Kejadian tidak terduga itu berlaku pada tahun 2010, semasa Dr. Abu Hassan bertugas pada sebelah pagi pada Hari Raya Aidilfitri kedua. Kebetulan sehari sebelum kejadian itu beliau baru pulang daripada menunaikan ibadah umrah di Mekah pada bulan Ramadan.

Suasana tenang di Bahagian Kecemasan dan Trauma pagi hari raya kedua itu tiba-tiba dikejutkan dengan kejadian tidak disangka-sangka apabila salah seorang lelaki berusia 20-an muncul dengan menghunus dua bilah pisau di tangannya.

Sebilah pisau di tangan kirinya di acu ke arah lehernya sendiri manakala pisau di tangan kanannya di hunus ke depan. Semasa berdepan situasi cemas itu, mujurlah Dr. Abu Hassan tidak panik sebaliknya beliau berusaha menenangkan pesakit berkenaan yang dipercayai di bawah pengaruh dadah agar tidak mencederakan dirinya dan membahayakan nyawa orang awam yang sedang berurusan mendapatkan rawatan.

Keadaan bertambah tegang apabila pesakit terbabit enggan mematuhi arahan pihak polis yang mengepungnya supaya menyerah diri atau meletak pisau ke tanah bagi menghalang kejadian tidak diingini berlaku.

Malah dalam suasana tegang itu pesakit terlibat juga memberi amaran supaya pihak polis tidak cuba mendekati atau menangkapnya.

Kaedah ‘Critical Incident Stress Management’ atau ‘Psychological First Aid’ telah digunakan oleh Dr. Abu Hassan untuk intervensi kes ‘Reaksi Akut Psikologi’ ini yang memerlukan kepakaran yang luar biasa.

Setelah memujuk selama hampir dua jam, akhirnya suspek yang dipercayai di bawah pengaruh dadah itu bersetuju mengikutnya berjalan kaki sejauh 500 meter untuk menerima rawatan susulan di wad Jabatan Psikiatrik Hospital Kuala Lumpur.

Semasa dalam perjalanan ke wad untuk melintasi pintu masuk Hospital Kuala Lumpur yang dipenuhi dengan orang awam, tiba-tiba pesakit itu terus berlari apabila ternampak anggota polis mengikutinya.

Dr. Abu Hassan terpaksa mengejar suspek disamping menggunakan segala kemahiran beliau membuat intervensi dan berjaya menenangkan keadaan.

Drama yang mencemaskan itu berakhir dengan selamat dan tiada sesiapa tercedera termasuk pesakit itu sendiri hasil kebijaksanaan Dr. Abu Hassan memujuknya bagi mengalih perhatian ke kawasan lain yang lebih selamat agar tidak mencederakan dirinya atau orang awam.

Malah, Dr. Abu Hassan sendiri menarik nafas lega apabila beliau sendiri turut terselamat dalam insiden pagi Syawal kedua yang terjadi kira-kira 17 tahun lalu.

“Itulah antara pengalaman paling saya ingati sampai hari ini selain bertugas semasa tragedi Highland Towers pada tahun 1993, Sukan Komanwel 1998 dan kejadian Tsunami di Aceh tahun 2004.

Dr. Abu Hassan memulakan kerjaya sebagai Pakar Traumatologi dan Bedah Trauma di Hospital Kuala Lumpur pada tahun 1992 sekembalinya dari United Kingdom dan Scotland selepas mendapat kelulusan kepakaran dari Royal College of Surgeons of Edinburgh, Scotland dengan gelaran Fellow of the Royal College of Surgeons Edinburgh.

Sebagai Pakar Bedah Trauma, Dr. Abu Hassan melihat tugasnya begitu mencabar kerana ketika itu belum wujud Perkhidmatan Kecemasan dan Trauma seperti yang ada pada hari ini di hospital-hospital kerajaan di seluruh negara.

Sebaik-baik diberikan tanggungjawab besar sebagai Ketua Jabatan Kecemasan Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 1993, beliau seterusnya menyusun langkah, mengambil inisiatif merangka dan membuat inovasi bagi proses pembangunan semula Perkhidmatan Perubatan Kecemasan dan Trauma di seluruh negara ini.

Beliau yang digelar The Father of the Modern Emergency Medical and Trauma Services (Bapa Pemodenan Perkhidmatan Kecemasan dan Trauma Malaysia) kerana beliaulah individu yang bertanggungjawab melahirkan Sistem Perkhidmatan Kecemasan dan Trauma yang komprehensif, mereka bentuk struktur Jabatan Kecemasan berdasarkan falsafah beliau sendiri “Structure Mirrors Process and Structure Facilitates Care”.

Pada tahun 1999, Dr. Abu Hassan berjaya merintis kursus bagi Sarjana Perubatan Kecemasan bertujuan melahirkan lebih ramai pakar di Jabatan Kecemasan dan Trauma hasil kerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM). Langkah seterusnya disusuli oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM) pada tahun berikutnya sehingga berjaya melahirkan 300 orang pakar di negara ini.

Pada tahun 1995, beliau menubuhkan Persatuan Malaysian Society for Traumatologi and Emergency Medicine (MASTEM) dan dilantik sebagai Presiden.

MASTEM amat aktif dalam menjayakan konferens dan kursus. MASTEM yang diasaskan oleh Dr. Abu Hassan turut melakar sejarah bagi melahirkan konsep ‘Universal Responder’ yang mempertingkatkan kemahiran penyelamatan nyawa di tempat kejadian bagi Pegawai Bomba dan Penyelamat, Polis, Angkatan Pertahanan Awam dan agensi lain lagi.

“Sehingga hari ini seramai 2,000 anggota Bomba dan Penyelamat di seluruh negara telah dilatih menjalani kursus penyelamat nyawa di lokasi kejadian bagi program anjuran MASTEM.

Dr. Abu Hassan sebagai seorang yang kreatif telah berjaya mencipta pelbagai ciptaan dan invensi peralatan perubatan, juga inovasi dalam perkhidmatan perubatan kecemasan umpamanya perawatan kepatahan tulang mangsa trauma, perawatan kepatahan tulang pelvic (Nina Pelvic Immobiliser).

Begitu juga bagi perawatan pembedahan trauma beberapa invensi dan inovasi diwujudkan oleh Dr. Abu Hassan iaitu Mobile Trauma Operation Theater, konsep ini merupakan yang pertama di Asia.

Selain itu beliau turut mewujudkan Pusat Khidmat Sepadu iaitu satu inovasi yang diiktiraf oleh World Health Organisation (WHO) bagi menangani kes-kes keganasan rumah tangga dan rogol dengan kerjasama polis, Jabatan Kebajikan, Biro Guaman dan NGO.

Inovasi ini telah diaplikasikan di seluruh negara termasuk diguna pakai di luar negara seperti Filipina, Bangladesh dan Thailand kerana negara berkenaan memiliki pola masyarakat yang sama dengan Malaysia.

“Ciptaan, invensi dan inovasi yang telah direka cipta ini semata-mata bertujuan untuk membangunkan satu Perkhidmatan Kecemasan dan Trauma yang komprehensif, moden dan berintergrasi di negara ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Melalui kaedah ini, setiap pesakit yang dihantar ke Jabatan Kecemasan dan Trauma akan disaring terlebih dahulu bagi mengenal pasti keadaan kesihatan yang dialami mereka sebelum ditempatkan di tiga zon utama iaitu zon merah, kuning dan hijau.

Konsep Rekabentuk Struktur direkacipta oleh Dr. Abu Hassan pada 1995 bagi struktur jabatan kecemasan ialah dengan mendefinisikan sistem perawatan di setiap zon berkod warna dan perawatan mengikut kadar ketenatan pesakit - zon merah untuk pesakit kritikal, kuning (separa kritikal) dan hijau (tidak kritikal).

Sistem Saringan Pesakit (Triage System) yang menentukan berkenaan ketenatan pesakit dan prioriti yang efisien juga ciptaan beliau yang membolehkan setiap pesakit di hantar ke ruang perawatan yang berpatutan dengan ketenatan pesakit. Sistem Saringan yang berperingkat iaitu Triaj Primer, Triaj Sekunder dan Triaj Definitif boleh memastikan intervensi cepat kepada yang memerlukan diberi rawatan secepat mungkin.