Othman telah meninggal dunia semalam di Singapura dalam usia 92 tahun.

Kepada sesetengah orang Melayu terutama di Malaysia beliau dianggap sebagai pengkhianat bangsa tetapi Kuan Yew pernah menitis air mata ketika majlis meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-75. Beliau menangis kerana terharu dan menghargai sumbangan dan sokongan Othman ketika situasi politik meruncing di Malaysia dan semasa rusuhan kaum di Singapura.

Kata Kuan Yew: “Because of the courage and leadership you showed, not a single PAP Malay leader wavered. That made a difference to Singapore.” (Dalam buku Men in White - The Untold Story of Singapore’s Ruling Political Party halaman 285).

Di sebalik gambaran Othman sebagai anti-Melayu, ramai yang tidak tahu bagaimana beliau membantu UMNO khususnya Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman, Mohd. Khir Johari dan Syed Jaafar Albar untuk menyelamatkan Utusan Melayu ketika berhadapan de­ngan mogok seluruh kakitangan Utusan Melayu di Kuala Lumpur disebabkan pengambilalihan oleh UMNO dalam tahun 1961. Ketika itu Utusan Melayu dikuasai oleh nasionalis kiri pro-Indonesia.

Mogok ini bukanlah mogok mempertahankan kebebasan akhbar tetapi mempertahankan penguasaan golongan penyokong Melayu Raya di dalam dan di luar Utusan.

Kuan Yew dan Tunku Abdul Rahman yang melihat bahaya ini telah membawa bekas pekerja-pekerja bahagian kilang Utusan di Singapura ke Kuala Lumpur untuk membantu menerbitkan semula Utusan Melayu setelah terhenti pengeluaran kerana mogok tersebut. Kerajaan Singapura memberikan kawalan keselamatan kepada pekerja-pekerja itu yang datang dengan kereta api kerana ada ancaman daripada pemogok-pemogok di Singapura.

Walaupun Othman adalah kader Parti Tindakan Rakyat (PAP) ketika menjadi Timbalan Ketua Pengarang Utusan Me­layu tetapi tidak sesiapapun yang tahu kerana beliau memisahkan pendirian parti daripada tugas­nya dan tidak langsung menunjukkan sentimen kepada PAP.

Rahsia ini terbongkar hanya setelah beliau berhenti mengejut untuk bertanding dalam pilihan raya Singapura pada 1963.

Othman menulis dalam biografinya Never in My Wildest Dreams pada muka surat 139: “Being the newspaper man was the most exciting and interesting job I ever had. My 17 years of service in Utusan Melayu were very satisfying and if things had not turn out the way they did, I would have been a journalist till the day I died.”

Saya mengenali Othman ke­tika ditukarkan ke Kuala Lumpur selepas mogok Utusan pada 1961. Saya juga sedar beliau amat menyenangi saya. Malah apabila saya ditukarkan kembali ke Alor Star, Othman memanggil saya untuk membantu membuat liputan sidang Parlimen dan kemudian menukarkan kembali saya ke Kuala Lumpur.

Beliau menjadikan dirinya sebagai contoh seorang wartawan yang dedikasi, dengan sifat-sifat kewartawanan yang diperlukan, berpakaian lengkap dan kemas setiap hari, terkini dengan berita dan maklumat, pergaulan yang luas dan contact yang banyak, tidak pernah ke­ring memberi tugas membuat susulan berita selain tugasan tetap dalam jadual kerja. Datang kerja awal dan balik lewat.

Othman berbangga dengan pemberita yang menghasilkan berita eksklusif. Othman mempunyai hubungan rapat dan mesra dengan pekerja di semua bahagian; kilang, pengiklanan, pemasaran dan sering bergurau dengan mereka. Perpisahannya dari Utusan menyebabkan ramai yang menitiskan air mata.

Beliau mencatatkan penilai­an saya terhadapnya dengan memetik Utusan untuk buku biografinya di muka 138: “He moved the entire staff under him with vigour, especially the reporters, to whom he set an exam­ple. He led the News Desk actively and never passively, full of planning, action, follow up and initiative.”

Saya terbentuk olehnya. Teladan yang terbaik bagi saya dalam dunia kewartawanan yang nilainya terasa sehingga kini.

Saya tidak pernah merasa sebagai ketua walaupun telah menjadi Ketua Pengarang Utusan Melayu sebaliknya saya bekerja keras kerana saya mahu semua orang mewarisi sifat-sifat kewartawanan yang di­semai oleh Yusuf Ishak, Samad Ismail, Othman, Melan Abdullah dan Mazlan Nordin yang membangunkan Utusan Melayu yang miskin kepada keagungan bangsa.

Seperti juga Othman saya ingat mahu menjadi wartawan sehingga ke akhir hayat saya kerana di dunia ini saya tetap merasakan denyut hati nadi rakyat dan sentiasa sedar dari mana saya datang tetapi takdir Allah telah menjadikan saya pada suatu masa sebagai seorang menteri tetapi yang saya tidak pernah bangga dan seronok dengan jawatan ini sehingga saya bersara. Namun saya tetap menjalankan tugas itu sebagai tanggungjawab.

Othman tetap membuktikan dirinya sebagai wartawan walaupun telah menjadi Menteri di Singapura. Dalam lawatannya ke India, beliau telah mencari bekas pemandu Utusan Melayu bernama Rambali anak kepada Kedar Singh yang juga pernah bekerja dengan Utusan. Dia me­nulis surat meminta alamatnya dan sekembali dari India beliau telah menulis surat kepada saya menceritakan bagaimana beliau diserang belalang bila menuju ke Harapur, India, untuk melawat Kedar Singh sehingga terpaksa berlindung di sebuah kedai. Saya masih menyimpan surat-surat Othman.

Othman bukan The Last Mohicans of Utusan Melayu tetapi ada seorang lagi yang menjadi hiasan kulit buku saya Di Depan Api di Belakang Duri sejarah Utusan Melayu iaitu Hussein Abdul Hamid yang sekarang tinggal di Kuala Lumpur. Beliau memulakan karier kewartawanan bersama-sama Othman.

TAN SRI ZAINUDDIN MAIDIN ialah bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan dan bekas Menteri Penerangan. Artikel ini telah disiarkan dalam blog beliau http://zamkata.blogspot.my.