Selepas merdeka, Datuk Senu Ab. Rahman dalam buku Revolusi Mentalnya mengupas masalah orang Melayu yang perlu berubah. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam bukunya Dilema Melayu juga memberi analisis tentang orang Melayu dan di akhir ­kepimpinan beliau menyebut “Melayu mudah lupa”.

Ada dua ekstrem yang dilalui oleh orang Melayu sejak merdeka. Kemerdekaan yang diperjuangkan menyebabkan orang Melayu bersatu dan banyak pengorbanan dilakukan atas nama ingin merdeka. Apabila melalui proses mengisi kemerdekaan tidak sedikit yang tewas akibat pengaruh kebendaan dan kemajuan.

Ekstrem kedua ialah kelompok agamawan yang mengambil pendekatan yang amat tradisional dalam memahami maksud beragama cuba menterjemahkannya dalam sistem melalui syarah dan retorika dan amat sedikit menghasilkan Islam dalam bentuk model alternatif. Umat Islam masih menjadi pengguna setia terhadap produk Barat baik dalam ilmu, budaya hidup, sistem, ekonomi, lebih-lebih lagi teknologi.

Umat Islam di Malaysia masih belum menjadi umat penyumbang yang benar-benar bermakna kerana masih tersepit di celah-celah perlagaan faham asabiyah sempit. Kefahaman agama yang berkembang masih dalam batas ritual dan rohaniah dan kurang mampu diterjemahkan dalam produktiviti amaliah yang tinggi.

Ibn Khaldun dalam Cyclical Theory mengenai turun-naiknya tamadun menyatakan proses perubahan sering mengalami suatu puncak yang membawa kepada kemerosotan nilai tamadun dan menyebabkan kedatangan tamadun baharu yang lain.

Akibat proses mengisi kemerdekaan yang tidak sepenuhnya diisi berpandukan etika dan nilai menyebabkan ketirisan, salah guna kuasa dan penyelewengan terjadi. Ia menyebabkan elemen tidak puas hati dan penentangan berlaku. Bila kesedaran keagamaan meningkat dan dalam masa sama fahaman liberal dan sekularisme tidak banyak berubah menyebabkan konflik antara kelompok terjadi.

Telah sekian lama orang Melayu dibelenggu oleh mentaliti subsidi. Hak istimewa yang ada sepatutnya memberi dorongan untuk Melayu maju dan berdaya saing sebaliknya orang Melayu hilang kreativiti dan tidak mampu berdaya saing dengan orang yang tidak ada hak istimewa. Lalu ekuiti atau pegangan orang Melayu masih belum mampu melepasi paras 30 peratus.

Berfikir simplistik, membina persepsi negatif terhadap orang lain, kurang berusaha dan tiada daya kompetensi, berlagak kebendaan dan mementingkan diri sendiri, sikap ambil mudah dan rasa secukup hidup, terlalu sukakan hiburan dan diulit emosi dan diri dengan cerita-cerita seram, tahyul dan hantu adalah antara hal negatif yang membawa kemunduran berfikir dan bertindak orang-orang Melayu. Ia tidak membawa kepada ketinggian akal budi insan dan jauh lagi untuk membina peradaban.

Oleh itu orang Melayu perlu melalui proses tajdid atau transformasi di segenap peringkat. Ia harus bermula di tahap keluarga supaya pendidikan anak-anak berlaku dalam fitrahnya. Membenarkan keciciran berlaku dalam keluarga menyebabkan anak-anak bakal cicir di sekolah dan dalam masyarakat. Tahap awal persekolahan pendidikan adab dan etika harus dijadikan keutamaan. Kemahiran ilmu dan kemahiran lain harus menjadi pengukuh kepada kemahiran adab dan etika. Iklim kemasyarakatan harus kondusif untuk generasi muda menjadikan sumber contoh dan teladan.

Faktor Islam dalam pendekatan wasatiyyah atau sederhana perlu dijadikan agenda dalam proses pemba­ngunan dan perubahan. Globalisasi yang datang sedang mengukuhkan faham kapitalisme baru, fahaman liberal dan neoliberalisme yang cuba menafikan peranan agama sebagai sumber pedoman dalam kehidupan.

Pendekatan wasatiyyah bukan bermakna kita menolak prinsip-prinsip yang Islami. Pendekatan berimbang ini amat sesuai menghadapi realiti kini. Ia menuntut sikap kreatif dan proaktif umat Melayu memikir, mengolah dengan bijaksana supaya perubahan terjadi di segenap tahap tetapi sifatnya patuh-syariah (syariah compliance) tetap dijadikan pedoman.

PROFESOR DATUK DR. SIDEK BABA ialah Dekan Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).