Saya senyum. Tidak tersinggung secuit pun. Ungkapannya itu bukan negatif. Makna ayat beliau itu merujuk cara orang Amerika Syarikat mematuhi perjanjian masa. Janji 10 pagi, saya tiba 9.59 pagi.

Tidak juga saya beritahu mereka bahawa saya ada satu lagi temu janji pukul 12 tengah hari. Bermakna paling lewat saya harus meninggalkan mereka ialah 11.40 pagi.

Sebaliknya saya tetapkan pertemuan kami kena tamat 11 pagi, agar saya tidak melakukan larian Forrest Gump ke lokasi kedua.

Bagi kebanyakan kita, bila hendak berbincang lazimnya dimulakan dengan small talk atau pemanis pembuka bicara. Oleh kerana masa terhad, sesi small talk jadi miniscule talk iaitu satu soalan sahaja.

Tidak mengapa. Tujuan datang adalah jelas dan perbincangan khusus bagi mencari titik pertemuan. Setelah selesai, salam dan jumpa lagi.

Ya, 'ketepatan masa’ adalah fokus merrepak hari ini. Dalam bahasa Inggeris disebut punctual. Secara umumnya, ketepatan masa menjangkau ke seluruh lapisan masyarakat dan agama. Masa itu emas. Masa itu segalanya.

Ada kalangan kita yang mengaku segan untuk tiba tepat pada masanya. Alasan mereka: tidak mahu kelihatan beria-ia atau mendesak, atau gelojoh. Ada logiknya juga. Tetapi lihat konteks suasana.

Kalau jemputan ke kenduri kahwin, maka pilihlah masa anda. Lagipun jemputan bermula 12 tengah hari sehingga 4 petang.

Tak jumpa pengantin tidak mengapa, pastikan jumpa ibu bapa di pintu. Di Sarawak, jemputan 12 tengah hari itu bermakna anda kena datang 12 tengah hari sebab selepas habis jamuan, acara pun tamat.

Berbeza dengan temu janji perniagaan. Ini tidak boleh disamakan dengan jemputan ke kenduri. Datang awal atau tepat pada masa, adalah sangat bagus. Datang lewat, duit hangus!

Pengarah Jualan One World Hotel, Tengku Badariah Tengku Abu Bakar telah menghuraikan dengan jitu definisi ketepatan masa dalam artikel Why is punctuality important? (Mengapa ketepatan masa itu penting?) yang disiarkan dalam LinkedIn.

“Orang yang menepati masa dihargai kerana dia sedar bahawa masa adalah sangat berharga.

“Jika seseorang itu tidak menepati masa, ia menunjukkan dia tidak profesional atau dia tidak menghargai masa orang lain. Dan ini berkait kepada reputasi. Orang yang menepati masa adalah dihargai dan dihormati.

Sepintas sekilas itu saya bayangkan. Andai anda dalam satu batalion tentera dan platun anda dikerah ke sebelah kiri kubu musuh.

Mengikut perancangan, platun B akan menyokong. Bila terpandang saja ketua platun yang sering lambat, anda terfikir betapa nyawa anda berisiko.

Tengku Badariah memberi analogi yang tepat: Dalam usaha bertemu anda mengikut masa yang dijanjikan, orang itu melakukan pengorbanan sendiri seperti bangun awal, bertarung dalam kesesakan lalu lintas, berhempas mencari tempat letak kereta dan sebagainya. Tiba-tiba anda pula datang lewat.

Wajib

Bagi saya, pasti terasa sakit hati dan perasaan tersebut akan sedikit sebanyak mempengaruhi hala tuju perbincangan yang terlewat itu.

Saya benci menunggu. Dan saya sangat bimbang jika saya menyebabkan orang lain menunggu saya. Menepati waktu bukan suatu pilihan tetapi wajib.

Satu lagi aspek yang menjelikkan ialah bila Malaysia dikaitkan dengan ketidaktepatan masa yang kronik. Atas sebab itu bila ada label American time, kita pula ada Malaysian time yang bermakna kita datang ikut suka hati kita.

Namun, tanggapan itu tidak tepat 100 peratus. Kajian mengenai pematuhan masa terhadap negara-negara mendapati 'fleksibiliti’ kepada masa ini terjadi kepada banyak negara, dan tidak eksklusif kepada Malaysia semata-mata.

Dalam sesetengah budaya, pemahaman mereka berbeza mengenai konsep masa. Jika dijemput ke majlis pukul 10 pagi, mereka akan muncul sejam kemudian.

Menurut pengkaji, orang Amerika Latin adalah tergolong dalam kategori ini manakala orang Arab, boleh menukar jadual itu keseluruhannya. Dijemput pukul 10 pagi, mereka boleh tidak datang langsung!

Masyarakat Jepun paling serius dalam hal menepati masa. Jika anda terlewat, anda berisiko menyinggung perasaan mereka. Ini bukan persepsi.Sememangnya termeteri dalam adat resam bangsa Jepun yang mementingkan ketepatan masa.

Atas sebab itu pengangkutan awamnya seperti bas dan kereta api laju sangat-sangat boleh diharapkan tiba dan bertolak tepat mengikut jadual.

Begitu menjaga masa bagi orang Jepun hinggakan mampu memberi keinsafan pula semasa berkursus di sana. Seorang penceramah terlewat sampai. Tidak lama, mungkin 10 minit.

Dengan muka sedih kesal yang bukan dibuat-buat, dan kepala menunduk, wanita itu memohon maaf kepada kami. Di pihak kami tidaklah merungut sebab ada yang ambil kesempatan menyedut tembakau di luar, tetapi jadi tergamam melihat perlakuannya. Dan diingat sehingga kini.

Di Malaysia, orang datang lewat boleh selamba sambil gelak-gelak berkata: “Nasib baik aku datang. Kalau aku tak datang langsung...”