Terbaharu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A. Xavier Jayakumar memberitahu bahawa kadar tarif air mungkin akan dinaikkan secara berperingkat-peringkat pada tahun ini. Tujuannya untuk menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini. Ketua Pegawai Eksekutif SPAN, Datuk Mohd. Ridhuan Ismail pula berkata, ketika ini rakyat Malaysia menggunakan kira-kira 220 liter air sehari dan ini agak tinggi berbanding negara lain. Pada tahun 2020, kerajaan menyasarkan penggunaan air bagi setiap rakyat kepada 180 liter.

Sudah pasti berita kenaikan tarif air meresahkan rakyat memandangkan kos sara hidup yang tinggi dan dalam suasana iklim ekonomi yang tidak menentu. Seperti kenaikan harga minyak, kenaikan tarif air juga akan memberikan kesan domino kepada rakyat kerana secara tidak langsung menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan berkaitan turut meningkat, dan seterusnya merebak menjadi wabak pesta kenaikan harga dalam semua sektor kehidupan.

Ditambah pula dengan sebahagian para peniaga yang mengambil kesempatan dengan menggunakan alasan tarif air sudah naik untuk mengaut keuntungan berganda.

Lihat sahaja penurunan harga minyak baru-baru ini, adakah harga barang turut turun? Pun begitu, kerajaan menjanjikan bahawa kenaikan tarif itu nanti dipercayai tidak akan membebankan golongan B40. Hal ini hanya berlaku sekiranya mereka diberikan air percuma, seperti mana yang dilaksanakan di Selangor.

Persoalannya, bagaimana pula dengan golongan M40 yang berada dalam kelompok pendapatan pertengahan? Sudahlah tersepit, tetapi tidak mampu berbuat apa-apa. Kadang-kadang faktor meter air di rumah rosak juga akan menyebabkan pengguna perlu membayar bil air yang tinggi.

Maka, selain memikirkan untuk menaikkan tarif air, pihak yang bertanggungjawab perlu memastikan bahawa Non Revenue Water (NRW) ataupun Air Tanpa Hasil dapat dikurangkan kepada 25 peratus menjelang 2020.

Setakat 2017, NRW di negara kita adalah pada 35.3 peratus. Hal ini terjadi kerana kekurangan dana dalam menggantikan paip-paip yang lama dan rosak dan akhirnya menyebabkan kebocoran air.

GANGGUAN BEKALAN

Selain itu, kurangya pengawasan dalam kerja-kerja penambahbaikan sistem pengeluaran air juga salah satu faktor penyumbang kepada NRW. Ini sudah pasti mengurangkan jumlah pendapatan air di sesebuah negeri. Sekiranya masalah ini dapat dikurangkan, kerajaan negeri akan beroleh pendapatan daripada sumber air yang lebih tinggi dan seterusnya dapat melupakan hasrat menaikkan tarif air.

Dicadangkan agar Kerajaan Pusat menyalurkan geran kepada kerajaan-kerajaan negeri supaya kerja-kerja penambahbaikan sistem perpaipan dapat dibuat dengan kadar segera.

Soal keadilan untuk rakyat, amat perlu ditititkberatkan sebelum memutuskan untuk menaikkan tarif air. Ini kerana, masih terdapat beberapa daerah di negara ini yang masih tidak mendapat bekalan air bersih dan sering berhadapan dengan masalah gangguan bekalan air.

Perkara-perkara sebegini boleh mengurangkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan yang memerintah. Ditambah pula dengan khabar terbaharu mengenai kenaikan tarif air. Rakyat pasti mengeluh dan perkara ini nanti mampu diterjemahkan di dalam pilihan raya umum/kecil yang akan diadakan pada masa hadapan.

Selain itu, amalan mendapatkan bekalan air menerusi Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) sebagai sumber air alternatif boleh membantu kerajaan menjimatkan kos merawat air. SPAH sudah diamalkan di banyak negara termasuk di Amerika Syarikat, Jepun, Korea, Australia, India dan Jerman berikutan kesedaran penjimatan penggunaan air terawat. SPAH juga digunakan secara meluas di negara lain seperti Jepun dan Korea sebagai langkah mencegah banjir kilat dan menggunakan semula air hujan untuk aktiviti harian.

Contohnya, pada tahun 80-an, sebuah stadium sumo di Tokyo, Jepun dilengkapi dengan tangki air hujan yang mampu menampung 1,000 meter padu (m3) air dan berjaya menyelesaikan masalah banjir di kawasan itu. Air yang ditakung itu kemudiannya digunakan untuk keperluan di dalam stadium seperti mengepam dan mencuci tandas.

Dalam keadaan tertentu, kenaikan tarif air tidak dapat dielakkan. Strategi menjimatkan pengunaan air ini adalah selaras dengan kajian para penganalisis alam sekitar yang meramalkan bahawa bekalan air untuk kegunaan domestik dan perindustrian semakin berkurangan. Oleh itu, Dasar Naungan (Patronage Policy-Carrot) dan Dasar Kawal Selia (Regulatory Policy-Stick) dengan menggunakan pendekatan Carrot and Stick harus diperkenalkan.

Misalnya, pengguna akan diberikan rebat atau diskaun sekiranya berjaya mengawal pengunaan air pada tahap-tahap minimum tertentu secara berturut-turut dalam masa setahun (Carrrot). Sebaliknya, mereka akan dikenakan penalti (Stick).

Bila agaknya dasar tarif sebegini boleh diperkenalkan? Seharusnya semasa ekonomi negara dalam keadaan yang baik. Bak kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam masa tiga tahun lagi ekonomi Malaysia akan pulih sepenuhnya.

PENULIS ialah Pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Pahang, Kampus Raub.