Tahukah kita isi hati penulis itu apabila dia memaparkan penulisannya? Apa niatnya, apa motifnya, adakah dia mahu orang mempercayainya? Apakah mereka adalah pembentuk persepsi massa? Dan orang mempercayainya, walaupun tak betul?

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak nampaknya cukup berani dalam menghadapi perang siber ke atas dirinya dan kerajaan­nya. Terlalu nista kata-kata terhadap pemimpin Malaysia itu. Namun, malam kelmarin dalam ucapan di Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2016 bertajuk: FIQH TABAYYUN: MENGURUS MALAYSIA DALAM ERA MEDIA SOSIAL Najib secara berani berkata: Sebagai kerajaan, apakah kita ada pilihan? Angka dan statistik umum yang saya sebut tadi sahaja memberi gambaran, ‘rakyat maya’ (netizen) ini amat berpengaruh sekali.

Apakah mampu untuk kita meminggirkan media sosial; dan hanya menggunakan saluran media arus perdana?

“Inilah realiti baru. ‘Renaissance komunikasi’; zaman dan era Internet of Things. Mahu tidak mahu, kita mesti menjadi lebih terbuka dan ‘menzahirkan’ diri dan fikrah kita di persada komunikasi baru ini.”

“Jika kita bersetuju bahawa ‘daya’ dan ‘kudrat’ media baharu ini sebagai The New Realities di dalam medan komunikasi; meminggirkannya bukanlah suatu pilihan,” kata Najib.

Beliau sebelum itu menyatakan data-data pengaruh media sosial kepada masyarakat di negara ini. Bila kita katakan, media sosial sudah merubah landskap komunikasi, apa yang perlu kita bayangkan, kata Najib.

Ia adalah:

• Hampir 20 juta rakyat meng­akses internet secara konsisten

• Lebih 18 juta pengguna aktif Facebook

• Hampir 42 juta ‘active mobile subscriptions’ (139 % mobile subscription penetration)

• Rakyat Malaysia menonton lebih banyak video di Facebook berbanding masyarakat dunia (jika angka purata dunia, 102 minit; kita 159 minit)

• Malaysia berada di ranking 10 tertinggi di dunia video consumption melalui Facebook. Tertinggi di Asia Tenggara.

• Hakikat itu belum kita campur dengan peningkatan peratusan penggunaan medium lain se­perti Twitter, Instagram, LinkedIn, ­WhatsApp dan lain-lain.

Kata Najib lagi, sekarang ini, di negara Barat, heboh memperkatakan bahawa Malaysia sedang berada di dalam zaman dan era politik yang disifatkan sebagai post-truthpolitics – politik langkau kebenaran.

Fakta, kebenaran, kesahihan berita, data ekonomi, statistik dan sebagainya sudah kurang penting. Yang lebih penting, adalah wujudkan ‘persepsi dan rasa kebenaran’ - Feel true. Bertabayyun dan meneliti sudah kurang penting.

Yang lebih penting, ‘menjual pengaruh’, walaupun terpaksa menyebar fitnah. Tabayyun dari segi bahasa bererti mencari kejelasan tentang sesuatu hingga jelas benar ke­adaannya. Hatta, kata Perdana Menteri kehebatan demokrasi li­beral juga berhadapan masalah dengan suasana post truth ini.

Dalam satu pemilihan Presiden sebuah negara adikuasa, simptom post truth ini menjadi sangat relevan dan luar biasa dalam mempengaruhi keputusan politik. Manipulasi data juga dikatakan menjadi punca mengapa inisiatif ‘Brexit’ berjaya di England.

“Saya nak beri jaminan, selaku ketua negara dan pemimpin utama kerajaan, kita di Malaysia ini tidak pernah memanipulasi data dan statistik untuk mengelirukan rak­yat dan masyarakat umum,” tegas Najib.

“Saya sentiasa mengingatkan rakan-rakan dalam Kabinet; kita mesti mengutamakan kebenaran dan hak. Bukan memanipulasi fakta untuk kepentingan diri dan kumpulan yang kecil. Malangnya, pendekatan sama tidak digunapakai oleh pihak lain. Mereka ­beranggapan, kebenaran adalah milik eksklusif mereka semata-mata. Apabila diberikan hujah balas, mereka menganggapnya sebagai ‘propaganda’ kerajaan, malah menuduh kita setaraf Joseph Goebbels dan Nazi Hitler, kata Najib.

Menurut beliau, ini pendekatan longgar adab. Ini pendekatan politik ‘langkau kebenaran’. Ini pendekatan politik penting diri dan tamak kuasa.

“Oleh yang demikian, kita akan memulangkan segalanya kepada rakyat untuk membuat keputusan. Jika mereka bijaksana untuk meletakkan ‘fiqh tabayyun’ sebagai disiplin ilmu dalam mengukur kebenaran – insya-Allah, majoriti rakyat akan tetap menyokong dan mendokong agenda pembangunan kita. Post truth politics ini bukan adab dan ikutan kita.”

Ternyata Najib amat berani. Malah dalam ucapan Bajet 2017 baru-baru ini soal penembusan Internet di universiti-universiti terus diberi keutamaan. Maknanya, be­liau yakin media sosial masih boleh mempertahankan kerajaan, bukan sebaliknya. Mungkin ada antara kita yang bimbang dengan dasar keterbukaan itu, tapi PM tidak.

“Saya fikir... sebagai Perdana Menteri; kerajaan dan pentadbiran saya, paling engaged (terkait) de­ngan media sosial, atau setidaknya media baharu. Mungkin trend ini berlaku pada zaman saya; dan ia boleh menjadi perkara yang ‘positif’; atau ujian kepada ke­pimpinan saya.

“Yang perlu saya tekankan, saya akan menggunakan apa sahaja cara dan kaedah; untuk mendekati dan memberi kefahaman kepada rakyat. Maslahah dan kepentingan awam, menjadi keutamaan. Isu dan kesusahan rakyat, adalah akar amanah yang perlu saya lunaskan. Kepimpinan mesti selalu diasaskan kepada ‘maqasid al-syariah’ – dan pendekatan wasatiyyah yang menjadi pegangan dan santunan saya.

“Jika saya turutkan komen negatif, kata fitnah, cerca nista, kebencian yang dihalakan kepada saya secara peribadi – orang politik kata, sudah lama saya ‘lari malam’.”

“Alhamdulillah, saya sentiasa berpegang kepada hakikat, bahawa ‘paksi kebenaran’ akan menewaskan mereka yang berkiblatkan kepada nafsu amarah dan kesumat kebencian.

Fokus saya, tidak pernah terhakis. Niat saya, tidak pernah terkalih. Rakyat dan kebenaran, akan menjadi saksi kepada kesungguhan dan dinamisme pentadbiran saya, insya-Allah.

Ternyata, Najib cukup yakin pendekatannya akan membantu kerajaannya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 ini.

Oleh itu kita lebih hebat daripada beberapa negara lain yang cuba menyekat dasar penetrasi internet dan media sosial. China dan Singapura, kuasa besar dan sebuah negara pulau yang maju itu ­misalnya, juga bimbang dengan soal penetrasi media sosial yang terlampau.

Kita tunggu dan lihat. Adakah Najib pahlawan siber sebenar, atau beliau tiada pilihan? Siapa yang pandai memanipulasi media sosial dalam peperangan politik ini, akan menang.

Genggam bara api, biar sampai jadi arang! Mereka tak peduli, asalkan matlamat menghalalkan cara. Sekian.

NOTA KAKI: Ucapan Perdana Menteri dibacakan oleh Menteri di JPM, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di majlis pelancaran Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2016 bertajuk: FIQH TABAYYUN: MENGURUS MALAYSIA DALAM ERA MEDIA SOSIAL pada 24 Oktober di UiTM Shah Alam.

Tabayyun boleh dibaca dalam konteks firman Allah SWT: Maksudnya: Wahai orang yang ber­iman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (Surah al-Hujurat: 6)