Tiga lelaki tersebut; Kim Hak-song, Tony Kim dan Kim Dong-chul disambut oleh Presiden Donald Trump dan isterinya Melania apabila mereka mendarat di sebuah pangkalan udara di Maryland, AS.

Rakyat AS yang terbaru dibebaskan dari Korea Utara sebelum tiga orang itu ialah Otto Warmbier. Pelajar kolej dari Cincinnati, Ohia itu ditahan di Korea Utara pada Januari 2016 kerana cuba mencuri dan dihukum penjara 15 tahun. Dia dibebaskan pada Jun 2017 dan tiba Ohio pada 13 Jun 2017 ketika masih dalam keadaan koma akibat ditahan di Korea Utara. Warmbier meninggal dunia pada enam hari kemudian.

Seorang paderi Kanada, Lim Hyeon-soo juga pernah ditahan di Korea Utara kerana kesalahan cubaan menjatuhkan kerajaan. Dia dihukum seumur hidup di penjara dan dipaksa melakukan kerja buruh. Hyeon-soo dibebaskan pada Ogos 2017 atas alasan peri kemanusiaan selepas meringkuk hampir setahun di dalam penjara.

Menurut Jawatankuasa Hak Asasi Manusia di Korea Utara (HRNK) yang berpangkalan di AS, seramai 120,000 orang dipercayai dipenjarakan di Korea Utara kerana politik.

Sebuah agensi Korea Selatan, Institut Penyatuan Kebangsaan Korea pula menganggarkan terdapat antara 80,000 hingga 120,000 orang ditahan dalam penjara di Korea Utara.

Sepuluh tahun lalu, bilangan tahanan di Korea Utara adalah jauh lebih tinggi iaitu antara 150,000 hingga 200,000 orang.

Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), penurunan itu menunjukkan bahawa kadar kemasukan banduan baharu adalah lebih rendah berbanding kadar kematian tahanan akibat kebuluran, pengabaian, buruh paksa, penyakit dan hukuman.

Laporan PBB pada 2014 itu menyatakan, di kem tahanan politik, banduan diseksa dan ramai rakyat Korea Utara dikurung seumur hidup tanpa sebarang hubungan dengan dunia luar. Tidak banyak diketahui tentang sistem penjara di Korea Utara. Terdapat fasiliti yang dikendalikan oleh pasukan keselamatan untuk banduan politik dan kem buruh untuk mereka yang melakukan kesalahan bukan politik. Terdapat juga banduan politik di kem buruh.

Berdasarkan imej satelit dan keterangan daripada bekas pengawal penjara dan banduan, kebanyakan kem tahanan politik itu terletak di kawasan terpencil dan pergunungan di negara penuh misteri itu. Menurut PBB, bagi rakyat Korea Utara, istilah “dihantar ke gunung” bermaksud kehilangan secara paksa. Kem yang terbesar dikatakan seluas beratus kilometer persegi.

Pusat Pangkalan Data untuk Hak Asasi Manusia Korea Utara (NKDB) yang berpangkalan di Seoul pernah menemu bual pembelot dari Korea Utara dan mendapati hampir separuh banduan ditahan kerana faktor politik. Sebahagian lagi ditahan kerana ekonomi, pentadbiran, kesalahan jenayah dan juga kerana dianggap bersalah oleh persatuan.

Enam rakyat Korea Utara dilapor ditahan di Korea Utara iaitu masing-masing tiga orang pendakwah Evangelist dan pembelot Korea Utara yang memegang kerakyatan Korea Selatan. Sejak Perang Korea tamat pada 1953, kerajaan Korea Selatan mendakwa 3,835 rakyatnya diculik oleh negara jirannya itu. Seramai 3,319 orang telah pulang manakala sembilan orang lagi memilih untuk menjadi rakyat Korea Utara. Dengan itu, seramai 516 orang lagi masih tidak diketahui nasib mereka.

Kerajaan Jepun memberitahu seramai 17 rakyatnya diculik oleh Korea Utara. Lima orang daripada mereka telah kembali ke Jepun, manakala nasib 12 orang lagi belum diketahui.

Korea Utara mendakwa lapan orang telah meninggal dunia manakala empat orang lagi tidak pernah sampai ke negara itu. Namun, sijil kematian dan penjelasan yang diberikan oleh Korea Utara diragui kesahihannya.

Selepas bertahun-tahun menafikan, pada 2002, Korea Utara mengakui menculik 13 rakyat Jepun pada penghujung 1970-an dan 1980-an.

Mereka yang ditahan itu dikatakan digunakan untuk melatih perisik Korea Utara menguasai bahasa dan budaya Jepun.

Seorang pegawai Jepun memetik pemimpin Korea Utara pada masa itu, Kim Jong-il berkata: “Ia sangat dikesali dan saya ingin meminta maaf.”