Masihkah anda ingat dengan dialog seperti di atas? Bagi warga kota yang membesar sekitar tahun 1970-an hingga 1998 pasti sudah masak dengan ‘skrip rasmi’ yang menjadi laungan konduktor-konduktor bas mini.

Bas mini, satu nama yang tidak memerlukan banyak pengenalan. Bercakap mengenainya pun sudah boleh membuatkan generasi pengguna perkhidmatan bas awam tertua dan popular di Malaysia itu tersenyum hingga ke telinga.

Memandu melebihi had laju, berhenti mengambil penumpang di mana-mana sahaja, langgar lampu isyarat, memotong ke kiri dan kanan sampai penumpang dalam bas melambung-lambung seperti menaiki roller-coaster.

Senang cerita, bas mini memang luar biasa pantas berbanding bas-bas lain. Keistimewaan tersebut sudah cukup membuktikan betapa bas kecil berwarna piawai merah jambu-putih itu gah sebagai ‘raja jalanan’.

Paling menyeronokkan, jika bas yang dinaiki tersekat dalam kesesakan jalan raya. Apa tidaknya, di saat lalu-lintas tidak bergerak, pemandu bas mini berlumba-lumba mempamerkan kecekapan serta ketangkasan masing-masing dalam memotong dan ‘mencilok’ kereta di sana sini sampaikan ada yang berani naik ke atas penghadang jalan.

Biarpun hampir setiap masa terpaksa berhimpit-himpit seperti ikan sardin, hakikatnya bas mini yang mengenakan tambang tetap sebanyak 60 sen sentiasa menjadi pilihan utama orang ramai untuk ke tempat kerja, sekolah mahupun ketika bersiar-siar.

Namun, bas yang satu ketika dahulu menjadi identiti dan nadi pengangkutan awam di ibu negara, hanya tinggal kenangan apabila perkhidmatannya ditamatkan pada 1 Julai 1998.

Perkhidmatan bas mini yang berkeliaran secara bersimpang siur di ibu kota telah ditukar dengan perkhidmatan yang lebih berdisiplin oleh bas Intrakota dan kemudian RapidKL (2005).

Wartawan S2, ROSALINDA MD.SAID dan jurugambar ZAINI HUSIN, FAUZI BAHARUDIN, ABDUL NAZIR MOHAMED, GHAZALI BASRI serta WAN NAQIUDDIN WAN YAACOB mengimbau 1,001 kenangan di sebalik perkhidmatan selama 23 tahun bas mini dalam menghidupkan ‘nyawa’ ibu kota Kuala Lumpur.