AZHARI SHAARI kelihatan penat meneliti program-program populis yang terkandung dalam risalah Inisiatif Peduli Rakyat Terbaharu 2018 yang diedarkan kerajaan PKR Selangor di sebuah restoran di Shah Alam minggu lalu. Beliau yakin rakyat Selangor akan mengajar Pakatan Harapan pada hari pengundian PRU-14 nanti.

Inilah yang Tumpang lalu ‘naik angin’.

Kalau diumumkan pada tahun kedua (2014) dan ketiga (2015) setelah berkuasa pada 2013, moleklah juga. Ini saat-saat menghampiri PRU, ada ‘udang di sebalik batukah’?

Kalau ‘inisiatif peduli rakyat’ 2018 yang nak diumumkan kerajaan PKR itu benda yang baharu, tak apalah. Ini, program seperti Smart Life & Ceria iaitu menggantikan lif-lif lama dan mengecat semula pangsapuri secara percuma dengan RM45 juta diperuntukkan - inisiatif itu sebenarnya te­lah pun dibuat lebih awal, secara agresif lagi.

Ya, sejak seorang pemimpin UMNO negeri itu menyandang jawatan menteri yang bertanggungjawab pasal hal-hal berkaitan kesejahteraan bandar, lif-lif yang ada di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan pangsapuri kos rendah termasuk prasarana sekitarnya kembali bercahaya.

‘Inisiatif peduli rakyat’ yang diumumkan oleh menteri besar terbabit realitinya semua sudah ada di Selangor sebelum ini. Sebutlah apa yang kurang.

‘Peduli sihat’ untuk suntikan vaksin pneumokokal? Peruntukan percuma rawatan jantung dan penjagaan paliatif penyakit kanser untuk rakyat berpendapatan rendah dengan amaun berjuta-juta ringgit yang baru diumumkan? Bukankah semua itu telah disediakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN)?

Habis tu yang tersergam Hospital Shah Alam di Seksyen 7 sediakan segala pakar perubatan de­ngan kemudahan yang caj cuma RM1 itu apa?

Begitu juga ‘insiatif’ Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), apa tu? Setelah hampir 10 tahun baru nak buat? “KISS among each other­ kah? Dikatakan hanya untuk dibuka kepada rakyat Selangor yang tak dapat apa-apa bantuan kebajikan daripada kerajaan pusat dan negeri. Logik ke? Kalau banyak songeh sangat, jangan beri harapanlah pada rakyat.

Hal inilah yang dikongsi anak muda Selangor berusia 47 tahun, Datuk Azhari Shaari yang juga penyelaras BN Shah Alam kepada Tumpang lalu baru-baru ini.

Kata Azhari, Shah Alam ibarat gambaran landskap senario kehidupan, keresahan, desakan serta tuntutan anak muda dalam mengharungi cabaran di bandar.

“Anak muda Shah Alam ini suka berniaga…buka gerai makan, niaga air balanglah. Tapi tengoklah syarat-syarat yang dikenakan PBT (pihak berkuasa tempatan, Majlis Bandaraya Shah Alam) iaitu bayaran fi sebanyak RM30 sebulan untuk setiap meja makan.

“Kalau 10 meja, sudah RM300. Jika masuk sewa yang cecah ratusan ringgit sebulan campur dengan meja yang ditambah di luar kedai makan, sudah berapa? Itu belum masuk lagi caj deposit untuk majlis bandaraya, majlis daerah, juga untuk papan iklan yang ada di premis, gerai atau kiosk. Kalau iklan bercahaya RM60, yang tidak bercahaya RM90.

“Tak boleh salahkan PBT kenakan caj itu ini kerana mereka bertanggungjawab kepada parti pemerintah yang berkuasa…siapa lagi kalau tak kerajaan pakatan pembangkang,” kata Azhari lagi.

Kata Azhari, banyak kemudahan yang tersedia ada telah diperjuangkan oleh orang muda parti kerajaan seperti Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT 3) sepanjang 37 kilometer dengan jajaran melintasi 26 buah stesen termasuk di Glenmarie, Shah Alam. Demikian juga pemansuhan tol di plaza Batu Tiga dan Sungai Rasau yang menjimatkan antara RM100 hingga RM150 sebulan pengguna laluan lebuh raya berkenaan.

“Tapi mereka di se­belah sana hanya bertindak seperti ‘lembu punya susu, sapi dapat nama’...malah kemudahan disediakan untuk orang muda di Selangor khususnya di Shah Alam terabai,” kata Azhari.

Azhari menarik perhatian, mengapa dasar PKNS tidak lagi seperti dahulu dengan memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik? Harga rumah PKNS sudah cecah setengah juta ringgit, mampu belikah? Rumah Selangorku pula macam-macam prosedur /syarat perlu dilalui untuk membelinya.

“Jadi, anak muda di Shah Alam ini protes...kawasan hijau atau green area untuk tempat riadah pun tak banyak. Mereka gemar sukan-sukan ekstrem...rock clim­bing, skateboard...tapi tak banyak disediakan.

“Stadium Shah Alam pun seolah-olah terabai penjagaannya. Kena transform lah stadium ini untuk sport tourism supaya bila pelancong datang, mereka boleh ambil gambar kenangan macam di stadium-stadium luar negara seperti Stadium Old Trafford, Anfield atau Nou Camp…tak capai tahap itu pun tak apalah, asal cantikkan stadium ini.

“Dan lebih penting lagi, kembalikan pasukan Red Giants bermain di Stadium Shah Alam. Dengan legenda pasukan yang menjuarai Piala Malaysia 33 kali, pemain-pemainnya yang hebat, tapi disebabkan politik, pasukan Selangor tersisih,” katanya.

Banyak perancangan yang berada dalam fikiran Azhari jika kerajaan negeri kembali ke pangkuan BN nanti.

“Kita nak wujudkan satu hab anak muda yang dipanggil Young Entrepreneur Outlet atau singkatannya YO yang mengumpulkan produk-produk orang muda. Jika di Klang, ada GM yang kebanyakannya di situ produk-produk dari China, di YO nanti, akan ada produk tempatan.

“Usahawan muda di Shah Alam cukup ramai, boleh buat macam-macam,” katanya.

Bagi Azhari, banyak program berupa populis direncanakan ‘pihak di sana’. Diuar-uarkan percuma tetapi rupa-rupanya kena bayar.

Dengan kira-kira 40 peratus daripada hampir 110,000 pengundi Shah Alam terdiri daripada pengundi muda termasuk 40,000 pelajar UiTM dan kolej-kolej swasta, beliau percaya pakatan pembangkang akan memasuki gelanggang PRU-14 yang paling `sakit’ kali ini.

“Shah Alam perlukan calon yang versatile, knowledgeable dan bukan parachute. Di surau-surau, kebanyakan pengerusinya berjawatan tinggi, antaranya profesor. Mereka yang ada master (sarjana) pun belum tentu capai tahap mereka.

“Kawasan Parlimen ini popular dan menjadi rebutan calon-calon heavyweight. Saya yakin Perdana Menteri tidak mudah dipengaruhi soal kriteria calon kerana tahu apa yang berlaku di setiap kawasan Parlimen,” kata Azhari.