Kalau dahulu saya hanya melihat gambar dan menonton kisah panda di dalam National Geographic, kini berpeluang melihatnya secara berdepan mata di Pusat Konservasi Panda, Chengdu. Terima kasih kepada Radio China International (CRI), Suruhanjaya Pelancongan China dan Pejabat Kedutaan China di Malaysia yang menaja Lawatan Laluan Sutera 2017 baru-baru ini.

Melihat telatah anak-anak panda yang dimanjakan induknya memang menyeronokkan. Pelancong dalam dan luar China pun terhibur melihat gelagat panda yang makan batang buluh sambil berbaring, memancat pokok dan ke sana sini entah mencari sesuatu.

Haiwan mamalia berbulu hitam dan putih itu dijaga, dilindungi dan disediakan pusat pembiakannya supaya ia tidak pupus di dunia.

Panda sungguh beruntung, tidak sama nasibnya dengan haiwan berwarna hitam dan putih di Malaysia.

Tenuk Malaya (Tapirus indicus), atau dikenali tapir merupakan tenuk terbesar di dunia yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Barangkali ramai antara kita pernah melihat tapir di Zoo Negara. Kalau di luar zoo, hanya melihat bangkai tapir. Sedih melihat haiwan hitam putih yang unik seumpama panda itu kini semakin berkurang.

Tidak perlu ke dalam hutan tebal untuk melihat tapir. Di kawasan hutan berdekatan Persiaran Mokhtar Dahari (di antara Shah Alam - Puncak Alam) pun ada tapir rupa-rupanya. Berdasarkan statistik antara 2005 dan 2013, sebanyak empat ekor tapir mati dilanggar di lokasi tersebut.

Pihak berkaitan pemeliharaan haiwan liar mungkin sedar bahawa bilangan tapir di Malaysia semakin berkurang disebabkan oleh pelbagai faktor, antaranya habitat asal dimusnahkan untuk tujuan pembangunan, sekali gus mengganggu proses pembiakan dan akhirnya menyumbang pada kepupusannya.

Beberapa tahun lalu Zoo Negara ada mengambil inisiatif meraikan Hari Tapir Sedunia yang disambut pada 27 April setiap tahun sebagai langkah untuk memupuk kesedaran kepada masyarakat mengenai haiwan unik itu.

Diplomasi panda

Mengharapkan untuk masyarakat awam sedar tentang isu kepupusan tapir sebenarnya tidak cukup. Kerajaan dan pihak yang berkaitan pemeliharaan tapir sepatutnya melakukan sesuatu dengan lebih serius.

Teladanilah pihak berkuasa di Sichuan, China yang memperuntukan kawasan habitat panda seluas 9,245 kilometer persegi. Berdasarkan statitik 2004, terdapat 1,600 panda dipercayai masih hidup di dalam hutan China.

Pihak China menyedari panda gergasi merupakan spesies terancam, diancam oleh kehilangan habitat berterusan dan kadar kelahiran yang rendah - kedua-dua yang hidup liar atau dalam kurungan.

Mungkin dahulu, pihak berkuasa di China juga bimbang jika panda dibawa keluar dari kawasan habitatnya untuk tujuan penyelidikan dan pembiakan, haiwan hitan putih itu akan mati akhirnya akibat ketidaksesuaian dengan habitat baharu. Namun akhirnya mereka berjaya menambah bilangan panda, termasuk meminjamkan sepasang panda kepada negara sahabat.

Kini di samping menyediakan tempat pembiakan panda, ia juga menjadi destinasi tarikan pelancongan. Kini Pusat Konservasi Panda, Chengdu dikunjungi empat juta pelancong setahun atau lebih 10,000 orang dalam sehari. Terasa kagum melihat bagaimana pusat yang bertujuan melindungi panda, tetapi turut menjana ekonomi wilayah Sichuan.

Elok sangat tapir di Malaysia dilayan seperti beruang panda gergasi di Chengdu. Selain pembiakan tapir dapat ditingkatkan, faedah ekonomi mungkin dapat dijanakan. Apakah pusat perlindungan dan pembiakan tapir pernah difikirkan oleh pihak perlindungan hidupan liar di Malaysia?

Kalau belum, lakukanlah sedikit demi sedikit dahulu.

Mungkin Malaysia boleh menggunakan pendekatan serampang dua mata “Diplomasi Panda” China. Di samping tapir malaya dijadikan sebagai simbolik hubungan persahabatan antara Malaysia dengan negara-negara yang akrab dengan kita, ia dapat menambah bilangan haiwan hitam putih itu.

Jika pendekatan ini dilakukan oleh pihak zoo dan kerajaan negeri yang mengawal hutan yang menjadi habitat tapir, masalah masyarakat tidak menyedari tapir semakin pupus di muka bumi ini mungkin tidak timbul lagi. Tapir harus dilindungi daripada menjadi mangsa pembangunan. Tempat tinggalnya sudah manusia cerobohi, jadi manusia juga yang kena cari tempat tinggal baharu tapir.

Kita jangan hanya mengatakan rasa bimbang tentang penurunan bilangan tapir di Malaysia yang kini berjumlah antara 1,500 hingga 2,000 ekor sahaja. Malangnya tiada apa-apa tindakan yang diambil oleh pihak yang berkenaan dan kita semua.