Di sebalik kejayaan atlet-atlet kebangsaan, kita tidak dapat menafikan bahawa timbul isu naturalisasi dalam sukan tanah air yang seringkali dibincangkan oleh pe­minat sukan. Isu ini akan dikupas dalam artikel ini untuk memberi penerangan lanjut tentang maksud naturalisasi dari sudut undang-undang, khususnya merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan yang memaktubkan asas perundangan perihal kewarganegaraan.

Perkataan naturalisasi membawa maksud “Pemberian hak warganegara kepada seseorang yang bukan warganegara asal sesebuah negara setelah orang itu memenuhi syarat pemastautinan dan syarat lain.” Berdasarkan kepada pengistilahan ini, kita dapat lihat bahawa proses naturalisasi kerap digunakan dalam sukan.

Di beberapa negara di Asia Tenggara kaedah ini digunakan untuk memberi kerakyatan negara mereka kepada atlet asing yang tidak berasal dari negara tersebut mahupun mempunyai sebarang ikatan kepada negara tersebut. Hal ini berbeza dengan kerakyatan yang diperoleh oleh atlet-atlet dalam liga bola sepak Malaysia se­perti Brendan Gan dan Matthew Davies, yang mana salah seorang daripada ibu atau bapa mereka adalah warganegara Malaysia.

Isu berkenaan kewarganegaraan ini dinyatakan secara khusus dalam Bahagian III Perlembagaan Persekutuan, yakni di bawah Bab 1 - Pemerolehan Kewarganegaraan. Perlembagaan Persekutuan secara khususnya memaktubkan dalam Perkara 19 berkenaan “Kewarganegara­an menerusi penaturalisasian”.

Perkara 19(1) dan (2) menjelaskan syarat kewarganegaraan menerusi penaturalisasian. Secara amnya, Perkara 19 memperuntukkan bahawa permohonan untuk penaturalisasian boleh dibuat oleh warganegara asing yang ­me­rupakan (i) seorang yang ber­umur lebih 21 tahun, (ii) yang telah bermastautin di Persekutuan selama tempoh yang dikehendaki dan ber­niat hendak berbuat demikian secara tetap jika diberi perakuan itu, (iii) berkelakuan baik dan (iv) mempunyai pe­nge­tahuan yang memadai dalam bahasa Melayu.

Sementara itu, Perkara 19(3) Perlembagaan Perseku­tuan menjelaskan lanjut ten­tang syarat berkenaan ‘ke­­mastautinan’ yang bermaksud untuk tempoh lebih dari 10 tahun dalam tempoh 12 tahun sebelum tarikh permohonan dibuat.

Perkara 19(9) pula menyatakan tentang keperluan pemohon mengangkat sumpah sebagai salah satu syarat permohonan kewarganegaraan melalui penaturalisasian. Apabila permohonan seseorang untuk menjadi warganegara Malaysia melalui proses penaturalisasian diluluskan, maka barulah seseorang itu adalah sah menjadi warganegara Malaysia seperti yang dinyatakan dalam Perkara 19(5).

Berdasarkan pada penerangan di atas, maka boleh kita fahami bahawa proses penaturalisasian adalah salah satu cara yang dibenarkan dalam undang-undang untuk memberi kerakyatan Malaysia kepada seseorang yang pada asalnya bukan warganegara Malaysia. Ia hanya akan diberikan setelah pemohon memenuhi syarat-syarat khusus di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan.

Pada ketika ini, penggunaan naturalisasi dalam bidang sukan tanah air tidak begitu meluas dilaksanakan oleh kesatuan sukan Malaysia. Namun seringkali juga atlet kita berentap melawan pasukan, sama ada di peringkat Asia Tenggara mahupun peringkat Asia, yang menggunapakai atlet yang diberi kerakyatan melalui proses naturalisasi.

Contohnya, seperti yang dilaksanakan oleh Hong Kong dan Timor Leste dalam acara bola sepak pada saingan antarabangsa.

Dari satu sudut penulis berpendapat bahawa proses ini berkemungkinan boleh memberi kejayaan kepada negara-negara tersebut. Tetapi dikhuatiri bahawa kejayaan yang diraih mungkin hanya untuk tempoh jangka masa yang pendek. Secara tidak langsung, trend menggunakan warganegara yang ‘dinaturalisasi’ menunjukkan bahawa wujud kekurangan bakat tempatan dalam negara tersebut.

Di Malaysia, setakat ini kita tidak pernah gagal untuk menghasilkan bakat-bakat baharu sebagai pelapis dalam bidang sukan yang mampu mencipta nama, tanpa perlu menggunapakai khidmat atlet ’warga asing’ yang diberikan kerakyatan melalui proses naturalisasi.

PENULIS ialah pengamal undang-undang sivil dan syariah dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ).