Bahkan kedudukan bahasa Melayu terpelihara di bawah bidang kuasa Majlis Raja-Raja sehingga tidak boleh dipinda di Parlimen hanya berdasarkan majoriti dua pertiga.Namun isu pelaksanaan dan penguatkuasaannya masih terus-menerus dikupas kerana masih ada pihak yang seolah-olah mencabar kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Bahasa kebangsaan pula dalam tafsiran Perlembagaan berperanan sebagai bahasa rasmi, iaitu bahasa yang wajib digunakan dalam semua urusan rasmi di tiga peringkat pentadbiran negara. Tiga peringkat itu ialah kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam (badan berkanun, pihak berkuasa tempatan dan agensi).

Isu pelaksanaan dan penguatkuasaan bahasa Melayu sebagai bahasa urusan rasmi terus menjadi barah yang seakan-akan tidak surut parahnya dari awal kemerdekaan tercapai hingga kini. Peristiwa perarakan Keranda 152 ke Parlimen oleh Badan Bertindak Bahasa Kebangsaan pada tahun 1967, sebagai contoh, ialah cetusan rasa tidak puas hati tentang pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Perihal bahasa Melayu tidak atau jarang mendapat tempat dalam sejumlah majlis dan acara negara masih terus dibangkitkan. Nama kawasan, taman perumahan, nama bangunan, nama jalan dan nama institusi yang tidak mempamerkan bahasa kebangsaan masih leluasa.

Pentadbiran sebagai sektor paling utama patut menggunakan bahasa kebangsaan pun masih belum mencapai tahap yang memuaskan. Apabila Dewan Bahasa dan Pustaka melakukan Audit Bahasa Melayu di kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, dua aspek cukup menonjol.

Pertama, masih agak banyak badan kerajaan yang kurang mengutamakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi. Perihal mesyuarat masih dikendalikan dalam bahasa Inggeris atau bercampur aduk antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris masih menjadi kejadian yang lumrah di badan-badan kerajaan.

Pernah saya lihat sebuah buku pekeliling yang hanya judulnya dalam bahasa kebangsaan dan teks sepenuhnya dalam bahasa Inggeris, walhal pekeliling itu ditujukan kepada penjawat awam. Kedua, mutu bahasa Melayu yang digunakan masih ada yang belum mencapai tahap kebakuan atau tahap bahasa Melayu rasmi, sesudah lebih setengah abad merdeka.

Kejadian yang masih segar dalam ingatan ialah apabila bukan sahaja bahasa Inggeris masih lebih utama dalam beberapa hal, malah kini bahasa asing lain turut diguna dalam dokumen rasmi.

Peristiwa Menteri Kewangan Lim Guan Eng menggunakan bahasa Mandarin dalam siaran media rasmi, meskipun dikatakan terjemahan daripada bahasa kebangsaan tidak dapat diterima oleh pejuang bahasa dan semua pihak yang menghormati bahasa kebangsaan. Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir mengakui hal itu sebagai kesilapan walaupun disebut sebagai “kesilapan kecil”.

Di Johor Bahru baru-baru ini heboh isu surat edaran rasmi seorang anggota majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) yang juga berbahasa Mandarin, sehingga membangkitkan kemurkaan Sultan Johor. Di Perak pula sijil yang berjata negara dan mencatat nama Kementerian Pendidikan Malaysia dicetak dalam bahasa Mandarin.

Walaupun pertandingan itu katanya dianjurkan oleh pihak dari luar negara, namun pelibatan Kementerian Pendidikan Malaysia mewajarkan bahasa kebangsaan menjadi bahasa utama. Segala kejadian yang berkaitan dengan pelaksanaan dan penguatkuasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi itu sebenarnya gejala atau simptom isu yang lebih besar.

Tanggungjawab

Isu yang saya maksudkan ialah iltizam politik para pemimpin, baik pemimpin kerajaan mahupun pemimpin institusi seperti Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua Pengarah, Naib Canselor dan yang lain. Semua pemimpin itu merupakan pihak yang bertanggungjawab memastikan dasar negara dipatuhi dan dilaksanakan.

Dasar Bahasa Kebangsaan ialah salah satu dasar negara. Demikian juga Dasar Pendidikan Kebangsaan. Semua dasar negara digubal untuk membina negara, bukan sahaja dalam pembangunan prasarana bahkan juga dalam pembangunan kerohanian, sikap, pemikiran dan jati diri.

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sebagaimana disebut oleh Perdana Menteri Pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman pada tahun 1957, merupakan roh negara.

Oleh sebab itu pemimpin negara-negara yang kuat akar jati dirinya amat menegaskan langkah mengutamakan bahasa kebangsaan.

Berdasarkan pengalaman saya bertugas di negara China, 34 provinsi dan 56 kumpulan etnik disatukan dengan berasaskan bahasa kebangsaan, selain ideologi dan sistem pemerintahan yang baku. Dalam sistem pentadbiran, pendidikan, undang-undang, media dan di tempat awam, bahasa Mandarin sentiasa menjadi bahasa utama, hatta dalam hubungan diplomatik.

Di universiti tempat saya dihantar kerajaan Malaysia, Universiti Pengajian Asing Beijing, hampir 100 bahasa asing ditawarkan, namun bahasa utama pentadbiran, kuliah dan yang lain masih tetap bahasa Mandarin kerana bahasa asing dipelajari bukan untuk mengejar taraf sosial, tetapi tujuan pragmatis seperti ekonomi.

Begitu juga pengalaman saya sewaktu menjadi profesor tamu di Jerman dan dalam kunjungan tugas rasmi di Korea, Jepun dan Perancis. Jiran terdekat seperti Indonesia dan Thailand pun melaksanakan dasar bahasa kebangsaan yang tegas. Oleh itu pihak yang paling utama perlu diwajibkan mengutamakan bahasa kebangsaan dan memastikan pelaksanaannya sebagai dasar negara ialah para pemimpin.

Ungkapan kepemimpinan melalui teladan mesti diterapkan juga dalam soal bahasa, selain dalam soal etika dan yang lain. Penjawat awam di peringkat pelaksana dan pengguna bahasa awam dengan sendirinya akan terbudaya oleh pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan apabila pihak pemimpin atasan tegas dan mengamalkannya.

Apabila dasar negara dipandang sebelah mata malah diremeh begitu sahaja di peringkat atasan, maka timbul pelbagai gejala tadi. Saya mengemukakan satu contoh bagaimana Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (dan PBT lain) yang berkuasa mengeluarkan permit menaikkan papan tanda sesudah draf diluluskan oleh DBP daripada segi bahasanya, ada waktunya dinafikan bidang kuasanya.

Contohnya, Bangsar South yang menggantikan nama Kampung Kerinci, menurut maklumat, tidak pernah diluluskan oleh DBKL dan tidak diserahkan kepada DBP untuk pengesahan bahasa, namun tiba-tiba muncul.

Khabarnya ada tangan ghaib di peringkat atasan yang meluluskannya. Kejadian itu bukan terpencil dalam kes penguatkuasaan Undang-undang Kecil Pengiklanan yang menetapkan keutamaan bahasa kebangsaan di semua paparan di tempat awam.

Terjadinya hal itu tidak lain kerana pemimpin universiti taasub kepada bahasa Inggeris atau juga tidak peduli akan dasar negara berkaitan dengan bahasa kebangsaan.

Oleh itu, dalam pengisian agenda yang disebut-sebut sebagai “Malaysia Baharu”, sangat penting kita kembali kepada asas pembinaan negara yang holistik, termasuk menitikberatkan pelaksanaan dasar-dasar negara yang membina acuan sikap, nilai, budaya dan jati diri warganegara Malaysia.

Pasti kita sedih dan terkilan jika Malaysia Baharu ditandai oleh kehilangan roh negara. Pancang-pancang kenegaraan seperti Islam agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, institusi Raja dan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera perlu diperkukuh dalam Malaysia Baharu demi keutuhan negara.

Negara tidak dapat berharap kepada seorang dua pemimpin seperti Almarhum Tun Abdul Rahman Yaakub dan Anwar Ibrahim sahaja untuk bersikap tegas dalam pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan. Secara kolektif, semua pemimpin wajib mengambil tanggungjawab.

PENULIS ialah Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia.