Berdasarkan laporan akhir itu Kerajaan Malaysia bersetuju menggunakan khidmat syarikat penerokaan dasar laut dari Amerika Syarikat, Ocean Infinity Limited, bagi misi pencarian MH370 yang melibatkan kawasan seluas 25,000 kilometer. Ocean Infinity yang menyewa kapal penyelidikan Norway, Seabed Constructor, kapal canggih yang dilengkapi sistem sonar dengan lapan kenderaan dalam air automatik, Autonomous Underwater Vehicle (AUV).

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) DATUK SERI AZHARUDDIN ABDUL RAHMAN semasa diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID dan SAHIDAN JAAFAR di pejabatnya menjelaskan: “Sekiranya terjumpa bangkai MH370, apa-apa pengumuman akan diberitahu kepada waris-waris mangsa terlebih dahulu.

“Bagi pihak kerajaan, kita juga hendak tahu apa sebenarnya yang berlaku kepada pesawat malang itu dan kita mahu mengakhiri misteri di sebalik kejadian itu”.

Menurut Azharuddin, keutamaan misi kali ini adalah untuk mengenal pasti lokasi bangkai pesawat dan mendapatkan kedua-dua kotak rakaman penerbangan iaitu rakaman suara kokpit (CVR) dan rakaman data penerbangan (FDR).

“Kita kena buat dengan cepat, pantas dan betul supaya kita tak mahu perkara ini dieksploitasi dan timbul berita palsu yang hanya mengeruhkan keadaan," katanya.
 

MINGGUAN: Sekarang Ocean Infinity memasuki fasa terakhir dalam tempoh 90 hari pencarian. Sejauh manakah kepakaran yang dimiliki syarikat dari Houston, Amerika Syarikat ini. Mampukah MH370 dijumpai?

AZHARUDDIN: Ya. Kita telah memasuki fasa yang kita perlu bersedia sekiranya bangkai pesawat dijumpai. Apa yang terjadi sekiranya terjumpa? Nanti saya akan terangkan kemudian. Okey sebelum itu, kerajaan perlu memberitahu kepada dunia apa yang sedang kita lakukan sekarang. Kita sedang melakukan usaha-usaha mencari selepas Kerajaan Malaysia bersetuju untuk memberi kebenaran pencarian ini kepada sebuah syarikat bernama Ocean Infinity (OI) yang berpangkalan di Houston, Texas, Amerika Syarikat.

Sebelum itu, Ocean Infinity pernah tawarkan kepada Australia. Bagaimanapun, selepas kita menggantung pencarian MH370 pada 17 Januari 2017, maka segala keputusan yang diambil adalah merupakan keputusan kerajaan Malaysia.

Pasukan saya, Respons Team MH370, yang saya ketuai bersama wakil Kementerian Luar, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara berbincang lama juga sebelum membuat keputusan.

Sebelum diberi mandat untuk menandatangani perjanjian itu dengan Ocean Infinity, kita telah meneliti kewibawaan syarikat ini dan segala kepakaran yang dimiliki. Walaupun apa yang ditawarkan Ocean Infinity ini dipanggil no cure no fee (tidak ditemukan, tiada bayaran) kita diberi mandat untuk berbincang terlebih dahulu.

Kita juga telah mendapatkan pandangan pakar-pakar dari Australia mengenai sejarah dan latar belakang syarikat dan apa kepakaran mereka. Pada masa itu kita ada tiga tawaran iaitu Ocean Infinity, sebuah firma kajian maritim Belanda, MV Fugro Equator dan sebuah syarikat dari Malaysia. Selepas membuat penilaian ketiga-tiga syarikat tersebut, kita syorkan Ocean Infinity, sebab ada peralatan canggih dan kepakaran.

Ocean Infinity menyatakan mereka melakukan usahasama dengan sebuah syarikat yang terkenal dalam eksplorasi kapal peneliti dasar laut Seabed Constructor milik Kumpulan Swire dari Norway. Selepas berpuas hati, barulah kita minta Ocean Infinity sediakan satu dokumen perjanjian. Selepas bersetuju dan memuktamadkan perjanjian itu kita bawa kepada Jemaah Menteri. Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang pada 20 Disember 2017 meluluskan pencarian oleh Ocean Infinity.

Pada 10 Januari secara rasminya perjanjian dengan Ocean Infinity ditandatangani. Kita perlu bersetuju dengan perjanjian sebelum penghujung 2017, sebab Seabed Contruction akan belayar ke Port of Durban di Afrika Selatan bagi mengisi peralatan dan menguji segala peralatan untuk digunakan dalam operasi pencari di Lautan Hindi. Ocean Infinity turut menawarkan tempat untuk wakil kerajaan Malaysia di atas kapal. Kita meminta kerjasama dari Kementerian Pertahanan menempatkan dua pegawai daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang memiliki kepakaran dalam operasi pencarian itu. Pada 2 Januari 2018, belayarlah Seabed Construction ke Port Durban menuju lokasi pencarian iaitu di selatan Lautan Hindi, lokasi terakhir pesawat MH370 disyaki berakhir.

Bagaimana kaedah pihak kerajaan memantau Ocean Infinity di lokasi pencarian?

AZHARUDDIN: Ya, kita sentiasa memantau operasi pencarian oleh Ocean Infinity menerusi bilik operasi di tingkat empat Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Putrajaya. Kita ada peralatan mencukupi seperti monitor televisyen dan komputer untuk mengikuti perkembangan pencarian. Setiap hari kita mendapat laporan di mana kapal Ocean Infinity itu berada dan berapa luas kawasan telah dicari.

Ocean Infinity mula membuat pencarian ini pada pagi 22 Januari 2018. Mengikut terma perjanjian itu memerlukan Ocean Infinity mencari dalam tempoh 90 hari. Untuk mencari bangkai pesawat di bawah laut, Ocean Infinity memakai lapan Autonomous Underwater Vehicle (AUV) untuk scan. Satu demi satu dilepaskan ke dasar laut. Apa yang discan akan disalurkan kepada kapal Seabed Construction dan diproses dan segala data diperolehi boleh dibaca. Itu yang canggihnya.

Semua pemerosesan maklumat dibuat di atas kapal. Proses maklumat itu secara selari, serentak dengan perkembangan berlaku di bawah laut yang discan AUV. Kapal ini akan membuat pencarian selama 26 hari sebelum kembali semula ke pelabuhan untuk mengisi semula minyak. Bulan lepas Ocean Infinity balik ke Port Fremantle, di Perth Australia.

Pada 8 Februari 2018, saya pergi ke sana, ke Freemantle. Saya berpeluang berjumpa wakil-wakil kita di atas kapal Seabed Construction. Saya pergi dengan seorang pegawai saya dan konsul jeneral kita di Australia dan pegawai-pegawai Ocean Infinity dan Ahli Lembaga Keselamatan.

Kapal tersebut akan belayar semula ke lokasi pencarian pada hari Selasa 13 Februari 2018. Mereka mula mencari di kawasan primary seluas 7,000 kilometer. Ocean Infinity boleh melakukan pencarian dengan cepat sebab mereka menggunakan sehingga lapan Kenderaan Autonomus Underwater Vehicle (AUV) yang mampu beroperasi pada kedalaman 5,000 meter hingga ke 6,000 meter di bawah laut.

AUV ini berkeupayaan untuk mengendalikan misi bebas bagi mengumpul data berkualiti tinggi. Sehari AUV boleh meliputi kawasan seluas 1,000 kilometer.

Jadi seminggu sekali, setiap hari Selasa kita akan keluarkan laporan mingguan mengenai operasi pencarian ini. Orang yang pertama mendapat laporan itu ialah waris-waris mangsa. Waris-waris ini sensitif. Kita perlu hantar laporan ini kepada MAS dan pihak MAS akan alih bahasa ke dalam bahasa Mandarin untuk dihantar kepada waris-waris di Beijing melalui website yang kita ada.

Pada masa yang sama kita hantar laporan kepada Menteri Pengangkutan Malaysia, Australia dan China. Selepas itu, barulah kita letakkan laporan mingguan ini di website kita di DCA untuk semua orang termasuk media untuk mengakses maklumat terbaru yang telah dikemas kini.

Bagaimana peluang menemukan pesawat itu dan apa yang akan dilakukan jika MH370 dijumpai?

AZHARUDDIN: Berbalik kepada soalan tadi, sekiranya dijumpai, Ocean Infinity akan memberitahu saya melalui pusat operasi di DCA. Seterusnya, kita akan berjumpa dengan pakar-pakar yang terdiri daripada pegawai pasukan penyiasat dan pasukan MAS yang pernah bekerja dengan MH370, untuk menentukan kesahihan apa yang dijumpai itu benar-benar daripada bangkai pesawat MH370.

Kalau ya, kita cakap ya. Kalau tidak, kita katakan tidak. Kalau kita perlukan masa, kita perlu cari lagilah. Sekiranya betul yang dijumpai itu MH370 kita akan beritahu Menteri Pengangkutan dan beliau akan terus menghubungi Perdana Menteri dan Perdana Menteri sendirilah yang akan membuat pengumuman secara rasmi penemuan bersejarah ini.

Sekiranya jumpa, kita ada Standard Operating Prosedur (SOP) apa kita perlu buat. Kita kena buat dengan cepat, pantas dan dengan betul supaya kita tidak hendak, perkara sebegini dieksploitasi dan kita tidak mahu terjadinya berita palsu. Baru-baru ini macam-macam perkara telah viral di media sosial.

Kita kena faham, apa-apa pengumuman terbaru tentang MH370 kita kena beritahu waris-waris dahulu. Di luar sana ramai yang mengikuti perkembangan operasi pencarian MH370. Kita sekarang sedang berbincang tentang fasa sekiranya terjumpa, apa yang perlu kita lakukan iaitu kita panggil satu 'pelan menyeluruh'.

Melalui pelan ini, sekiranya jumpa kita kena hantar pasukan penyiasat di atas kapal Seabed Construction supaya apa yang diambil itu betul-betul bukti yang boleh digunakan untuk penyiasatan. Penyiasatan ini pula ada dua cabang. Satu teknikal (safety) keselamatan iaitu Annex 13 Safety Investigation Team dan kedua siasatan jenayah yang diketuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jadi kedua-dua pakar ini kena berada di sana (kapal) sekiranya MH370 ditemukan. Misi utama Ocean Infinity ialah untuk mencari bangkai MH370 dan mengesahkannya mengikut prosedur ditetap dalam perjanjian dengan kerajaan Malaysia.

Bagaimana jika MH370 tidak terjumpa dalam tempoh 90 hari?

AZHARUDDIN: Ada klausa yang mengatakan operasi pencarian ini boleh disambung, tertakluk kepada situasi. Bagaimanapun, kita kena tengok situasi masa itu dan terletak sepenuhnya kepada keputusan kerajaan Malaysia. Kalau Ocean Infinity meminta sambung operasi pencarian kita akan berbincang semula. Ocean Infinity nampak begitu yakin. Kalau dalam tempoh 90 hari dijumpai bangkai pesawat, Ocean Infinity sanggup mengambil apa-apa bukti yang kita hendak dari lokasi bawah laut.

Apa yang diperlukan sajalah yang akan diangkat. Kita faham untuk mengambil bukti-bukti bukan saja rumit tetapi amat mahal kosnya. Kita ada diberi taklimat pakar yang pernah membuat pencarian Air France terhempas di Lautan Atlantik (2009). Pesawat Air France tenggelam tidak dalam, cuma 4,000 meter di bawah laut. Bila turunkan robot AUV, dua jam baru sampai. Kerja mengangkat bahan bukti pula mengambil masa selama tiga jam.

Jika terjumpa, misi kedua ialah membuat satu pemetaan kawasan lingkungan yang melibatkan serpihan-serpihan yang terjumpa seperti enjin, tayar atau objek yang berkaitan. Juga dalam misi kedua ini keutamaannya ialah untuk mendapatkan kotak hitam iaitu rakaman suara kokpit (CVR) dan rakaman data penerbangan (FDR) untuk disiasat bagi mengetahui punca tragedi. Apa-apa perkara yang dirasakan perlu oleh pakar-pakar penyiasatan dengan perkara yang munasabah yang boleh diambil sebagai bukti. Sebabnya, dalamnya Lautan Hindi ini 6,000 meter bukannya calang-calang pakar boleh mengambil dan membawa naik bahan bukti ke atas kapal. Apa yang perlu, dua kotak hitam dan apa-apa yang perlu dijadikan bukti siasatan Itu semua fasa-fasa yang perlu kita muktamadkan sekiranya terjumpa.

Adakah kerajaan menentukan kawasan lokasi pencarian?

AZHARUDDIN: Tidak. Kerajaan tidak terlibat. Pencarian ini berdasarkan satu analisis Laporan Kajian Prinsip Pertama yang dikeluarkan oleh Australia selepas terjumpanya flaperon di Pulau Reunion. Berdasarkan pengesahan pakar-pakar dari Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) inilah lokasinya. Satu lagi laporan dipanggil ‘Laporan MH370 Bahagian Ketiga’ yang dikeluarkan Jun 2017. Bukti-bukti baru itu ditemui pada imej yang ternampak seperti objek buatan manusia, dirakam satelit milik tentera Perancis dua minggu selepas MH370 hilang pada Mac 2014.

Selepas dibuat analisis ternampak objek seperti buatan manusia di kawasan 5,000 kilometer persegi iaitu di luar kawasan pencarian oleh kerajaan Australia selama ini. Ada empat imej yang diambil dari kawasan seluas 25,000 kilometer persegi yang mungkin tempat bersemadinya pesawat itu, yang terletak ke utara daripada kawasan carian rasmi. Pakar-pakar telah mengenal pasti kawasan kurang daripada 25,000 kilometer persegi yang mempunyai kemungkinan tertinggi untuk menemukan bangkai pesawat MH370.

Dalam perjanjian dengan Ocean Infinity ada ditentukan lokasi pencarian melibat tiga kawasan yang telah dikenal pasti iaitu pertama seluas 5,000 kilometer, kedua seluas 10,000 kilometer dan ketiga lebih 10,000 kilometer. Jika tidak terjumpa, Ocean Infinity akan keluar sedikit daripada kawasan pencarian sekarang iaitu lokasi yang disyorkan pakar-pakar berpandukan laporan siasatan yang dikeluarkan oleh ATSB. Kawasan carian sekarang bukan ditentukan oleh kerajaan tetapi oleh pakar yang hendak mencari MH370. Pencarian MH370 perlu diteruskan oleh kerajaan mengikut ANNEX 13, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO). Peraturan ANNEX 13 yang menetapkan bahawa siasatan kemalangan perlu dilakukan bagi mengetahui puncanya dan mengelakkannya insiden yang sama berulang.

Sejauh mana harapan diberi kepada waris-waris mangsa tragedi MH370.

AZHARUDDIN: Bila mencari MH370 ini kita tidak boleh terlalu memberi harapan sangat kepada waris-waris mangsa ini. Mereka tentunya bergembira apabila kerajaan menyambung operasi pencarian. Mereka sedar kemungkinan orang yang disayangi sudah tidak ada lagi tetapi mereka mahukan supaya ada pengakhirannya. Mereka mengharap jiwa lebih tenang apabila mendapat jawapan sebenar yang selama ini dinanti-nantikan.

Kalau jumpa MH370 ini akan menjadi cerita besar. Sebab itu kita kena salurkan maklumat yang tepat dan perlu sahaja, supaya tidak menimbulkan pelbagai spekulasi, khabar angin dan berita palsu yang boleh menyebabkan situasi tidak senang dalam kalangan keluarga dan waris mangsa yang terlibat. Melalui misi pencarian kali ini oleh Ocean Infinity, saya optimis, kita mampu merungkai misteri MH370.