Kata Presidennya, DATUK AZMAN YUSOFF, isu-isu yang melingkari golongan itu antaranya manipulasi tender melalui kegiatan kartel, pengagihan projek-projek kecil dan skim latihan untuk kontraktor dibangkitkan ketika beliau mengetuai PKBM mengadakan perbincangan dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Kerja Raya, Baru Bian dan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof baru-baru ini. 

Jaminan, nasihat serta panduan dinyatakan oleh tiga menteri berkenaan kepada Azman akan diperjelaskan kepada kontraktor-kontraktor terutama ahli PKBM  berjumlah 1,500 orang. 

Azman berkongsi dengan wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL semalam hasil yang dicapai dalam pertemuan beliau dengan ketiga-tiga menteri. 

RUNDING TERUS, TENDER TERHAD

Dalam perjumpaan dengan Menteri Kewangan di pejabatnya di Putrajaya, PKBM telah menimbulkan beberapa isu tentang kegiatan kartel, projek-projek runding terus dan tender terhad yang telah dirunding semula harga.

Dalam aspek ini Kementerian Kewangan (MoF) akan menyemak semula, berunding mencari kaedah terbaik untuk penyelesaian situasi menang-menang dan menterinya memaklumkan bukan semua tender runding terus dan tender terhad yang sebelum ini akan dipotong 10% seperti yang diuar-uarkan. Penjelasan ini amat melegakan kontraktor.



KARTEL

Terima kasih kepada MoF kerana bersungguh-sungguh ingin melihat kegiatan kartel yang menghantui kontraktor dikekang. MoF dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) akan memantau isu-isu kartel ini terutama melibatkan kontrak kerja-kerja penyelenggaraan bangunan.

Kegiatan kartel ini melibatkan satu kumpulan kontraktor yang mengumpul lesen yang banyak untuk manipulasi nilai harga tender.
Kumpulan kartel ini bekerjasama untuk menetapkan harga yang akan menguntungkan mereka selepas memahami kaedah statistik harga sesuatu tender kerajaan, sekali gus menutup peluang kontraktor kecil seperti G7 hingga G5 bersaing.
Kontraktor bumiputera dan Me­layu ba­nyak terkesan dengan kumpulan kartel ini. Justeru, kerajaan perlu memperhalusi kembali sistem ini ataupun menukarkannya dengan sistem yang lebih telus dan adil kepada semua kontraktor.

PAKEJ RANGSANGAN

Semasa pentadbiran Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad, wujud pakej rangsangan ekonomi untuk melibatkan kontraktor kecil yang tidak ada peluang kerja/kontrak terutama di negeri dan daerah dalam kerja-kerja penyelenggaraan sekolah, klinik dan kem-kem tentera. Banyak kontraktor kecil menerima manfaatnya. Ia ibarat `durian runtuh’ untuk kerja-kerja yang boleh disiapkan dalam jangka masa singkat dua bulan.

Bagaimanapun, ekonomi berubah dan pakej ini kemudian diletakkan di bawah kendalian Jabatan Kerja Raya. Dalam hal ini, Menteri Kewangan menyatakan sekiranya keadaan kewangan negara kembali pulih, pihaknya akan membantu kontraktor kecil di seluruh negara. Bajet boleh diuruskan. 
Di kebanyakan sekolah, antara masalah biasa yang dihadapi adalah sistem penyelenggaraan rosak, pili bomba manakala kerja-kerja mekanikal dari segi keselamatan perlu diutamakan supaya bangunan kerajaan selamat digunakan. 
PKBM turut menyatakan komitmen kepada MoF untuk menjadi penghubung antara kerajaan dengan pemain industri binaan supaya isu-isu mengenai industri dibangkitkan kepada MoF kelak.

Zaman sudah berubah, semakin banyak penambahbaikan. CIDB kini menyasarkan penggunaan Sistem Bangunan Berindustri (IBS) sebanyak 50 peratus bagi sektor pembinaan swasta menjelang 2020.
Penggunaan IBS harus cepat diterokai oleh kontraktor bumiputera kerana dapat mengurangkan kebergantung­an terhadap tenaga buruh di sam­ping membantu mempercepatkan masa pembinaan dan me­ngurangkan kenaikan kos bahan.

Ini suatu prospek untuk ahli PKBM menjadi pakar pemasangan IBS berbanding dahulu yang lebih mengkhusus kerja-kerja penyelenggaraan kecil. Menerusi IBS ini, lebih banyak kontraktor boleh sertai.

APA KATA BARU BIAN?

Hasil pertemuan dengan Menteri Kerja Raya, Baru Bian, pihak kementerian mahu PKBM bekerjasama dengan CIDB untuk memberi latihan kepada anak bangsa. Menteri menaruh keyakinan PKBM milik bukan hanya satu kaum tetapi terbuka kepada bumiputera di Sabah dan Sarawak serta Orang Asal.
 PKBM diberi lampu hijau oleh kementerian melalui CIDB untuk mengambil pelatih daripada Akademi Binaan Malaysia (ABM), institusi di bawah CIDB menyertai industri pembinaan.

Kursus-kursus PLBK akan memberi bimbingan kepada kontraktor khususnya pengurusan teknikal yang sistematik. PKBM turut akan menjalin hubungan yang baik dengan CIDB di negeri-negeri supaya masalah kontraktor boleh dirujuk untuk perbincangan dan penyelesaian dengan pemain industri. 


TERIMA KASIH PAK WAN



Terima kasih kepada Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan atau mesra dengan panggilan Pak Wan kerana bersedia membantu usahawan Melayu dan bumiputera khususnya. Menerusi Bahagian Pembangunan Usahawan di bawah kementerian, PKBM memohon kementerian membantu dari aspek latihan terutama untuk mempromosi produk-produk ahli. Ini termasuk menerusi menjayakan showcase iaitu jaringan antara usahawan dan pengeluar barang binaaan.

REDA KERESAHAN

Pertemuan dengan tiga menteri berkenaan, PKBM berharap akan meredakan keresahan yang dihadapi kontraktor-kontraktor dan usahawan bumiputera. Pada masa sama, PKBM juga sedang merancang menganjurkan satu Konvensyen Usahawan Kontraktor Bumiputera bagi mengenal pasti hala tuju industri pembinaan negara menuju alaf baharu 2020.

PKBM akan menjemput Perdana Menteri untuk merasmikannya yang akan melibatkan penyertaan pakar-pakar dalam industri binaan seperti perunding, arkitek, jurutera awam, mekanikal dan elektrikal, kawalan kualiti dan lain-lain.