Ogos menjadi saksi keha­diran kuasa penjajah. Ogos juga menyaksikan kuasa penjajah dilucutkan dari tanah air dicintai ini setelah 162,918 hari atau 446 tahun negara dibelenggu bangsa kolonial sejak 15 Ogos 1511.

Namun sejarah juga memberi peluang kepada kita untuk berkongsi pengalaman dan menimba pengetahuan mengenai kaedah membina keupayaan menghadapi masa depan.

Menjelang Ogos tahun ini, banyak khabar gembira diterima. Pertama, pertambahan kuota jemaah haji Malaysia diluluskan oleh Kerajaan Arab Saudi yang membolehkan 30,200 jemaah berkesempatan menunaikan haji kali ini.

Tabung Haji memperoleh 30,200 kuota haji tahun ini berbanding 22,230 selama tiga tahun sebelum ini. Untuk rekod Januari lalu, kuota haji Malaysia dikembalikan kepada 27,900 orang.

Penerbangan pertama jemaah bermula 24 Julai lalu. Kebetulan pula musim Haji tahun ini jatuh pada bulan kemerdekaan. Sementara penerbangan terakhir bakal haji ke tanah suci dijangkakan pada 25 Ogos 2017.

Khabar keduanya melibatkan pencapaian cemerlang beberapa atlet negara di kejohanan dunia. Atlet negara memperoleh dua pingat emas dalam Kejohanan Olahraga Para Dunia IPC 2017 di London menerusi Ziyad Zolkefli dalam cara lontar peluru dan Abdul Latif Romzi (lompat jauh).

Demikian juga kejayaan penerjun Malaysia, Cheng Jun Hoong yang meraih emas dalam acara 10 meter platform individu pada Kejohanan Dunia Fina ke-17 di Budapest, Hungary.

Pelari pecut Khairul Hafiz Jantan turut memecahkan rekod kebangsaan 200 meter berusia 49 tahun (20.92s) dengan mencatat rekod baharu 20.90s pada Kejohanan Olahraga Pra Sukan SEA 2017. Sebelum itu ia dipegang oleh Tan Sri Dr. M Jegathesan.

Begitupun Ogos 2017 dilihat lebih signifikan. Bukan sahaja negara akan menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-60, malahan akan menjadi tuan rumah bagi acara sukan terulung di peringkat Asia Tenggara iaitu Sukan SEA kali ke-29.

Bersempena penganjuran Su­kan SEA Kuala Lumpur 2017 dalam bulan kemerdekaan di samping sambutan kemerdekaan negara yang genap 60 tahun, sudah pasti tumpuan masyarakat ASEAN tertumpu kepada kejayaan Malaysia menganjurkan sukan ini dengan jayanya.

Rakyat Malaysia perlu menampilkan solidariti melalui sukan dengan memberi sepenuh sokongan kepada pasukan kontinjen negara untuk mencapai sasaran pingat yang telah ditetapkan selaras dengan slogan Sukan SEA 2017 ini iaitu ‘Bangkit Bersama’ (Rising Together!).

Sebenarnya, ‘Bangkit Bersama’ tidak terhad kepada Sukan SEA sahaja, malah boleh direalisasikan ke dalam semangat patriotisme dengan mempunyai keyakinan yang tidak mudah goyah.

Tahap patriotisme ini amat penting khususnya buat golong­an muda.

Kerelaan dan keinginan yang tinggi kalangan anak muda untuk menjadi sukarelawan dan petugas sepanjang temasya Sukan SEA 2017 yang akan berlangsung tidak lama lagi ini mencetus fenomena bahawa mereka ini sebenarnya bersifat patriotisme.

Meskipun hanya memerlukan 20,000 sahaja petugas sukarela, namun Sekretariat Sukan SEA ke-29 dan Para ASEAN ke-9 (MASOC) menerima permohonan lebih 50,000 petugas yang berminat menyumbangkan tenaga mereka.

Jualan tiket yang habis untuk acara seperti bola keranjang, bola jaring dan taekwondo di samping acara akhir bagi pencak silat dan renang mula membuktikan tanda-tanda awal kejayaan penganjuran sukan ini. Sambutan luar dugaan ini menyebabkan pihak penganjur terpaksa menambah tempat duduk tambahan di ge­langgang-gelanggang berlangsung acara tersebut.

Selagi rakyat berdaya saing, kerajaan sememangnya sentiasa berusaha dan mengambil langkah-langkah proaktif dalam me­laksanakan perubahan-perubahan yang perlu ke arah mencapai tahap yang lebih baik dari yang sedia ada.

Biarkan gema lagu Negaraku yang berkumandang seiring de­ngan kejayaan jagoan negara menempa nama selaku penuai pingat emas di Sukan SEA kali ini tidak dicemari dengan laungan negatif segelintir individu yang acap kali cuba mencemarkan nama baik negara.

Sesungguhnya Ogos ini suatu bulan yang amat unik dan menjadi satu penantian serta satu ujian yang mendebarkan buat seluruh rakyat Malaysia.

Satu perkara utama yang ditekankan dengan kedatangan bulan Ogos ialah sikap mentaliti jaguh (winning mentality). Ia adalah suatu sikap positif yang bukan sahaja perlu ada pada setiap atlet negara dan paling penting juga setiap rakyat bagi menghadapi situasi yang kian mencabar.

Sikap keyakinan yang sanggup berkorban demi negara dengan menunjukkan sokongan, kesungguhan dan memberikan yang terbaik agar kita menjadi penganjur yang berjaya pada temasya dwi tahunan kali ini.

Lebih manis lagi jika pasukan kontinjen negara berjaya menjadi johan keseluruhan kutipan pi­ngat termasuk memperoleh pingat emas dalam acara ibu segala sukan iaitu bola sepak.

Ini di samping acara-acara lain ‘hadiah tanda kenangan’ sempena sambutan kemerdekaan negara ke-60. Demi Negaraku, Ayuh Bangkit Bersama!