Tetapi lelaki yang akak cun hendak cakap ini, yang suka lari daripada masalah. Tak kiralah masalah kecil atau besar. Bukan main lagi laju dia berlari. Macam dalam dialog filem Do Re Mi - “Amboi, kuatnya tok bilal lari,” bila pelakon Allahyarham Mahmud Jun, beritahu pada bilal orang yang mati itu sudah hidup semula,

Pernah jumpakan lelaki macam ini? Ada. Jangan kata tak ada pula. Asal ada masalah sikit, dia lari. Cuba mengelak ­daripada bersoal jawab. Asal ada krisis sikit, dia diam atau tak nampak batang hidung. Bagilah orang perempuan yang berfikir sampai hendak pecah kepala untuk selesaikan masalah. Dia boleh pula tidur lena. Macam tiada ada apa-apa berlaku.

Dan ada pula tu, kalau boleh dia mahu menyorok atau bertapa sampai masalah itu boleh selesai sendiri. Yalah, masalah ini pun kadang-kadang ada magic juga ya tak? Boleh hilang sendiri. Ping! terus lenyap. Soalnya, hendak bertapa dekat mana ya? Ada berapa banyak gua sangatlah dalam Malaysia ini kan? Tertutup pintu gua tu nanti, satu hal pula pasukan penyelamat kena kerah gerakan mencari.

Tetapi itulah, sebelum timbul masalah atau krisis, bukan main lagi dia sembang. Apa saja yang datang sanggup dihadapi. Apa-apa punlah. Sebut sahaja. Tak kiralah raksasa besar mana pun datang. Dia boleh jadi macam Ultraman, Superman, Spiderman atau Batman, Tetapi hakikatnya, nampak lipas terbang, dia yang lari dulu.

Wahai orang lelaki, rupa yang hensem pun tak guna, kalau asyik lari daripada masalah. Yang botak perasan hensem dan macho pun tak ada faedahnya (yang ini bukan mengata abang hensem ya), kalau asyik hendak harapkan orang perempuan berfikir untuk selesaikan semua masalah.

Hal-hal di rumah pun serahkan pada isteri selesaikan. Hal-hal di pejabat pun begitu, biar rakan setugas perempuan selesaikan. Kononnya hal remeh-temeh boleh bagi orang perempuan saja settle, mereka hendak settle hal berskala mega sahaja. Hakikatnya, hal yang besar pun tak nak fikir, cuba mengelak, remeh-temeh pun begitu, jadi nak fikir hal macam mana ya? Sebenarnya tak nak fikir apa-apa pun. Hendak tidur dan makan saja.

Memanglah lelaki ini selalunya nampak lebih ‘sempoi’ atau cool berbanding perempuan. Tetapi janganlah sampai terlalu sempoi sehinggakan orang perempuan kena fikir untuk awak semua. Jangan pemalas. Nanti malas-malas, otak jadi tepu.

Melarikan diri daripada masalah bukan ‘sempoi’. Sepatutnya orang lelaki adalah penyelesai masalah yang terbaik. Sebab, mereka ini kononnya tak emosional macam perempuan. Betulkah tak emosional? Cubalah bawa bergurau, gaji bulan ini dapat lewat 37 hari bulan. Tengok emosional ke tak?