SUATU kesedaran di sebalik Sidang Kemuncak Satu Jalur, Satu Laluan (OBOR) di Beijing minggu lepas adalah munculnya sebuah kuasa besar dunia yang menyaingi dominasi Barat. Dalam era Brexit dan Trump, China mengambil peluang memaparkan visi globalisasinya. Tatkala dunia bingung mentafsir bagaimana jaguh tradisi ekonomi keterbukaan dan perdagangan bebas iaitu Amerika Syarikat dan United Kingdom seakan-akan mengambil pendekatan mengundur, China menjemput negara-negara membangun seperti Malaysia bersama mereka membentuk pola ekonomi baru yang menjanjikan keuntungan buat sama.
Persefahaman baharu ini bukan perkara yang wajar dipandang enteng dunia. Jika terlaksana perancangan OBOR melangkaui sempadan benua dari Jakarta sehingga ke Rotterdam, ia bakal melakar semula peta perdagangan dan geopolitik dunia pada skala yang tiada tolok bandingnya, sekali gus meletakkan China sebagai pemacu utama globalisasi era baharu. Implikasinya wajar diperhalusi oleh semua, apatah lagi Malaysia sebagai sebuah negara yang sangat terdedah kepada trend global. Suka atau tidak, kita perlu meneliti aspirasi besar negara China lantas mempersiap-siaga langkah-langkah atau dasar-dasar persediaan yang sesuai. Dalam erti kata lain, meski kita gemar dengan konsep “kerjasama menang-menang”, ia mesti diseimbangkan dengan kewaspadaan dan kebijaksanaan terancang.
Maka, sambil kita tunggu dan lihat bagaimana perancangan China atas kertas diterjemah kepada pembangunan fizikal hakiki, kita sudah mampu membaca sedikit sebanyak petanda cita-cita tersirat negara itu. Menariknya, petanda yang wujud menggambarkan bahawa China mempunyai matlamat melangkaui lebih daripada aliran perdagangan dan pelaburan semata-mata. Sebaliknya, kita melihat gambaran sebuah negara yang mengimpikan status sebagai kuasa besar dunia yang punyai pengaruh sepertimana Barat sebelum ini.
Sebahagian daripada tanda-tanda ini telah pun muncul seperti dalam contoh perbelanjaan sejumlah AS$10 bilion setiap tahun untuk projek-projek “kuasa lunak” (soft power) seperti membiayai Institut-institut Confucius di 140 buah negara mengajar bahasa dan masakan China, menaja sambutan Tahun Baharu Cina di negara-negara luar, melabur di dalam media bahasa Inggeris dan membina stadium-stadium untuk pasukan bola sepak di benua Afrika. Bandingkan skala perbelanjaan tersebut dengan Amerika Syarikat pada 2014 yang memperuntukkan hanya AS$670 juta untuk diplomasi awam.
Semua ini tidak bermaksud Malaysia semestinya harus gusar merebut peluang keemasan kemasukan pelaburan beratus bilion yang mampu menyuntik peluang pekerjaan dan pulangan ekonomi untuk rakyat dan negara. Suka atau tidak, Malaysia adalah sebuah ekonomi yang bergantung kepada perdagangan dan keterbukaan. Tetapi seperti yang sudah dibayangkan di atas, tidak salah juga sekiranya dalam kita menyambut pelaburan dan peluang dari China dengan dakapan terbuka, kita juga meletakkan diri supaya mencapai matlamat ekonomi jangka panjang kita sendiri.
Secara hakiki, ini bermaksud bahawa syarikat-syarikat Malaysia perlu mengaut lebih daripada sekadar kekayaan mudah dan cepat melalui subkontrak dengan margin keuntungan yang rendah daripada kontraktor utama China. Sejauh mana mampu, kita juga harus menggalakkan perusahaan bersama yang mensyaratkan pemindahan teknologi dan kepakaran daripada syarikat China kepada syarikat Malaysia.
Selain itu, meski kita mengalu-alukan projek-projek infrastruktur besar bagi membantu mencapai sasaran pelaburan dan pertumbuhan ekonomi, bagi jangka masa panjang, Malaysia perlu merangka strategi yang tepat supaya sumber pelaburan baharu dari China ini juga dapat membantu membangunkan kepakaran tempatan dalam bidang dan industri lain. Khususnya, kita wajar mengutamakan industri dengan nilai tambah tinggi yang sudah pun termaktub dalam dokumen Model Baharu Ekonomi kita seperti teknologi hijau, petrokimia dan perbankan Islamik, selain peluang lain melalui Zon Perdagangan Bebas Digital yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.
Natijahnya, Malaysia harus sentiasa mencorak kaedah dan pelaksanaan pelaburan China ini berdasarkan hala tuju yang kita sendiri tentukan, bukan sebaliknya. Kita menyakini kemampuan Kerajaan Malaysia memimpin strategi ini kerana semuanya memerlukan kerja keras dan kajian mendalam. Bukan mudah cuba merencana negara lain apatah lagi negara besar seperti China. Tetapi untuk situasi “menang-menang” terlaksana, kita juga perlu ada sedikit-sebanyak kuasa meletak syarat-syarat tertentu di dalam perkongsian ekonomi demi memastikan kepentingan negara kita terpelihara.
Untuk sesetengah negara lain yang sedikit mundur pembangunannya berbanding Malaysia, barangkali pendekatan menerima apa sahaja bentuk pelaburan dari China tanpa mencorak terma dan syarat adalah langkah yang tepat buat mereka. Tetapi tidak Malaysia. Dari satu sudut, kita berada dalam situasi yang lebih sukar berbanding negara-negara yang baru membangun. Kerana bagi Malaysia yang telah pun melalui era pembangunan pesat sebelum ini, keadaan sekarang memerlukan kita amat strategik dan terancang dalam membangun kepakaran dan subsektor tertentu, lantas melonjakkan negara kita sebagai sebuah negara “Top 20” dunia sepertimana hasrat Perdana Menteri untuk mengisi visi Transformasi Nasional 2050 (TN50).
PENULIS ialah Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Malaysia dan seorang Duta TN50.
Bahana AS di Baitulmuqaddis