Terletak di Pekan Rembau, Negeri Sembilan, Kedai Gunting Ah Kim sudah dikenali sejak 55 tahun lalu kerana Kim Soi fasih menyanyikan lagu-lagu P.Ramlee ketika menggunting rambut pelanggan.

“Sejak berusia 17 tahun, saya sudah fasih berbahasa Melayu kerana sekeliling saya terdapat pelbagai bangsa, malah, berpeluang dan menghafal lagu Allahyarham Tan Sri P.Ramlee melalui majlis perkahwinan yang diadakan di sekitar kampung.

“Pada waktu itu, saya hanya mendengar lagu melalui piring hitam dan kaset kerana tiada lagi set karaoke untuk menyanyi.

“Namun, saya terbawa-bawa menyanyi lagu-lagu seniman agung itu sehingga ke kedai,” katanya.

Kim Soi berkata, sejak itu dia mendendangkan lagu-lagu seniman agung tersebut kepada pelanggan yang datang ke kedainya.

“Setiap kali pelanggan datang ke sini, mereka mahu saya menyanyikan lagu P.Ramlee. Malah, mereka mula menggelar saya ‘tukang gunting P.Ramlee’ dalam kalangan penduduk sekitar.

“Saya tidak kisah malah seronok dapat mengalunkan lagu tersebut yang tiada tandingan.

“Dua daripada tiga anak saya iaitu Ng Song Cher, 32 dan Ng Song Po, 27, turut membantu di kedai. Mereka tidak pandai menyanyi namun, tahu lagu-lagu seniman agung tersebut,” katanya sambil menyatakan seorang lagi anaknya, Ng Song Xi, 28, membuka kedai gunting rambut di Sarawak.

Katanya, terdapat enam kedai gunting rambut di kawasan tersebut tetapi kedainya tetap menjadi pilihan malah mempunyai pelanggan tetap tanpa mengira usia.

Sambil menggunting rambut pelanggan, Kim Soi menyanyikan beberapa lagu seperti Gelora Jiwa, Jangan Tinggal Daku, Azizah, Di Mana Kan Ku Cari Ganti, Sunyi Dan Senyap, Kisah Rumah Tangga, Bunyi Gitar, Engkau Laksana Bulan dan Beginilah Nasib.

“Antara lagu kegemaran saya ketika mengunting rambut pelanggan adalah Jangan Tinggal Daku dan Getaran Jiwa.

“Pelanggan baharu pula mengganggap suara saya seperti orang Melayu ketika menyanyi kerana tidak menampakkan saya kaum Cina,” Katanya sambil ketawa.

Malah, lebih menarik, kedai gunting rambutnya menjadi pilihan Menteri Belia dan 
Sukan, Khairy Jamaluddin dan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri.