-

Nama itu memang tidak sesuai digunakan di negara ini kerana faktor perbezaan budaya dan bahasa.

Bangunan dengan nama itu hanya sesuai digunakan di Rusia memandangkan St. Petersburg adalah bandar kedua terbesar di negara itu yang telah dibuka oleh raja Peter the Great. Nama lain adalah Petrograd dan Leningrad.

Fenomena menggunakan nama asing khususnya bahasa Inggeris pada kondominium dan juga taman-taman perumahan baharu di negara ini semakin kronik.

Boleh dikatakan nama menggunakan bahasa Inggeris itu adalah lebih banyak selepas merdeka berbanding ketika negara kita dijajah oleh British.

Sehubungan itu, penerbitan buku ini cukup sesuai untuk mengingatkan pemilik bangunan, pemaju perumahan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bahawa mereka perlu kembali meneruskan tradisi menamakan tempat, premis dan taman perumahan dengan nama tumbuh-tumbuhan.

Amalan menggunakan nama tumbuhan-tumbuhan telah dimu­lakan sejak dahulu lagi. Sebab itu banyak negeri, bandar dan daerah di Malaysia yang menggunakan nama sedemikian.

Antaranya, pokok pinang (nege­ri Pulau Pinang), pokok melaka (ne­geri Melaka), pokok kangar (bandar Kangar), pokok ipuh (bandar raya Ipoh), pokok kangsar (daerah Kuala Kangsar), pokok dungun (daerah Dungun), pokok macang (jajahan Machang) dan pokok putat (daerah Putatan, Sabah).

Kesedaran paling tinggi untuk menggunakan nama tumbuh-tumbuhan boleh dilihat di bandar raya Shah Alam, Selangor.

Contohnya, nama bunga digunakan untuk jalan di Seksyen 2, pokok (Sek­syen 3), buah (Seksyen 4), tumbuhan yang hidup di kawasan pantai (Seksyen 18) dan sayur-sayuran (Seksyen 24).

Mungkin ada pihak yang meng­anggap tidak glamor sekiranya bangunan dan tempat menggunakan nama tumbuh-tumbuh­an seperti mengkuang, serai dan nangka kerana tidak unik serta selalu disebut orang ramai.

Langkah itu boleh dibuat sekiranya nama tumbuh-tumbuhan digabungkan dengan perkataan lain untuk menjadi lebih unik seperti Kampung Padang Mengkuang, Kampung Sungai Serai dan Kampung Bukit Nangka.

Kebiasaannya nama tumbuh-tumbuhan digabungkan dengan bentuk geografi di sesuatu kawasan seperti di kawasan kampung berke­naan terdapat padang luas, sungai dan kawasan berbukit-bukau.

Untuk menambah keunik­an, bolehlah digunakan nama tumbuh-tumbuhan berdasarkan loghat daerah seperti pokok gajus yang turut dikenali sebagai janggus (utara Semenanjung Malaysia), ketereh (Kelantan) dan jambu golok (Terengganu).

Nama berkenaan turut digabungkan dengan elemen geografi seperti Alor Janggus, Kedah dan Kampung Bukit Jambu Golok, Terengganu.

Elemen geografi lain yang se­ring digabungkan dengan nama tumbuh-tumbuhan adalah alur (parit kecil), bagan (pangkalan), teluk, cangkat atau gong (bukit kecil), paya, guar (anak bukit), telaga, tanjung, permatang, kedai, hutan, dusun, kuala (tempat sungai mengalir masuk ke laut), kubang (lopak berisi air), lembah, lubuk dan parit.

Sebenarnya banyak tumbuh­an kurang dikenali yang boleh dijadikan nama bangunan dan taman perumahan tanpa menimbulkan perasaan pelik.

Contohnya, gapis, bangkung, beruas, bogak, dungun, jelutung, jeneris, jeruju, perupuk, kasai, keladan, keledang, kempas, kerian, langkap, leban, lerek, nyirih, pelung, perepat, petaling, piai, pudu, rawa, redan, rengas, resak, rukam, sekiat, sentang dan sepetir.

Dalam pada itu, satu hakikat yang seharusnya diketahui semua pihak adalah nama dalam bahasa Inggeris bukan penentu bagi menjadikan sesuatu bangun­an dan tempat popular.

Misalnya, Lapangan Terbang Changi di Singapura pada 2016 te­lah dipilih sebagai Lapangan Terbang Terbaik di Dunia buat empat tahun berturut-turut berdasarkan tinjauan pendapat syarikat penyelidikan dari United Kingdom, Skytrax, ke atas 13.25 juta pengunjung daripada seluruh dunia.

Pemilihan itu sudah tentu bukan kerana nama. Changi berasal daripada perkataan cengal sejenis pokok balak yang terkenal de­ngan kayu keras dan tahan lama.

Buku ini adalah paling lengkap pernah diterbitkan yang memaparkan nama tempat yang sinonim dengan 149 tumbuhan di Malaysia.

Naskhah ini memang sesuai dijadikan rujukan untuk semua pencinta bahasa kebangsaan.

Turut dilampirkan adalah se­narai spesies bunga-bungaan dan sayur-sayuran yang sinonim de­ngan nama tempat.

Ekoran sumbangan penyelidik Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dalam menghasilkan buku ini, maka naskhah berkenaan diberikan Anugerah Buku Negara (Buku Teknikal Terbaik) 2016 oleh Yayasan Pemba­ngunan Buku Negara (YPBN).

Buku berkenaan adalah penerbitan kelima FRIM yang memenangi Anugerah Buku Negara.

Selamat membaca.