Sementara di Britain pula, pemandu van berkulit putih yang dilaporkan berazam hendak membunuh semua orang Islam telah merempuh sekumpulan jemaah yang sedang berjalan pulang selepas sembahyang tarawih di masjid Finsbury Park, London.

Perdebatan muncul di Amerika dan Britain untuk melabelkan sama ada perbuatan-perbuatan itu adalah keganasan atau tidak. Peristiwa-peristiwa itu berlaku selepas serangan bom di Manchester dan London yang diisytiharkan sebagai perbuatan pengganas dengan dikaitkan kepada Daesh.

Maka sebahagian pihak menganggap bahawa serangan orang kulit putih itu adalah juga merupakan perbuatan keganasan seperti mana apa yang dilakukan oleh anggota rangkaian Daesh.

Sementara itu, ada pihak lain pula, terutamanya media tabloid Britain menyifatkan serangan ke atas orang Islam itu hanyalah pelakuan jenayah dan bukannya keganasan. Sebabnya meteka tidak melaungkan slogan agama seperti mana yang dilakukan oleh pengganas Daesh yang meneriakkan takbir sebelum melakukan serangan mereka.

Peristiwa yang berlaku di Amerika pula disifatkan sebagai perbuatan pembuli jalan raya yang bertindak sendirian dan bukannya angkara keganasan perkauman kulit putih. Perkara ini menjadi perdebatan dan muncullah empat sudut pandangan mengenainya.

Satu pandangan kata, keganasan yang berlaku di dunia hanya dibuat oleh orang Islam. Sebabnya mereka berhujah bahawa Islam adalah agama yang menganjurkan keganasan. Maka masalahnya terletak pada agama Islam.

Untuk menghapuskan keganasan, mengikut logik mereka, agama Islam perlu ditiadakan di muka bumi ini. Orang Islam perlu dipaksa supaya meninggalkan agamanya, jika tidak, orang Islam mesti dihapuskan.

Pandangan anti-Islam ini adalah seperti apa yang dipegang oleh orang Nazi ketika mereka percaya bahawa Yahudi adalah punca kejahatan di muka bumi ini. Kepercayaan ini dipanggil sebagai anti-semitisme. Kebencian mereka terhadap Yahudi mendorong kepada pembunuhan ramai daripada mereka secara bersistem dengan proses yang kini dipanggil Holocoast.

Terdapat sebahagian daripada masyarakat Barat, kebencian yang pernah dilemparkan kepada Yahudi kini berpindah kepada orang Islam. Maka apabila jet-jet mereka mengebom orang Islam, mereka tidak berasa bersalah kerana anggapannya ialah orang Islam berpotensi menjadi pengganas.

Sudut pandangan kedua pula menyatakan bahawa keganasan boleh wujud di mana-mana dan oleh sesiapa tanpa mengira agama. Bukan saja ada pengganas Islam tetapi juga Kristian, Yahudi, Hindu dan Buddha.

Penubuhan Israel juga dipelopori oleh kumpulan pengganas. Masing-masing ada pengganasnya. Tetapi buat masa sekarang pengganas paling banyak ialah dari kalangan orang Islam kerana ia membabitkan isu geopolitik. Hujah kedua ini membawa kepada sudut pandangan ketiga terhadap isu ini.

Pandangan ketiga yang sering dipegang oleh golongan kiri beranggapan bahawa tindakan keganasan bukan berpunca daripada agama, termasuk Islam. Ia berpunca daripada masalah geopolitik dengan agama kebetulan dijadikan platform untuk membolehkan mereka bertindak. Maknanya Daesh dan Al-Qaeda muncul kerana dasar luar Amerika yang memerangi orang Islam di Timur Tengah. Dari masalah Israel hinggalah soal minyak, orang Islam ditindas. Maka tentulah kebangkitan berlaku dengan menggunakan agama untuk tujuan politik.

Maka pandangan keempat pula dianggap mengambil kira semua faktor di atas dengan meletakkan bahawa gejala keganasan merupakan campuran pelbagai sebab hingga melahirkan keadaan sekarang. Umpamanya, soal politik dan geopolitik memberi kesan pada anggota masyarakat. Ia boleh berlaku pada mana-mana masyarakat.

Hakikatnya bilangan orang Islam adalah banyak di dunia ini dan tinggal di negara-negara gagal. Kegagalan negara mereka pula berkait dengan pencerobohan Amerika yang bertindak menjaga kepentingan walaupun di negara orang lain.

Islam pula adalah agama yang mempunyai tradisi politik kuat. Ia mempunyai konsep jihad dan syahid. Tentunya ia tidak seperti agama lain. Dengan pegangan kuat pada agama dicampur pula bersama kekecewaan politik dan profil personaliti tentu, maka ia boleh mendorong pada keganasan.

Ada seorang penulis Barat, Graham E Fuller menulis buku bertajuk A World Without Islam (Sebuah Dunia Tanpa Islam) yang cuba membayangkan dunia tanpa Islam seperti apa yang diharapkan oleh golongan anti-Islam. Beliau merumuskan bahawa jika tidak ada Islam, akan muncul agama lain yang umatnya akan bertindak seperti orang Islam.

Maknanya apa yang berlaku hari ini adalah hasil daripada perjalanan sejarah yang bukan saja melibatkan orang Islam semata-mata tetapi juga kuasa-kuasa lain termasuklah Amerika dan Rusia, atau sebelum ini adalah Soviet Union.

Jadi kembali pada persoalan adakah pembunuh anak gadis Islam di Virginia itu merupakan tindakan ganas atau tidak. Begitu juga adakah rempuhan van ke atas jemaah tarawih di Finsbury Park adalah tindakan teroris atau tidak.

Untuk menilainya maka perlu merujuk pada apa takrifan keganasan atau terorisme itu?

Takrifan asal adalah tindakan seseorang atau sekumpulan orang membunuh atau mencedera orang awam atas tujuan politik adalah keganasan atau terorisme. Istilah penuh ialah keganasan politik. Jika tindakan itu kerana kebencian pada seseorang atau segolongan manusia ia dipanggil jenayah kebencian atau hate crimes.

Tetapi perkataan ganas dan teror itu mencerminkan suatu tindak kejam dan menakutkan tanpa menyebut sebarang kaitan dengan politik atau agama.

Maka bagi memudahkan perbincangan, ambil saja takrifan arus perdana iaitu tindakan membunuh atau mencedera atas tujuan politik disebut keganasan atau terorisme. Tetapi jika tentera sesebuah negara membunuh orang awam dalam peperangan, ia tidak pula dipanggil keganasan. Ia boleh disebut sebagai jenayah perang tetapi bukan keganasan.

Jadi tidak diketahui apa motif pembunuhan anak muda Muslim itu. Adakah ia jenayah biasa atau jenayah kebencian. Di Barat, terdapat kepentingan untuk mengelakkan idea bahawa orang putih pun melakukan keganasan.

Tetapi yang lebih jelas jika laporan betul, tindakan sengaja merempuh jemaah tarawih itu adalah jenayah kebencian. Jika pelakunya berniat politik seperti ia bertujuan untuk menghalau orang Islam daripada Britain, maka itu adalah keganasan. Di Britain sudah ada kenyataan bahawa peristiwa itu adalah suatu tindakan keganasan.

Tetapi tidak kiralaah sama ada keganasan atau jenayah kebencian, atau jenayah perang, sama ada dilakukan pengganas secara organisasi, atau secara sendirian, akhirnya ia merupakan tindakan membunuh dan mencedera manusia. Maka ia tetap merupakan jenayah dan kejahatan yang ditolak dan patut dibasmi. Tidak kiralah apa agama, ideologi dan bangsa.

Maka tumpuan adalah kepada perbuatan itu dan mengapa seseorang melakukannya. Ia bukan soal ajaran agama. Ia merupakan isu tafsiran politik terhadap agama yang dianutinya.