Sebelum ini PRK Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong dan Parlimen Port Dickson kesemuanya kerusi milik Pakatan Harapan (PH).

Cuma mampukah BN mempertahankan kerusi tradisi MIC sejak 2004 itu? Kalau diikutkan, majoriti undi yang diraih MIC makin lama makin menyusut. Kerusi Parlimen Cameron Highlands diwujudkan pada 2003 dan MIC mewakili kawasan itu (2004) dengan kemenangan majoriti 6,260 undi.

Pada 2008, kerusi itu terus dipertahankan oleh parti itu tetapi dengan majoriti lebih rendah, 3,117 undi.

Dalam PRU 2013, majoriti diraih MIC susut teruk kepada 462 undi sahaja. Masuk PRU-14 pun lebih kurang sama majoritinya menerusi Datuk C. Sivaraajh, 597 undi.

Dengar khabarnya, Naib Presiden MIC Datuk T. Murugiah sudah pun ‘berkampung’ di Cameron Highlands. Layak atau tidak bekas timbalan menteri itu jadi calon belum pasti lagi.

MIC sudah pasti menempuh laluan sukar untuk mempertahankan kerusi Cameron Highlands. Dengan peruntukan daripada kerajaan sekadar RM100,000 kepada ahli Parlimen pembangkang untuk menjaga pusat khidmat dan menyedia bantuan kecil kepada rakyat di kawasan masing-masing, berbanding RM500,000 buat wakil Parlimen PH, apalah sangat yang boleh diusahakan dengan dana sekecil itu.

Itupun peruntukan bukan disalurkan terus kepada ahli parlimen tetapi perlu dimohon. Jadi, kalau pun rajin atau kerap melawat kawasan, termasuk ke penempatan Orang Asli, adakah masih berbaloi untuk situasi menang-menang?

DAP yang akan meletakkan calon tentunya akan lebih teruja kali ini, sambil menaruh harapan tinggi pada bekas Ahli Parlimen Teluk Intan, M. Manogaran untuk memadamkan rekod dua kali kekalahannya di Cameron Highlands 9 Mei lepas dan 2013.

Tapi dalam asyik Murugiah dan Manogaran mencongak peluang masing-masing untuk tersenarai sebagai calon 12 Januari ini, ada terlepas pandang ‘penangan’ yang barangkali akan dicetuskan oleh Presiden MyPPP yang dipecat, Tan Sri Dr. M. Kayveas.

Kayveas sudah menunggu hampir dua dekad untuk menjadi calon pilihan raya di Cameron Highlands.

Beliau mendakwa, kerusi Cameron Highlands pernah dijanjikan oleh Presiden UMNO Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 2000. Bagaimanapun pada saat akhir kerusi itu diserahkan kepada MIC manakala Kayveas dicalonkan di Taiping dalam PRU 2004.

Begitupun, beliau memenangi kerusi Taiping itu dengan majoriti 2,172 mengalahkan pencabarnya dari DAP dan PKR. Pada PRU 2008, Kayveas sekali lagi diarahkan mempertahankan kerusinya manakala MIC kekal di Cameron Highlands.

Nasib tidak menyebelahinya. Kayveas kalah teruk kepada Nga Kor Ming dengan majoriti diraih calon DAP itu 11,298 undi. Menjelang PRU 2013, Kayveas ‘menuntut semula’ Cameron Highlands tetapi tidak dipedulikan. Kerusi Taiping diserahkan semula kepada Gerakan.

Kayveas difahamkan enggan mengalah kali ini. Jika itu congakan dalam fikiran Uncle Bond ini, adakah bermakna Kayveas akan menjadi ‘pengacau’ kepada MIC?

Populasi 32,009 pengundi di Cameron Highlands mengikut kaum Melayu, Cina dan India dalam kadar 4:4:2. Pengundi Cina dan India tentunya menjadi penentu kemenangan nanti.

Pengundi Cina pastinya akan ‘berkiblatkan’ DAP. Dalam senario politik hari ini dengan UMNO masih dalam mood penolakan, MIC tidak boleh bergantung harap kepada pengundi Melayu untuk memenangi PRK kali ini.

Lagipun, kaum India sudahpun diwakili empat orang menteri dalam kerajaan. Tentunya kecenderungan kaum itu kepada calon DAP.

Pas yang tidak akan meletakkan calon mungkin telah awal ‘membaca’ sukar untuk menang dalam keadaan komposisi pengundi lebih memihak kepada bukan Melayu.

Dan ada ketikanya calon yang beria-ia mahu bertanding perlu realistik dan berpijak di bumi nyata.

Walaupun ada yang memiliki kelebihan dilahir dan dibesarkan di situ, bahkan mungkin kenal kebanyakan pengundi di Cameron Highlands, hakikat senario politik semasa menuntut mereka `akur’ berhadapan parti mega yang kini kerajaan.