* Waswas, Sungai Petani.

UKE: Niat ialah azam atau tekad melakukan sesuatu disertakan dengan tindakan. Dalam sebuah hadis daripada Umar bin al-Khattab RA, beliau berkata, aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Segala amalan ibadah itu hanya sah dengan niat dan bagi setiap manusia diberi ganjaran menurut apa yang diniatkan" - hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Niat solat mesti dilakukan ketika takbiratul ihram, iaitu ketika menyebut lafaz "Allahuakbar", diniatkan di dalam hati, dalam keadaan sedar, sama ada serentak atau lebih awal sedikit.

Niat untuk menunaikan solat dipanggil qasad, menyebut fardu itu dinamakan taarrud, manakala menyebut jenis sembahyang, seperti zuhur atau asar itu dinamakan takyin. Kerana itu setiap niat sembahyang fardu mesti mengandungi qasd, taarrud dan takyin.

Disunatkan berniat terdahulu sedikit daripada takbir. Tidak wajib berniat menyebut "Lillahi taala" (kerana Allah taala), kerana semua ibadah dilakukan kerana Allah, tetapi digalakkan menyebutnya, untuk mengelakkan daripada perselisihan pendapat ulama yang berpendapat bahawa menyebutnya itu sebagai wajib, juga supaya tercapai maksud ikhlas melakukan sesuatu, iaitu bukan kerana selain daripada Allah.

Begitu juga tidak wajib menyebut bilangan rakaat. Walaupun demikian, sekiranya tersilap sebutan bilangan rakaat, seperti menyebut sembahyang maghrib empat rakaat, maka sembahyang itu tidak sah. Begitu juga dengan menyebut "qada'' atau "tunai"' tidak wajib hukumnya, tetapi digalakkan.

Maka bolehlah anda berniat "Sahaja aku solat fardu zuhur kerana Allah Taala". Mudah bukan? Maka tidak perlulah anda mengulang-ulang takbiratul ihram sehingga mengganggu jemaah lain kononnya tak masuk niat. Kalau anda nak masukkan bilangan rakaat, atau disebut Taala selepas menyebut Allah, maka ia tiada menjadi masalah. Begitu juga apabila anda menjadi makmum maka niatkanlah makmum tersebut.

Bila faham syarat takbiratul ihram dan niat – sebenarnya mudah. Tak perlulah sampai terlalu panjang atau berkali- kali takbir sampai jadi was-was. Ada tiga syarat tadi maka selesailah masalah niat takbiratul ihram.
 

Syak suami curang

Kalau suami saya bermain WhatsApp dengan isteri orang dan menggunakan panggilan abang sayang, apa hukum di dunia dan akhirat? Masalahnya sekarang dia tak makan nasihat dan bila ditegur, dia marah dan mengatakan "Kalau berdosa dia tanggung sendiri". Untuk pengetahuan ustaz suami saya selama hidup ini tak pernah memberi nafkah.

Ani, Perak.

UKE: Saya selalu jumpa dengan kes seperti anda ini. Di sini saya kemukakan solusinya:

Banyak kes yang saya jumpa si isteri cemburu buta, tiada kes tetapi dikata ada kes curang akibat hasutan orang, cemburu tak bertempat, syak wasangka atau dengar cakap bomoh. Akhirnya rumah tangga berantakan.

Saya cadangkan anda tanya betul-betul suami anda dan si perempuan itu apakah status hubungan mereka? Tanya sendiri si perempuan itu apa kisahnya. Nasihat saya kalau tiada bukti atau main agak-agak sahaja maka jangan buat hal kalau anda tak mahu malu. Sebab itu siasat dan kaji baik-baik. Jangan main tuduh sahaja terhadap hubungan mereka. Konsep bersemuka penting dalam hal ini dan jangan ambil khabar angin semata-semata.

Jika sahih mereka berhubungan sehingga tahap bercinta-cintaan maka ia pastinya haram kerana si perempuan itu adalah isteri orang lain. Mana boleh bermain cinta dengan isteri orang dan mengganggu rumah tangga orang lain. Memang baik anda menasihati suami anda dan tidaklah sepatutnya seseorang menjawab "dosa aku, aku tanggung". Itu sombong namanya dan Allah tidak suka kepada orang sombong.

Haram seorang suami tidak memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya jika si suami itu berkemampuan dan sihat tubuh badan.

Saya mencadangkan agar anda meminta suami menunaikan tanggungjawabnya dan mungkin selama ini anda buat semua kerja maka menjadikan si suami berasa "free" dan ringan hidup. Maka dia banyak masa untuk bercinta dengan isteri orang. Suruh dia buat kerja, tunaikan tanggungjawab, laksanakan tugas rumah tangga dan sebagainya maka dia tidak ada masa memikirkan hal lain.

Jika dia masih berhubungan dengan isteri orang dan tidak memberi nafkah maka anda boleh meminta nasihat daripada pejabat agama.