Subjek perlu masak dalam kepala. Otot-otot dalam kepala perlu dirangsang. Tanpa membaca saraf-saraf otak tidak akan bersambung untuk mencerna.

Namun sebagai wartawan, saya perlu melaksanakan tugas. Ruangan ini perlu diisi. Wartawan bukan pujangga mahupun novelis yang perlu menunggu idea untuk menulis. Wartawan adalah penulis yang dipaksa.

Saya mencari subjek tentang perihal negeri ini untuk ditulis. Memang banyak tetapi saya kecewa kerana teguran atau idea yang diberikan hanya ibarat mencurah air di daun keladi. Tiada apa yang berlaku.

Umpamanya, soal kebersihan, diulang-ulang cerita ini namun baik daripada pihak berkuasa tempatan sehingga ke rakyatnya tiada perubahan yang ketara ditunjukkan. Sampah tetap dilonggok dan jadual kutipan tetap tidak bertambah. Busuk, jijik dan mual.

Tidak seperti dahulu, apa sahaja yang ditulis dalam surat khabar akan riuh rendah. Kelam kabut pihak yang terlibat, kedai kopi pula tidak berhenti berdebat.

Oh ya, sekarang zaman tular. Bila menular semua geger walau tidak tahu hujung pangkalnya. Kadang-kadang kesian pula orang di kedai kopi, penat-penat berfikir, habis air liur mempertahankan hujah, alih-alih tidak betul. Semua kena tipu. Surat khabar juga dirujuk untuk pengesahan.

Beberapa hari lalu juga, saya ke kedai buku. Saya perlu memenuhi janji kepada anak kedua untuk memulangkan kembali hobinya yang dirampas. Saya sekat kegilaan membaca novel kerana tumpuan harus diberikan kepada nombor-nombor dan teori-teori sains sebagai persediaan untuk menempuh Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Kata kerajaan, usah runsing dengan peperiksaan. Sekarang bukan itu tumpuannya tetapi untuk ke sekolah terbaik perlu cemerlang dalam peperiksaan. Macam manalah ibu bapa tidak pening?

Kita kembali ke kedai buku syarikat Muda Osman - UMK di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa. Ketika sibuk mencari judul terbaik untuk halwa Aisya Kasih Khadeeja, saya terpandang kepada sebuah buku. Tangan saya menjadi ringan mengambil buku tersebut, membelek berkali-kali Noktah Terjahit tulisan Nik Nur Madihah.

Jujurnya saya bukan penggemar buku tulisan generasi baharu, saya lebih sukakan buku ‘buruk’ kerana lebih mengkhayalkan terutama kisah perjuangan sebagaimana yang digarabkan oleh Pramoedya Ananta Toer dalam trilogi Bumi Manusia dan Keluarga Gerilya.

Noktah Terjahit Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, budak genius. 20A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Saya ingat benar dia. Laporan saya bertajuk Inilah Rumah Saya di muka depan Utusan Malaysia saya pada 14 Mac 2009 kecoh satu Malaysia.

Gambar hasil bidikan Hafiz Johari yang mengiringi berita tujuh perenggan itu memberikan kesan yang amat besar. Nik Nur Madihah hidup amat susah, dalam kepayahan dia mencipta kejayaan. Keperitan gadis ini sebenarnya lebih daripada itu, wartawan tahu dan saya lagi tahu tetapi tidak tergamak untuk kami zahirkan pada ketika itu dan sekarang walaupun nilai beritanya amat tinggi.

Maka saya tidak pelik, bekas pelajar Maahad Muhammadi Perempuan ini sukar untuk menyesuaikan diri di Jordan dan United Kingdom. Dia kembali ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia untuk menyambung pengajian.

Bagaimana kehidupannya sekarang saya tidak tahu. Saya cuba berhubung melalui Facebook tetapi tiada respon. Ada wartawan mahu menemubualnya juga gagal walau cuba memujuk berkali-kali. Memang ketika pecah berita dulu pun dia hanya bercakap sepatah-sepatah, arwah ibunya yang jadi jurucakap, tersusun molek. Bapanya yang baru timbul pula terlebih cakap.

Noktah Terjahit memberi bayangan tentang kehidupan yang ditempuhnya. Anak muda ini menyusun lembut kata-katanya tetapi membekas.

Biar apa pun, Nik Nur Madihah adalah simbol kejayaan kepada anak-anak saya tetapi sayang Noktah Terjahit agak berat untuk ditatap mereka.

Nik Nur Madihah juga sebahagian daripada kejayaan sistem pengajian Islam yang diasaskan oleh kerajaan negeri ini melalui Yayasan Islam Kelantan (YIK). Sudah ramai yang berjaya walaupun fasilitinya tidak sehebat sekolah awam.

“Setiap episod hidup yang terasing ibarat noktah yang sendirian. Tidak ada makna dan akan sentiasa kekal misteri selagi ia tidak dihubungkan. Maka apabila episod-episod hidup dijalinkan; umpama noktah yang terjahit, mampu menghasilkan sebuah karya yang nan indah dan penuh makna,” – Nik Nur Madihah.