutnya sebagai balasan kesalahan mencuri. Bayangkan pula jika arwah bukan pencuri sebenar komputer riba tersebut, betapa besar kehancuran yang telah ­kesemua suspek kes dera itu lakukan. Ayah dan ibu mangsa kehilangan anak sulung yang sangat diharapkan untuk membela keluarga. Adik-adik kehilangan abang yang sangat dikasihi. Apakah mereka tidak boleh berfikir?

Terbaharu pada 8 Jun lepas ber­laku pula kejadian seorang pe­mandu Uber dibelasah kerana di­syaki mencabul seorang wanita Vietnam yang menggunakan per­­khidmatan keretanya di Pulau Pinang. Pemandu Uber itu ­diserang oleh lebih daripada 10 orang lelaki diketuai oleh suami wanita yang dikatakan dicabul itu. Mujur suspek tidak hilang nyawa. Suspek cedera dibelasah dan kenderaannya dirosakkan.

Kegilaan apakah yang ­melanda sesetengah masyarakat di Malaysia ini apabila nyawa bagaikan tidak bernilai lagi? Apabila kita mengambil tindakan sendiri sebenarnya kita menidakkan ke­adilan yang menjadi hak setiap ma­nusia. Jika kita ambil contoh kejadian cabul yang didakwa itu adalah perkara yang memerlukan pembuktian secara profesional di mahkamah. Maksud penulis, jika seseorang itu mengadu dirompak, dirogol, diragut atau dipukul mungkin kita boleh melihat bukti fizikal dengan jelas. Tetapi dalam kes dakwaan cabul berbagai-bagai kemungkinan boleh berlaku. Mu­ng­kin ia hanya tuduhan atau mu­­ngkin juga betul. Segalanya berkemungkinan. Biar polis dan mahkamah membuktikannya.

Kebimbangan paling besar adalah apabila orang yang kita pukul itu mengalami kecederaan teruk atau mati pada hal mereka sebenarnya tidak melakukan kesalahan yang didakwa. Boleh jadi berlaku salah faham atau tersilap orang. Ini satu penganiayaan bagi mereka yang tidak bersalah. Kalau luka atau patah mungkin boleh sembuh. Nyawa yang melayang tidak mungkin dapat diganti.

Dan sekali pun memang suspek benar-benar melakukan jenayah tersebut seperti mencuri atau mencabul adakah selayak­nya nyawa mereka diambil sebagai balasan kerana kesalahan mereka itu? Kerana itu biar polis dan mahkamah yang menentukan adakah mereka benar-benar bersalah dan apakah hukuman yang sepadan dan setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan.

Sebenarnya dari pemerhatian penulis, kebanyakan mereka yang me­mukul suspek se­­suatu kejadian jena­yah ini hanyalah se­kadar mengambil ke­­sempatan untuk me­mukul dan mem­be­lasah sekadar suka-suka dan berseronok.

Kata orang, hanya untuk ‘tumpang sekaki’, seperti yang banyak kita lihat da­lam vi­deo-video di Youtube.

Mengulas tentang kes pukul suspek ca­bul di Plaza Sentosa Alor Setar, Ketua Polis Kedah Datuk Asri Yusoff meminta orang ramai agar tidak mengambil tin­dakan sendiri. Me­nurut be­liau walaupun pukulan yang mu­ngkin dianggap tidak berbaha­ya tetapi ia boleh mendatangkan maut terutama kepada penagih dadah kerana tubuh mereka sensitif. Mereka boleh mengalami kecederaan serius walaupun dengan ditendang di bahagian perut. Dibimbangi pukulan yang dianggap ringan itu boleh membawa maut.

Barangkali juga mereka yang meletakkan undang-undang di tangan sendiri ini tidak memikirkan langsung tentang nyawa orang lain. Namun begitu, sekali pun kita tidak fikirkan tentang nyawa pesalah tersebut mengapa tidak kita fikirkan tentang nyawa kita sendiri?

Katakan pencuri tersebut mencuri dari rumah kita barangan atau wang bernilai RM1,000. Setelah berjaya menangkap pencuri tersebut kita memukul pencuri itu sehingga menyebabkan kematian. Kemudian, akibat dari tindakan kita itu kita pula dihukum gantung sampai mati.

Kita yang pada awal cerita menjadi mangsa jenayah tetapi berakhir dengan kita sendiri yang dihukum sebagai penjenayah dan hilang nyawa sendiri. Adakah ini berbaloi?

PENULIS ialah bekas pensyarah dan kini seorang usahawan.