ZEFRI YUSOF
ZEFRI YUSOF 

Ramai yang ‘rindu’ barangkali apabila kelibatnya tidak lagi muncul sebagai pemimpin nombor satu negara dalam acara-acara rasmi kerajaan.

Ini bukanlah cakap-cakap kosong. Enjin carian Google menerusi trends.google.com.my mencatatkan Najib merupakan Individu Trending Bagi 2018, bahkan popularitinya mengalahkan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menduduki tempat kedua!

Agak mengejutkan bukan? Pun begitu sebenarnya Najib menjadi carian tertinggi kerana ramai ingin mengetahui nasib bekas pemimpin nombor satu negara itu apabila siasatan panjang dalam pendakwaan dan tuduhan penyelewengannya dimulakan.

Tidak hanya itu, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor turut menjadi perhatian kerana berhadapan dengan pelbagai tuduhan dengan muncul di tempat keempat manakala bekas pelakon yang kini menjadi sebahagian keluarga Diraja British, Meghan Markle mengambil tempat kelima kerana perkahwinannya bersama Putera Harry.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pula hanya menduduki tempat keenam selepas jauh ditinggalkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berada tempat ketiga.

Ketua Komunikasi dan Hubungan Awam Google Malaysia, Zefri Yusof, 50, yang ditemui Utusan Malaysia kelmarin berkata, tahun 2018 meninggalkan rakyat negara ini dengan penuh kejutan.

“Buat pertama kalinya Google menyaksikan rakyat negara ini begitu berminat dengan perjalanan pilihan raya, sebelum dan juga selepasnya.

“Tidak seperti tahun-tahun yang melibatkan pilihan raya sebelum ini, kali ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga merupakan carian tertinggi rakyat Malaysia,” katanya.

Menurut Zefri, selepas SPR, Astro Awani, sebuah saluran dan halaman berita turut menduduki senarai tersebut kerana meraih populariti sebagai sumber berita utama sebelum, semasa dan selepas PRU-14.

BR1M carian terhangat

Perkembangan teknologi, penggunaan telefon pintar serta capaian Internet yang lebih meluas nyata memberi kelebihan rakyat Malaysia untuk mendapatkan apa sahaja maklumat dengan lebih pantas dan mudah.

Carian berkenaan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) juga agak tinggi di mana program itu menduduki tempat keenam dalam kategori Topik Trending 2018 menunjukkan ramai dalam kalangan rakyat negara ini yang memerlukan bantuan tersebut.

Ini bermula daripada memohon, menyemak kelayakan sehingga kepada keputusan berjaya atau tidak mendapat bantuan BR1M.

Carian trending sepanjang 12 bulan yang lalu menawarkan perspektif lebih mendalam terhadap carian-carian Internet unik pada tahun 2018. Selain tokoh-tokoh politik, tempat teratas bagi carian trending paling top adalah World Cup, kejohanan bola sepak empat tahun sekali yang berlangsung di Moscow, Rusia selama empat minggu.

Individu-individu paling trending lain antaranya Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, pelakon dan pengarah, Farid Kamil, pemain bola sepak Chile, Alexis Sanchez dan ahli politik popular Nurul Izzah.

Antara topik hangat lain yang turut trending dalam carian tertinggi rakyat negara ini adalah Momo Challenge, Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), peristiwa pesawat Lion Air yang membawa 188 penumpang dan kru dipercayai tenggelam selepas terhempas di perairan Karawang, Jawa Barat, Indonesia.

“Carian Google terus menjadi pilihan rakyat negara ini dalam pelbagai topik, individu popular dan peristiwa besar yang bukan sahaja merumuskan keadaan semasa, tetapi sejarah kita di masa hadapan,” katanya.

Google menurut laman web gs.statcounter.com merupakan enjin carian tertinggi penggunaannya dalam kalangan rakyat Malaysia iaitu sekitar 97.96 peratus, menyaksikan Yahoo! hanya sekitar 1.22 peratus dan selebihnya adalah enjin carian lain.