Chandra Muzaffar
Chandra Muzaffar

Perkataan ‘liberal’ dan ‘demokrasi’ dalam Rukun Negara jika dimasukkan dalam Perlembagaan dibimbangkan boleh digunakan pihak tertentu untuk menidakkan kuasa perundangan Islam.

Dalam wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM dan jurugambar, SHIDDIE QIIN ZON , barubaru ini, Pengerusi Kumpulan Rukunegara Mukadimah Perlembagaan (Kumpulan RMP), DR . CHANDRA MUZAFFAR menjelaskan matlamat utama pihaknya adalah semata-mata kerana tidak mahu ideologi itu terus dipinggirkan.

UTUSAN: Terdapat kebimbangan ini agenda untuk melemahkan pengaruh Islam kerana beberapa ahli Kumpulan RMP adalah pendukung kuat fahaman liberal?

CHANDRA: Cadangan kami sebenarnya kerana Rukun Negara yang berfungsi sebagai ideologi nasional yang boleh menyatupadukan pelbagai kaum di Malaysia telah dipinggirkan.

Walaupun pengisytiharan Rukun Negara berlaku 46 tahun dahulu, naskhah itu lebih relevan hari ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Sebagai contoh, ambil sahaja cita-cita pertama Rukun Negara iaitu perpaduan yang lebih erat. Dalam situasi di mana sikap eks­klusif kian merebak, kita perlu menggalak dan memasyhurkan suatu fahaman yang inklusif. Rukun Negara memenuhi kehendak ini.

Dalam pada itu, harus ditegaskan di sini, kumpulan kami bukan yang pertama mencadangkan agar Rukun Negara diberi pertimbangan sebagai mukadimah Perlembagaan. Prof. Datuk Dr. Syed Hussein Alatas (salah seorang pengasas Gerakan) pernah mengemukakan cadangan ini pada Februari 1971.

Seorang lagi bekas Menteri yang juga ahli Majlis Perundingan Negara (MPN) yang menggubal Rukun Negara, Athi Nahappan juga mahu ideologi ini diberi status dalam Perlembagaan.

Tetapi kumpulan kami adalah inisiatif pertama untuk menggembleng seluruh warga Malaysia bagi menyokong untuk menjadikan Rukun Negara mukadimah Perlembagaan.

Adalah diharapkan bahawa hingga 30 April 2017, rakyat yang prihatin tentang Malaysia dan masa depannya akan memberi sokongan.

Ada pihak yang mempertikaikan perkataan ‘liberal’ dan ‘demokrasi’ dalam Rukun Negara memandangkan istilah itu tidak terdapat dalam Perlembagaan?

Perasaan bimbang akan Rukun Negara mempunyai hak-hak tidak selaras atau mencabuli per­untukan Perlembagaan kita adalah tidak berasas.

Rukun Negara telah digubal oleh patriot-patriot kita yang terdiri dalam kalangan insan berilmu, mempunyai integriti tinggi dan memahami asas-asas Perlembagaan. Penggubalan oleh mereka, berkenaan prinsip dan objektif Rukun Negara tidak melanggar, malahan merangkumi semangat sebenar Perlembagaan kita.

Harus juga diingatkan Rukun Negara adalah hasil daripada proses musyawarah. Ia digubal oleh MPN yang terdiri daripada 67 anggota yang mewakili semua sektor penting dalam masyarakat. Semua kaum dan agama ada wakilnya. Selain pe­mimpin kerajaan, ketua-ketua parti pembangkang juga mengambil bahagian dalam per­undingan MPN.

Perbincangan dan perunding­an berlaku selama lapan bulan - dari Januari hingga Ogos 1970. Akhirnya, ahli-ahli MPN mencapai kata sepakat. Insan yang mengemudi proses musyawarah ini adalah negarawan tersohor kita yang juga Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein. Beliau ialah Pengerusi MPN. Legasi beliau harus diberi nafas baharu dalam suasana yang wujud kini.

Terdapat juga keraguan Ru­kun Negara akan menjadi mukadimah bersifat substantif yang memberi kesan besar ke atas teks Perlembagaan?

Tidak seperti artikel tertentu dalam Perlembagaan yang me­ngandungi hak atau tanggungjawab tertentu. Mukadimah adalah satu kenyataan umum yang tidak mempunyai penguatkuasaan.

Mukadimah dalam Perlembagaan adalah seperti cahaya petunjuk, suatu panduan tindakan, panduan kepada tafsiran Perlembagaan tetapi bukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Tiada siapa yang pernah menang atau kalah dalam kes semata-mata berdasarkan mukadimah tanpa menghubungkan mukadimah dengan peruntukan undang-undang tertentu yang mewujudkan hak atau tanggungjawab. Dengan sendirinya mukadimah tidak mencipta hak atau tanggungjawab yang boleh dikuatkuasakan.

Bantahan bahawa mukadimah akan merampas peranan badan perundangan dan akan melanggar doktrin pengasingan kuasa adalah tidak berasas sama sekali.

Masih terdapat kebimbangan akan ada hakim menggunakan Rukun Negara dalam mentafsir Perlembagaan?

Rukun Negara dan Perlembagaan saling melengkapi antara satu sama lain. Rukun Negara adalah sepenuhnya selaras de­ngan niat asal Perlembagaan. Sebaliknya, amalan Perlembagaan selepas 1980-an yang bercanggah daripada tujuan asal nenek mo­yang kita dan cita-cita Rukun Negara.

Bagaimanapun, jika terdapat pernyataan dalam mukadimah yang bercanggah dengan peruntukan tertentu dalam suatu hukum, peruntukan khusus akan digunakan. Khas mengatasi umum adalah ungkapan undang-undang yang terkenal.

Bukankah prinsip pertama dalam Rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada Tuhan akan melemahkan Perkara 3 dalam Perlembagaan berkaitan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan?

Bersama Perkara 3, Perlembagaan kita juga mempunyai Perkara 11 yang berkaitan dengan kebebasan beragama.

Jadi, Perlembagaan sejak dari dahulu mengiktiraf kepelbagai­an agama tetapi memberi keutamaan kepada Islam untuk bidang-bidang rasmi.

Bagi saya prinsip pertama dalam Rukun Negara tidak melanggar malah mengukuhkan lagi prinsip tauhid dalam Islam yang merupakan asas kepada agama itu.