HUSAM MUSA
HUSAM MUSA

LEBIH suku abad Pas memerintah Kelantan. Selama itu kelihatan tiada siapa yang mampu menggugat. Semuanya mungkin kerana gemulah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. 

Pengaruh Tok Guru Nik Aziz amat kuat buat rakyat negeri ini biarpun tidak banyak pembangunan fizikal yang dapat dilihat dengan ketara hasil sumbangan Kerajaan negeri yang ditunjangi oleh Pas. Namun keadaan berubah selepas beliau meninggal dunia. Pas tidak seperti dahulu. Berpecah, bergocoh sesama sendiri. Pe­mimpinnya terpecat dan gugur secara semula jadi.

Maka lahirlah parti baharu, Parti Amanah Negara (PAN). Pengasas awal PAN di negeri ini ialah Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Ne­geri (DUN) Kelantan.

Tidak berapa lama kemudian, bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa dipecat kerana tidak berhenti-henti mengkritik kerajaan negeri pimpinan Datuk Ahmad Yakob. Husam kini de facto PAN Kelantan.

Kedua-dua pemimpin itu adalah hulubalang gemulah Nik Abdul Aziz. Wan Abdul Rahim pernah bertanggungjawab sebagai pengarah pilihan raya Pas manakala Husam adalah bekas Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan II dan juga dilihat sebagai Exco Kanan Kerajaan Negeri sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.

Maka pastinya gabu­ngan kedua-dua pemimpin ini mencetuskan kegawatan kepada Pas. Mereka tahu luar dalam setiap pergerakan parti dan pemimpin parti serba hijau ini.

Itu belum lagi dikira de­ngan pengikut mereka. ‘Kepala masam’ dalam Pas ramai juga bersama mereka. 

Kini PAN bersekutu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), PKR serta DAP. PKR dan DAP adalah rakan lama Pas yang juga sahabat baik pemimpin PAN. Namun DAP tidak banyak di negeri ini. Hanya timbul di Kota Bharu dan sedikit di Gua Musang. PPBM baru menjadi kawan, dulu musuh. 

Jika diukur pada kemam­puan, PAN adalah lebih kuat daripada semua sekutunya. Mereka ada pengaruh. PKR biarpun lama tetapi tenggelam timbul, hanya bergantung harap pada jentera Pas yakni PAN sekarang. PPBM jangan dikira, hanya ada dua tiga sahaja pemimpinnya dikenali, itu pun ramai yang sudah lupa. 

MOHD. HATTA RAMLI
MOHD. HATTA RAMLI

Tetapi dalam pembahagian kerusi Parlimen dalam gabu­ngan yang dipanggil Pakatan Harapan, PAN hanya mendapat lima kerusi di negeri ini manakala PPBM yang baru setahun jagung tujuh kerusi manakala PKR dua. 

Semua kerusi yang diperoleh PAN iaitu Kota Bharu, Pengkalan Chepa, Kubang Kerian, Kuala Krai dan Rantau Panjang adalah kubu kuat Pas. Di Kota Bharu, Pengkalan Chepa dan Kubang Kerian, Pas menang dengan majoriti belasan ribu undi. Hanya Kuala Krai sahaja kerusi wakil PAN, Dr. Mohd. Hatta Ramli, itu pun beliau menang atas tiket Pas.

Jika diukur pada keadaan semasa, hanya satu kerusi sahaja PAN dilihat mampu memberi saingan iaitu Kota Bharu kerana jumlah pengundi Cina yang agak tinggi dan pengundi bandar. 

Biarpun Husam bekas Yang Dipertua Pas Kubang Kerian dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor tetapi penolakan terhadapnya semakin kelihatan. Malah tidak ada seorang pemimpin Pas kawasan tersebut mengikutnya kecuali adiknya, Hafiz yang juga bekas Ketua Pemuda Pas kawasan.

Untuk menang di kawasan-kawasan yang diberikan itu amat sukar kerana penyokong Pas adalah penyokong baka yakni DNA mereka Pas sejak turun temurun. 

Yang kelihatan untung ialah PPBM mendapat tujuh kerusi. Malah mereka turut mendapat kerusi tradisi PKR iaitu Ketereh yang pernah dimenangi oleh pendukung kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ab. Aziz Kadir pada PRU-12 sebelum kalah dengan majoriti 974 undi pada 2013. 

Pembahagian kerusi ini juga secara tidak langsung menunjukkan bahawa pemimpin Pas yang disifatkan ‘harum manis’ (Pas di luar PAN di dalam) tidak wujud kerana kawasan-kawasan yang melibatkan pemimpin tersebut seperti di Tumpat, Pasir Puteh dan Pasir Mas tidak diambil PAN.

Dan mungkin juga tumpuan PAN hanya fokus kepada negeri, mahu mengambil alih kerajaan negeri daripada Pas. PAN akan terus membuat bising dengan isu-isu yang dahulunya telah dibangkitkan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN). Mereka akan dapat menarik sedikit sokongan daripada rakyat khasnya penyokong Pas. 

Dalam keadaan ini, UMNO dan BN tidak ada apa. Penyokong mereka tetap sama. Lihat sahaja dalam dua pilihan raya umum sebelum ini, jumlah undi yang diterima tidak jauh beza, jika kurang hanya sedikit, kalau bertambah tidak banyak.

Maka tidak pelik jika ada khabar bahawa ada pemimpin dan penyokong PAN tidak berpuas hati kerana yang untung atas kerja buat mereka adalah PPBM walaupun selama ini hanya tidur dan bermimpi untuk mengangkat Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sementara.
 

PULAU PINANG

MOHD SHARIFF OMAR
MOHD SHARIFF OMAR

MELAINKAN PKR yang dilihat masih ada sedikit harapan, pengagihan kerusi Pakatan Harapan di Pulau Pinang boleh diibaratkan menggali kubur sendiri buat PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Dua serpihan parti orang Melayu itu ma­sing-masing diberikan kerusi Parlimen Kepala Batas (PAN) dan Tasek Gelugor (PPBM).

Dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan Pulau Pinang sendiri sekali pun menyedari pemberian kerusi kepada PAN dan PPBM itu tidak lebih sekadar untuk ‘ambil syarat’ semata-mata.

Disebabkan apa yang disebut sebagai konsesi dalam Pakatan Harapan untuk menunjukkan kononnya ada persefahaman dan kerjasama, maka PAN dan PPBM masing-masing diberikan satu kerusi.

Walhal realitinya sesama mereka sendiri menyedari dua kerusi majoriti pengundi Melayu itu disifatkan antara kubu kuat Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO di negeri ini.

Untuk rekod kerusi Parlimen Kepala Batas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dimenangi Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dengan majoriti 4,176 undi.

Datuk Shabudin Yahaya pula memenangi kerusi Parlimen Tasek Gelugor dengan 3,042 undi.

Dalam situasi di mana majoriti kemenangan buat UMNO dan BN di negeri ini yang sedikit pada pilihan raya umum lalu, kedua-dua calon UMNO itu sebenarnya boleh dianggap menang besar dan cukup selesa.

Lebih daripada itu, kemena­ngan mereka juga dicapai ketika pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 berada dalam situasi paling kuat untuk menumbangkan calon-calon BN, namun tetap gagal berbuat demikian di dua kerusi tradisi UMNO tersebut.

MUJAHID YUSOF
MUJAHID YUSOF

Maka, dalam keadaan Pas yang sudah semestinya meletakkan calon masing-masing di dua kerusi ber­kenaan, pertan­dingan tiga penjuru semakin menyukarkan calon PAN dan PPBM untuk mencipta kejutan di kerusi berkenaan.

Lebih daripada itu, kegagalan PAN dan PPBM boleh dijangka dari awal ke­rana kedua-dua parti itu tidak mempunyai ahli akar umbi bukan sahaja di dua kerusi berkenaan, malah di negeri ini.

Apa yang dipertontonkan PAN dan PPBM ketika ini hanyalah bekas-bekas pemimpin yang suatu ketika dahulu pernah berjuang di dalam UMNO dan Pas antaranya Datuk Seri Mohd. Shariff Omar dan Datuk Dr. Mujahid Yusof.

Shariff merupakan Timbalan Pengerusi PPBM Pulau Pinang manakala Mujahid pula ialah Pengerusi PAN Pulau Pinang dan kedua-duanya disebut-sebut bakal dicalonkan bagi kerusi Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor.

Jika rekod berkhidmat kepada masyarakat diambil kira, maka PAN dan PPBM tidak akan mendapat tempat dalam kalangan pengundi kerana tidak mempunyai rekod berbanding sumbangan dan gerak kerja yang dilakukan UMNO serta BN di kedua-dua parlimen berkenaan selama ini.