Kemenangan beliau ini turut memadam rekod bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Ahli Parlimen termuda ketika beliau bertanding di Parlimen Pekan pada 1976 ketika berusia 23 tahun. Beliau yang lebih dikenali sebagai Praba dalam kalangan rakannya, baru berusia 22 tahun dan menuntut di tahun dua dalam pengajian ijazah sarjana muda undang-undang di Brickfields Asia College.
Ketika ditemui wartawan Mingguan Malaysia, AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI di sebuah restoran di Jalan Ipoh baru-baru ini, anak jati Batu itu berkongsi perasaannya bergelar Ahli Parlimen, aspirasi dan kehidupannya sebagai pelajar serta wakil rakyat.

 

MINGGUAN: Semua tahu calon Bebas tidak ada peluang untuk menang dalam pilihan raya. Apa yang membuatkan YB berani bertanding? Tidak takut hilang wang pertaruhan?

PRABAKARAN: Sebelum ini kebanyakan masyarakat memang tidak suka kerajaan lama sebab tidak pergi ke bawah, sebab itu rakyat di bawah marah.

Apabila semua ini berlaku, saya sebagai seorang pemuda, saya hendak buat sesuatu untuk orang muda. Kalau tengok Parlimen, rata-rata Ahli Parlimen berumur 50 tahun ke atas.

Apabila tengok umur mereka, saya tertanya-tanya siapa yang memperjuangkan dan menyuarakan suara orang muda di Parlimen. Sebab hanya pemuda yang boleh faham psikologi orang muda. Saya tengok dari aspek ini.

Kalau YB hendak menjadi suara orang muda, kenapa YB tidak menyertai mana-mana parti dan buat kerja dahulu sebelum ini?

PRABAKARAN: Kalau saya masuk parti, adakah ada jaminan saya diberikan peluang bertanding dalam pilihan raya umum ini kerana umur saya baru 22 tahun?

Jadi, saya bertanding sebagai calon bebas untuk menukar mindset dan memberi impak yang besar kepada masyarakat Malaysia yang tipikal bahawa tidak kira umur berapa, kita boleh bertanding dan kita boleh buat perkhidmatan sosial dalam politik.

Politik bukan hanya kotor tetapi politik juga baik. Tetapi disebabkan ada pemimpin yang korup, politik dikatakan kotor.

Katakan kalau YB tidak menang dalam PRU-14 baru-baru ini, apakah yang YB akan lakukan?

PRABAKARAN: Saya tahu saya akan kalah kalau bertanding di Batu. Tian Chua tidak layak bertanding itu isu lain. Tetapi saya bertanding di Batu kerana saya dan keluarga saya semuanya tinggal di sini. Saya adalah generasi keempat. Saya bersekolah dan dibesarkan di sini. Semua kawan saya juga di sini.

Takkan saya hendak bertanding di Titiwangsa. Minimum 10 undi pun tak akan dapat. Jadi, niat saya dapat lebih kurang 1,000 undi pun tak apa. Selepas saya kalah, saya membantu pengundi saya untuk membawa suara mereka kepada Tian Chua.

Itu kalau saya kalah. Tetapi selepas Tian Chua menyokong saya, sudah jadi cerita lain.

YB mencatatkan rekod sebagai Ahli Parlimen termuda di Malaysia. Apa perasaan YB?

PRABAKARAN: Saya berasa bangga tetapi sedikit kecewa sebab saya yang mulakan perkara ini dahulu. Kenapa sebelum ini orang muda tidak berbuat begitu? Masyarakat mengatakan orang muda hanya pemerhati.

Lagi satu, 3.5 juta pemuda tidak mendaftar sebagai pengundi. Itu adalah satu kemelut besar yang diabaikan oleh ramai orang termasuk pemimpin.

Sebelum penamaan calon PRU-14, semua pemimpin besar seperti Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, buat video tentang orang muda. Kenapa sebelum itu tidak ambil kisah tentang mereka tetapi dekat penamaan calon baru ambil tahu tentang orang muda?

Salah satu faktor utama kenapa kerajaan bertukar adalah kerana sokongan orang muda yang berumur bawah 40 tahun. Saya harap ada orang memintas rekod saya pada PRU-15 sebab saya hendak ramai orang muda menyertai politik dan memberikan perkhidmatan kepada masayarakat.

Golongan muda yang berumur antara 21 tahun hingga 30 tahun, fokus utama mereka adalah tentang kehidupan mereka, gaji, simpanan, beli rumah dan kereta.

Sudahlah gaji murah, rumah mahal dan harga barang meningkat. Siapa hendak suarakan isu ini? Orang tua sahaja yang suarakan isu ini. Jadi, kita pun perlu memperjuangkan isu ini.

YB masih berstatus pelajar. Bagaimana menguruskan kehidupan sebagai pelajar dan wakil rakyat?

PRABAKARAN: Selalunya saya ambil empat atau lima subjek setahun. Saya dinasihatkan mengambil dua subjek dan kelas saya boleh ditukar pada Sabtu dan Ahad atau malam pada hari biasa supaya fleksibel. Mungkin juga saya perlu melanjutkan tempoh pengajian selama setahun lagi. Sepatutnya tiga tahun dan saya sekarang berada di tahun kedua.

Sekarang sebagai Ahli Parlimen, sudah tentu kehidupan berubah kerana kini menjadi seorang pemimpin masyarakat. Komen YB?

PRABAKARAN: Sebelum ini sebagai pelajar, saya ada banyak masa untuk keluarga, diri sendiri dan pelajaran, tetapi sekarang perkhidmatan sosial perlu maksimum, masa untuk keluarga sudah kurang dan untuk diri sendiri cuma sehari dalam seminggu.

Saya memang suka buat perkhidmatan sosial. Saya tidak rasa sukar atau susah melakukan kerja ini. Walaupun banyak cabaran, saya tidak berputus asa. Lagi satu, pasukan saya menang besar. PKR sentiasa bantu saya dalam segala aktiviti.

YB mengatakan mahu membawa suara orang muda. Apakah perjuangan YB untuk orang muda di Parlimen nanti?

PRABAKARAN: Isu paling utama adalah peluang pekerjaan. Pemuda juga kurang platform perniagaan. Ramai kalangan pemuda Melayu dan India tidak ada aktiviti hendak dilakukan. Mereka hanya duduk di rumah dan melepak.

Saya hendak wujudkan platform untuk mereka menjalankan perniagaan sendiri untuk menghindarkan mereka daripada terlibat dalam aktiviti tidak sihat.

Dengan adanya platform perniagaan, mereka boleh menyara diri mereka sendiri. Kebiasaannya, orang muda bekerja waktu pejabat dari pukul 8 pagi hingga 5 petang. Bila hendak belajar jadi bos?

Jadi saya hendak perkenalkan kegiatan perniagaan untuk mereka seperti memasak atau buka gerai perniagaan kecil-kecilan. Saya akan bantu mereka mendapatkan tapak perniagaan.

Selain itu, saya akan membantu pemuda yang ada pendidikan tetapi tidak ada pekerjaan. Kategori yang lain ialah pemuda yang tidak ada pendidikan dan tidak ada pekerjaan.

Saya akan bantu mereka menyediakn platform mencari pekerjaan seperti memasuki kelas kemahiran vokasional.

Saya juga bercadang mewujudkan satu program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dengan kerajaan untuk orang muda mendapatkan diploma tanpa perlu pergi ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Saya juga mahu menggalakkan orang muda melakukan perkhidmatan sosial. Jangan hanya memikirkan kehidupan sendiri. Kita ada hak dalam menyuarakan suara dan pandangan.