Saya memberanikan diri mencadangkan untuk meminda Perkara 8 (2), Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan tiada diskriminasi berdasarkan gender. Ketika itu, saya masih baharu dalam barisan Kabinet yang dianggotai oleh ramai pemimpin ternama. Secara jujur­nya, saya berasa amat teruja kerana saya tahu isu meminda Perlembagaan Persekutuan apatah lagi yang membabitkan wanita bukan satu perjuangan yang mudah. Namun saya beranikan diri dan menguatkan tekad untuk meneruskan apa yang ingin saya perjuangkan. Saya telah mempersiapkan diri dengan segala fakta dan angka untuk berhujah. Sebagai seorang yang mempunyai latar belakang undang-undang, saya melihat betapa pindaan ini amat penting untuk dilaksanakan. Saya melihat pindaan ini sebagai suatu game changer dan permulaan era baharu kesaksamaan jantina di Malaysia.

Pada masa itu saya menjangkakan perdebatan hebat di Kabinet ataupun cadangan saya akan ditolak. Namun, sebaliknya yang berlaku. Jemaah Menteri sebulat suara bersetuju dengan pindaan tersebut. Pada saat itu, saya sedar ada harapan di dalam negara ini untuk golongan wanita menggapai bintang dengan sokongan lelaki. Setelah pindaan tersebut dilaksanakan, dapat saya simpulkan bahawa tidak mustahil golongan lelaki di negara ini akan bersama-sama wanita ke arah kesaksamaan dan keadilan gender. Namun, kita wanita perlu memperjuangkannya dengan penuh kebijaksanaan, keberanian dan hikmah.

Sejak Perkara 8 (2) Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk menentukan tidak boleh ada diskriminasi berasaskan jantina, pelbagai kejayaan yang amat bermakna telah kita kecapi dalam pembangunan dan pemerkasaan wanita. Wanita kini menjadi golong­an majoriti iaitu hampir 70 peratus di institusi pendidikan tinggi. Lebih ramai wanita telah menjadi pembuat keputusan sama ada di sektor awam mahupun swasta. Penjagaan kesihatan ibu juga telah bertambah baik dan jumlah wanita yang berjaya dalam perniagaan semakin tinggi. Selain itu, kadar penyertaan tenaga buruh wanita juga telah meningkat dari 46.8 peratus pada 2001 ke 54.1 peratus pada 2015. Banyak lagi pencapaian lain wanita yang boleh kita banggakan.

Semua kejayaan ini dapat kita kecapi hasil keprihatinan kerajaan melabur dalam pembangunan sosial, ekonomi, politik dan kesihat­an wanita.

Walaupun demikian, perjalanan kita masih belum berakhir. Bilang­an perwakilan wanita di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta jawatan politik yang lain masih perlu ditingkatkan. Hal ini memerlukan wacana yang tersendiri. Kadar penyertaan tenaga buruh wanita di Malaysia masih lagi rendah berbanding negara serantau. Di Singapura misalnya, kadar penyertaan tenaga buruh wanitanya berada pada tahap 60.4 peratus manakala di Thailand hampir 70 peratus. Isu pengunduran wanita dari dunia pekerjaan mesti ditangani.

Tanpa teragak-agak, kita mesti terus mendesak pewujudan sebuah ekosistem pekerjaan yang mesra keluarga bagi membolehkan wanita bekerja di pejabat atau di rumah dan dalam masa sama dapat memenuhi tanggungjawab terhadap keluarga. Isu-isu seperti pusat penjagaan kanak-kanak dan warga tua, cuti bersalin dan cuti untuk suami yang isterinya bersalin, waktu kerja anjal, kesamaan gaji dan sebagainya tidak boleh dipandang enteng.

Dalam kita meraikan Hari Wanita Antarabangsa pada hari ini, marilah kita membawa agenda wanita ke suatu tahap yang baharu dan lebih tinggi. Kuasa wanita tidak boleh dinafikan dalam mana-mana sistem negara berdemokrasi. Bahkan isu wanita tidak wujud secara berasing­an. Ia saling berkait dengan keperluan rakyat, persekitaran dan ekonomi secara keseluruhannya. Agenda wanita masa kini perlu dilihat dalam konteks nasional dan global.

Perancangan masa hadapan perlu dirangka dalam konteks memperkasa dan menggerakkan wani­ta untuk terus berkembang maju dalam semua bidang yang diceburi. Usaha meningkatkan penyertaan wanita dalam politik, keusahawan­an, dunia korporat, serta sains dan teknologi harus diteruskan. Pada masa sama, wanita yang telah pun menceburi semua bidang ini perlu digalakkan dan dilengkapkan supaya menjadi lebih inovatif agar kekal berdaya saing.

Kita mesti mencari penyelesai­an kepada persoalan berikut: Apakah yang perlu dilakukan untuk menangani isu kekurangan wanita dalam bidang-bidang yang dinyatakan di atas? Bagaimanakah kita dapat memecahkan tembok yang menghalang wanita untuk menceburkan diri dalam bidang yang kini didominasi lelaki? Di samping itu, persoalan berikut juga perlu difikirkan bersama: Bagaimana untuk menanam pemikiran kreatif dan inovatif dalam kalangan wanita? Bagaimanakah kita dapat melengkapkan para usahawan wanita untuk mengembangkan perniagaan mereka menjadi syarikat gergasi yang mampu menembusi pasaran global?

Tema Hari Wanita Antarabangsa - Berani untuk Berubah adalah tema yang sangat tepat pada masanya. Ia menggesa satu anjakan pemikiran bukan sahaja dalam masyarakat bahkan kalangan wanita itu sendiri. Malangnya, stereotaip jantina yang sudah berakar umbi bahawa wanita hanya sesuai berada dalam peranan sokongan, bukan sebagai pemimpin menjadi pegangan kebanyakan lelaki juga wanita. Kajian telah menunjukkan bahawa wanita sering memandang rendah akan kebolehan diri berbanding lelaki. Pemikiran ini mesti diubah.

Peranan berasaskan gender tidak lagi relevan di zaman ini. Pada hari ini, semakin ramai kaum Adam yang tidak merasa terancam bahkan mahukan yang terbaik untuk kaum Hawa. Jus­teru, semua wanita sewajarnya turut meyakini potensi besar yang ada dalam diri masing-ma­sing. Semua wanita adalah pe­mimpin. Yakinlah pada kebolehan kita untuk memimpin dan berjaya. Tampillah ke hadapan. Jadilah wanita yang lebih berani dan menonjol. Jangan gentar me­nyahut cabaran baharu. Jangan bimbang untuk berkembang dan menjangkau sempadan. Perkasakan diri dengan teknologi digital dan ekonomi rangkaian untuk maju ke hadapan. NGO wanita perlu bekerjasama, bukan bekerja secara silo, demi kebaikan wanita dan negara. Kemunculan organisasi wanita generasi baharu seperti Lean In and Lead Women membawa fungsi organisasi wa­nita ke tahap yang baharu.

Terkini, kerajaan sedang me­ngumpul pandangan terutamanya daripada golongan muda dalam merangka Transformasi Nasional 2050 (TN50). Ambillah kesempatan ini untuk membentuk Malaysia di mana wanita dapat terbang tinggi bebas daripada sebarang halangan atau diskriminasi.

Rangka tindakan TN50 mestilah bersifat inklusif bagi semua kumpulan wanita, sama ada ibu yang bekerja, wanita tunggal, usahawan, wanita dalam politik, profesional, wanita bandar, wanita luar bandar, suri rumah atau yang kurang upaya. TN50 mesti memenuhi ke­perluan yang berbeza dan menangani cabaran yang pelbagai. Diharap 2050 akan menjadi satu era yang hebat untuk wanita Malaysia.

Dengan pelbagai cabaran yang mendepani kita, sasaran dan matlamat baharu perlu ditetapkan. Pada 2050, saya membayangkan lebih ramai wanita Malaysia sebagai gergasi korporat dan tokoh besar politik. Saya mahu berbangga untuk menamakan ikon wanita yang tidak terkira banyaknya dalam bidang sains dan teknologi mahupun dalam bidang agama.

Untuk mencapai matlamat di atas, asasnya perlu dibina mulai sekarang. Menyedari bahawa negara ini tidak akan menjadi sebuah ekonomi berasaskan inovasi jika wanitanya tidak berinovasi, Perdana Menteri telah mengumumkan penubuhan Akademi Inovasi Wanita di Jabatan Perdana Menteri semasa ucapan Bajet 2014. Saya kini mempengerusikan akademi ini, yang sekarang dikenali sebagai MyWIN Academy.

Misi MyWIN Academy tepat pada masanya – menjadi sebuah institusi avant garde yang melahirkan generasi baharu pemimpin wanita yang berfikiran inovatif dan kreatif dalam pelbagai bidang. Pada akhirnya, matlamat tertinggi MyWIN adalah untuk mengetengahkan kuasa wanita sebagai pemacu utama pertumbuhan negara. Memandangkan separuh populasi negara ini terdiri daripada wanita, maka inovasi seharusnya turut dipacu oleh wanita.

Kita tidak mampu membiarkan wanita ketinggalan dalam mengharungi cabaran dan persaingan global yang sengit. Kita harus membina norma baharu agar lelaki berganding bahu bersama wanita. Norma baharu di mana lelaki dan wanita membina negara bersama. Norma baharu di mana semua pihak berpimpin tangan menggapai bintang.

Selamat Hari Wanita Antarabangsa!

TAN SRI SHAHRIZAT ABDUL JALIL ialah Penasihat Pembangunan Usahawan dan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Pengerusi MyWIN Academy, JPM.