Kesemua kaum dan kumpulan etnik yang berbeza bebas mengamalkan kebudayaan masing-masing termasuk dalam aspek makanan tradisional. Justeru, kepelbagaian makanan yang mencerminkan sesuatu budaya secara tidak langsung menjadi pemangkin kepada perpaduan rakyat.

Bahkan keunikan bagi setiap makanan tradisional pelbagai kaum dan etnik itu turut menjadi tarikan pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negara.

Justeru, tidak hairanlah mengapa Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) sentiasa bertungkus-lumus menggembleng tenaga dalam usaha memartabatkan makanan tradisional negara ini.

Salah satunya adalah menerusi penganjuran Festival Nasi Ambeng yang diadakan setiap tahun sejak 2014 di Inap Desa Banghuris, Kampung Hulu Chuchoh, Sungai Pelek, Sepang, Selangor.

Menurut Pengarah JKKN Selangor, Ghazali Bidin, festival itu merupakan salah satu usaha dilakukan bagi mempromosi dan memperkenalkan nasi ambeng yang begitu sinonim dengan masyarakat Jawa kepada pengunjung terutama generasi muda, sekali gus menjadi tarikan pelancongan utama negara.

“Nasi ambeng adalah makanan tradisional masyarakat Jawa yang terdiri daripada nasi putih yang dihidang di dalam dulang bersama lauk-pauk khas.

“Pada asasnya lauk-pauk ini terdiri daripada ayam masak ungkep, serunding kelapa, tempe goreng, mee goreng, sambal goreng Jawa dan ulam.

“Namun, peredaran zaman menyaksikan lauk ayam telah dipelbagaikan. Ada yang menghidangkan ayam masak kicap atau ayam goreng.

“Makanan ini dihidang di dalam dulang sebagai lambang keberuntungan dan dimakan beramai-ramai, antara empat hingga lima orang sedulang.

“Falsafah yang tersirat dalam penyediaan dan pemakanan nasi ambeng adalah sebagai simbol penyatuan dan perpaduan,” katanya kepada S2 selepas majlis perasmian festival itu di Inap Desa Banghuris baru-baru ini.

Di samping memartabatkan makanan tradisional yang menjadi simbolik perpaduan sesuatu kaum, festival berkenaan juga bertujuan menyediakan ruang dan memberi peluang kepada semua penggiat, pengusaha industri kecil dan sederhana memasarkan serta mempromosikan produk tempatan yang dihasilkan.

Sepanjang dua hari penganjurannya, pelbagai acara menarik telah diadakan seperti demonstrasi penyediaan nasi ambeng, permainan tradisional, peragaan pakaian Jawa, pertandingan mewarna kanak-kanak, anyaman kuda kepang, menggubah sirih junjung, battle of the band, aktiviti memanah, berkayak serta pameran dan jualan.

Pengunjung dan tetamu turut disajikan dengan persembahan oleh artis popular seperti Jalil Hamid, Mimie One Nation Emcee, Gmie Screen, Raftah Bachik, selain persembahan kumpulan kesenian, Kumpulan Pemuzik dan Tari Padat (Kombo) dan Kelab Bimbingan Seni Cemerlang JKKN.

Festival jadi tumpuan ribuan pengunjung

FESTIVAL Nasi Ambeng 2017 yang berlangsung selama dua hari pada 15 dan 16 April lalu begitu meriah dengan kehadiran ribuan pengunjung yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Menurut penggiat busana Melayu, Mohd. Herin Mansor, dia merasa terkejut dengan sambutan hebat dan memberangsangkan yang diberikan oleh orang ramai.

“Ini kali pertama saya menyertai gerai jualan dan tidak sangka festival begitu meriah dan mendapat sambutan ramai. Walaupun lokasi festival tidaklah seluas mana namun, pengunjung tetap ramai sehingga memenuhi seluruh kawasan.

“Lagi satu..., harga makanan yang ditawarkan pelbagai gerai begitu murah berbanding tempat lain. Sebagai contoh, harga nasi ambeng hanya RM5 sebungkus dan tapai pula RM1.50. Pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran turut dijual pada harga rendah berbanding tempat lain,” katanya yang turut mempromosikan busana tradisional Melayu.

Sementara itu, selain dihidangkan bersama pelbagai lauk dalam satu dulang dan dimakan beramai-ramai, menurut pengusaha nasi ambeng, Norhaizan Ahmad Solikhin, 36, keistimewaan makanan itu terletak pada ayam masak ungkep yang menggunakan rempah dan ramuan istimewa.

“Berbeza dengan rendang ayam, masakan ayam ungkep tidak menggunakan santan. Ayam ungkep merupakan lauk asal nasi ambeng dan ‘wajib’ dihidangkan bersama lauk lain.

“Namun, pada masa kini, masakan ayam sudah dipelbagaikan mengikut selera masing-masing. Ada yang gemarkan ayam goreng, ayam masak kicap dan ayam masak sos. Ada juga yang menggantikannya dengan daging lembu,”tambahnya.

Menurutnya, nasi ambeng dihidangkan ketika majlis kenduri dan doa selamat sahaja.

Katanya, pada zaman dahulu, ayam masak ungkep dihidangkan seekor dalam setiap dulang. Ketika hendak makan, barulah ayam dilapah dan dibahagi sama rata.

Namun, ujarnya, kini sajian ayam itu sudah dibahagikan terlebih dahulu sebelum dihidangkan.

Seorang pengunjung, Poo Ming Shi, 27, yang baru pertama kali menyertai festival itu turut melahirkan rasa teruja apabila diberi kesempatan merasai keenakan nasi ambeng.

“Peluang merasai makanan tradisional masyarakat Jawa memberi pengalaman istimewa kepada saya kerana ini pertama kali saya melihat keunikan masakan tersebut.

“Sebelum ini, saya tidak pernah makan nasi yang digabungkan sekali dengan mee goreng serta lauk lain.

“Rasa masakan sangat sedap. Hidangan yang lain daripada lain menjadikan nasi ambeng unik dan istimewa.

“Selain itu, saya juga sempat mempelajari budaya dan bahasa masyarakat Jawa, di samping menyaksikan persembahan tarian,” katanya.

Penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM), Lina Nordin, 21, mengakui Festival Nasi Ambeng merupakan ruang terbaik untuk pelajar kulinari melihat lebih dekat cara penyediaan masakan tradisional masyarakat Jawa.

“Tujuan kami datang ke sini adalah untuk mempelajari cara memasak dan menyediakan nasi ambeng, di samping mengenali sedikit sebanyak budaya masyarakat Jawa.

“Kalau dalam kelas masakan yang kami hadiri di universiti, selalunya kami lakukan bersendirian. Namun, apabila berada di sini, kami dapat lakukan secara rewang dan ini secara tidak langsung merapatkan lagi hubungan di antara pengunjung,” katanya.