Justeru bagi mengharungi dan mendepani segala cabaran kompleks yang mendatang, negara ini memerlukan penjawat awam yang memiliki ciri-ciri luar biasa yang mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab melebihi ekspektasi semua pemegang taruh.

Hari ini kita sudah mula bercakap tentang impian mencapai Misi Transformasi Nasional 2050 (TN50), menggalas cabaran era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) serta pelbagai perubahan yang dicetuskan oleh ledakan teknologi maklumat dan komunikasi seperti kecerdasan Internet of Things (IoT) dan juga perkembangan dalam kecerdasan buatan (AI).

Harus diingat, kita tidak boleh menghalang perubahan-perubahan besar dan mendadak seperti ini daripada terus berlaku dan realitinya kita terpaksa mengharungi cabaran dan debaran ini dalam persekitaran kekangan sumber yang amat terhad. Dan apa yang pasti itu bukan alasan yang bijak untuk kita berpeluk tubuh dan tidak melakukan apa-apa transformasi dalam sistem penyampaian perkhidmatan kita.

Jadi, secara prinsipnya seperti kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Zainal Rahim Seman, penjawat awam tidak boleh mengharapkan transformasi dalam sektor itu berlaku dengan sendiri. Sebaliknya perlu bersiap-siaga untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan dan juga perubahan.

Kita perlu memperlengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan cara kerja yang memenuhi ekspektasi dan tuntutan semasa dan juga masa hadapan. Dalam konteks ini penulis terpanggil untuk mengulas beberapa ciri luar biasa yang digariskan oleh KPPA yang perlu ada pada penjawat awam, antaranya mempunyai kemahiran yang pelbagai, pantas membuat keputusan dan bukan hanya datang pejabat dan tunggu gaji sahaja.

Revolusi Industri 4.0, kecerdasan buatan serta IoT misalnya mula mencetuskan fenomena luar biasa dalam dunia kerjaya antarabangsa. Jika pekerja gagal memperlengkap diri dengan ilmu dan kemahiran yang diperlukan kemungkinan besar tempat kita akan diambil alih oleh mesin, komputer dan robot. Jadi, penjawat awam perlu memastikan diri mereka kekal relevan dalam arus perubahan yang sedang berlaku.

Untuk itu penjawat awam perlu memperlengkap diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran terkini dan pelbagai. Budaya ‘aku buat kerja aku dan engkau buat kerja engkau’, cara kerja silo dan terlalu fokus kepada satu kerja mahupun kemahiran sahaja sudah semakin tidak relevan lagi. Majikan secara umumnya mahukan pekerja yang boleh buat multi tasking atau yang memiliki kemahiran yang pelbagai.

Maka untuk menjadi penjawat awam yang luar biasa kita perlu keluar dari kotak tersebut mencari serta mendalami pelbagai kemahiran terkini yang diperlukan untuk melakukan transformasi pada diri dan juga organisasi secara keseluruhannya.

Negara dan masyarakat juga memerlukan penjawat awam yang bijak, berani dan pantas dalam membuat keputusan. Hari ini semua pihak mengakui betapa konsep ‘kerajaan tahu semua’ sudah tidak relevan lagi. Sebalik­nya ekspektasi dan permintaan rakyat pula semakin kompleks, mencabar dan tidak terbatas. Selari dengan pelbagai perubahan yang sedang berlaku, rakyat mahukan perkhidmatan awam yang bersandarkan keberhasilan dan berpaksikan rakyat.

Justeru rakyat menuntut maklum balas, jawapan dan keputusan yang cepat, tepat dan segera dari setiap agensi awam yang mereka berurusan. Maka bagi memenuhi tuntutan ini semua agensi awam perlu menilai dan menyemak semula proses kerja sedia ada dan membuat penambahbaikan yang sewajarnya dengan mengeluarkan elemen-elemen yang melambatkan proses kerja mahupun yang mempunyai banyak sangat lapisan dan kerenah birokrasi sehingga melambatkan proses penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Ambillah peluang ini untuk membersihkan sepenuhnya sektor awam dari label ‘banyak sangat kerenah birokrasi’ yang sudah terlalu sinonim selama ini. Tuntasnya kita mahu memberi nafas baharu kepada cara kerja penjawat awam agar tidak lagi terikat dengan pelbagai kerenah ­birokrasi mahupun proses kerja yang ketinggalan zaman.

Mana-mana agensi awam yang masih memiliki ciri-ciri ini perlu melakukan perubahan yang sepenuhnya dengan segera.

Kita juga berharap tiada lagi penjawat awam yang mempunyai sikap hanya datang pejabat dan tunggu gaji sahaja.

Hakikatnya, kita tidak mahu membiarkan lagi penjawat awam terpalit dengan masalah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang bukan saja mencemarkan imej dan nama baik tetapi turut menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sektor awam.

Justeru sudah tiba masanya untuk penjawat awam bangkit melakukan transformasi secara total untuk menjadi individu yang luar biasa, berani dan pantas membuat keputusan dan mempunyai kemahiran yang pelbagai serta nilai integriti yang tinggi.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM).