Lumrahnya bagi setiap pasangan, untuk tempoh masa enam bulan pertama tempoh perkahwinan, merupakan saat bahagia – zon berbulan madu. Pada waktu itu semuanya nampak manis dan indah, saling sayang menyayangi, dan pasangan pengantin baharu ini tidak nampak kehidupan lain, selain kehidupan berdua, suami isteri. Namun begitu, rasa cinta yang memuncak itu akan menurun sedikit demi sedikit, apabila keperibadian masing-masing tidak dapat disembunyikan lagi daripada pasangan, terutama jika terserlah banyak sikap buruk kita.

Semakin lama kita akan kenal pasangan kita itu siapa dia yang sebenar daripada segi hati budi, sikap dan prinsip kehidupannya. Beruntunglah kalau kita dapati pasangan kita itu fiilnya, sama seperti yang kita sangkakan sebelum kita berkahwin dengannya. Sebaliknya bermulalah cabaran dalam rumah tangga, jika selepas berkahwin baru kita tahu pasangan kita itu tidak seperti yang kita sangkakan, khususnya daripada segi perangai dan keperibadiannya.

Seterusnya untuk mengekalkan kebahagiaan rumah tangga, kita perlu lihat apa yang dia/pasangan kita jadi setelah dia berkahwin dengan kita. Kalau dia/pasangan kita seorang yang positif, tetapi selepas berkahwin dengan kita negatif sikapnya, renung semula di mana silapnya dan perbetulkan segera.

Jom audit diri dalam hati kita, terimalah pasangan kita seadanya dan bersyukurlah kita mempunyai pasangan hidup tempat berkongsi suka dan duka. Kembali ke pangkal jalan – tujuan berkahwin adalah untuk mendapat reda Allah SWT. Oleh sebab itu rasa cinta sahaja tidak cukup untuk menjadi asas kebahagiaan rumah tangga. Yang lebih penting adalah rasa hormat antara satu sama lain, dan inilah jaminan kebahagiaan rumah tangga akan kekal selama-lamanya.

Lumrahnya semua orang berkahwin kerana cinta, dan cinta tidak kekal lama jika asas perkahwinan itu kerana kecantikan fizikal. Apabila usia meningkat kecantikan mulai pudar bersama-sama rasa cinta yang turut hambar. Tetapi rasa hormat antara satu sama lain yang dibina sejak awal perkahwinan akan membuatkan pasangan sentiasa menghargai antara satu sama lain. Tanda kita menghormati pasangan kita, apabila suami bercakap, isteri mendengarnya dan pandang wajahnya. Apabila suami memberi pendapat kita terima, kalau tidak setuju jangan berkasar, bincang baik-baik dan nyatakan pendirian kita.

Suami juga, walau sibuk macam mana pun luangkan masa untuk berbual dan bertanya khabar mengenai isteri, biasanya isteri perlukan perhatian suami. Percayalah, rasa hormat sangat penting, terutama bagi isteri yang berkerjaya dan berjawatan lebih tinggi daripada suaminya. Ingatlah kejayaan isteri adalah atas reda dan restu suaminya. Usahlah mencipta masalah dalam rumah tangga kerana sikap buruk kita – keegoan, hendak menang sahaja, cakap kita sahaja yang betul, tidak boleh terima teguran dan seumpamanya.

Menghargai

Bagi yang sudah berumah tangga, seandainya ditakdirkan kita berasa tiada keserasian dan berasa pasangan kita memberikan masalah kepada kita, fikir dan renunglah semula dan tanyalah kepada diri sendiri dua perkara. Pertama, di mana silap kita? Kedua, macam mana keadaan kita dari segi kerohanian dan spiritual pada masa itu, hingga kita mendapat pasangan begitu? Pilihan pasangan kita itu adalah cerminan keimanan kita.

Kalau kita memilih orang kurang beriman sebagai pasangan hidup, hal itu bermakna berkemungkinan besar kita pada masa itu juga kurang beriman. Sebab itu apa yang kita dapat 20 tahun akan datang bergantung pada apa pilihan kita pada hari ini. Hal ini penting adalah kerana cara kita memilih pasangan menentukan masa hadapan rumah tangga kita.

Maka berhati-hatilah memilih pasangan, jangan beranggapan selepas berkahwin kita mampu menangani masalah yang telah kita jangka itu dengan baik dan mudah. Biasanya, masalah yang kita anggap kecil itu akan menjadi bertambah besar dan rumit, malah akan bercambah masalah yang lain. Oleh sebab itu kalau dahulu kita tersilap, bertaubatlah.

Perbetulkan sikap dan keperibadian kita dahulu, dengan harapan lambat laun pasangan kita juga akan turut berubah ke arah kebaikan setelah melihat perubahan positif kita. Ingatlah, dunia melayan kita sebagaimana kita melayan diri kita. Kalau kita tidak ada harga diri yang tinggi – penuh dengan sikap negatif orang juga tidak akan melayan kita dengan harga diri yang tinggi.

Harga diri kita yang tinggi bergantung kepada ketakwaan, (mempercayai Allah sentiasa bersama-sama kita dan memandang setiap perbuatan kita). Kalau kita melanggar suruhan Allah, dari sudut hati yang kecil kita akan berasa amat bersalah dan kita mula berasa rendah diri, hina di sisi Allah kerana banyaknya dosa. Ambil tanggungjawab apa yang berlaku kepada pasangan kita, usah salah menyalahkan dan tuding menuding.

Komunikasi yang baik antara suami isteri amat penting. Senyuman kepada pasangan memberikan aura positif dan kasih sayang yang berpanjangan. Jaga empat perkara iaitu, hidung (berwangi-wangian), mata (sedap mata memandang), telinga (berlemah lembut dalam kata-kata) dan hati (jujur dan ikhlas) bagi memastikan hubungan dengan pasangan sentiasa membahagiakan dan menenangkan.

Amalkan 4P untuk mengekalkan kebahagiaan rumah tangga. PUJI -- Setiap pasangan perlu saling memuji dan menghargai antara satu sama lain, terutamanya dalam semua aspek kehidupan, seperti bantu-membantu dalam menguruskan rumah tangga. PELUK -- Pasangan suami isteri hendaklah menzahirkan kecintaan melalui pelukan yang mesra antara satu sama lain sekerap mungkin, kerana pelukan menghasilkan kasih sayang yang berterusan. PENGHARGAAN -- Sentiasa menghargai pasangan dengan ucapan sayang dan cinta, senyuman dan juga pemberian hadiah. PERHATIAN -- sentiasa memberi perhatian yang khusus terhadap pasangan, agar pasangan tidak berasa dirinya terpinggir dan diabaikan.

Fahami pasangan melalui lima bahasa kasih sayang iaitu, kata-kata yang baik/manis, sentuhan, hadiah, masa kualiti dan perkhidmatan. Kalau pasangan kita itu bahasa kasih sayangnya adalah suka akan kata-kata yang baik/manis, kalau kita berikan perkhidmatan yang baik, pasangan kita tidak akan dapat menghargainya, kerana dia menanti kata-kata manis. Baginya penghargaan daripada pasangan akan dirasakannya apabila pasangannya menyatakan, “sayang”, “rindu” dan seumpamanya.

Fahami hati budi pasangan dan sentiasa bersangka baik dengan pasangan. Niatkan berkahwin hendak mendapat zuriat mendidik mereka menjadi anak yang soleh, dan mati bersama dan masuk syurga dengan orang yang kita sayang. Itulah nilai kejayaan sebenar untuk sebuah rumah tangga yang bahagia dunia dan akhirat. Jaga 3P untuk dapatkan kebahagiaan dalam rumah tangga dunia dan akhirat. PERSEFAHAMAN -- mewujudkan suasana yang ceria melalui sikap toleransi terhadap pasangan.

PERGAULAN -- menjaga batas-batas pergaulan dengan orang lain bagi mengelakkannya daripada berlakunya salah faham, menimbulkan cemburu seterusnya membawa kepada keretakan rumah tangga.

PERMOHONAN -- sentiasa memohon rahmat dan keampunan kepada Allah supaya hubungan yang terjalin kekal terpelihara sehingga ke akhir hayat. Sempena raya yang semakin hampir menjelang ini, jomlah kita audit diri dan bermaaf-maafan dengan pasangan. Jom memperbaharui kembali cinta, “Buang yang keruh, ambil yang jernih”. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.