Selagi tidak diketuk, selama itulah pahat akan diam. Kenapa mereka menjadi tidak bersemangat bekerja?

Difahamkan sesetengah itu pada mulanya sangat rajin, proaktif dan banyak idea. Tetapi lama-lama mereka tidak lagi menonjolkan diri dengan idea. Mereka menjadi kura-kura sorokkan kepala.

Antaranya ini disebabkan organisasi telah dijangkiti berpenyakit. Ia berpunca daripada ketua yang lebih dahagakan ampu puji daripada teguran membina.

Dalam keadaan ketua yang hilang wibawa, menjelmalah oportunis dengan modus operandi basinya - memuji melulu senangkan hati ketua.

Oleh hal yang demikian, sesetengah yang mulanya berkobar-kobar telah hilang rangsangan untuk bekerja dengan bertanggungjawab.

Mereka patah semangat apabila ketua yang tidak pandai membaca perangai setiap pekerjanya. Si penjual temberang menjadi lebih penting daripada yang bekerja tetapi kurang bercakap.

Untuk berjaya, pekerja tidak boleh dianggap orang bawahan tetapi ‘pemegang saham’ yang bertanggungjawab dan terkesan di atas turun naiknya organisasi berkenaan.

Tetapi malangnya tidak semua ketua faham dengan analogi ini - banyak yang terleka dipuji dan diampu sang jengkaut yang berada di sekelilingnya.

Maka pekerja pun menganggap untuk apa bekerja setengah mati membangunkan organisasi kalau akhirnya pengampu sahaja mendapat faedahnya?

Untuk apa bekerja dengan penuh iltizam kalau akhir tahun si penjual temberang yang mendapat macam-macam faedah? Ketua yang lemah, makanan pengampu yang licik. Padahal semua pekerja ada peranan.

Orang tua-tua kita juga ada berpesan, “Yang buta menghembus lesung, yang pekak membakar meriam, yang bisu menyimpan rahsia, yang tempang menjaga tongkat, yang kurus menjaga lauk dan yang gemuk mengimbang perahu.”

Maknanya kena manfaatkan dan jangan sisihkan. Semua orang memiliki kemampuan, ada terzahir dan juga terlindung.

Di sini perlunya ketua yang peka untuk menggilap semua bakat pekerjanya supaya tidak salah memilih yang kuat temberang dan ampu.

Kalau ketua terkena penyakit dahagakan puji dan ampu, seluruh organisasi akan menjadi lintang-pukang.

Sistem koyak rabak dan rosak dengan teruknya, prosedur operasi standard (SOP) dilanggar dan siapa yang memberi teguran akan terhukum seperti Nadim. Maka untuk selamat, menari sajalah mengikut rentak ketua asalkan hujung bulan dapat gaji.

Pekerja pun ada tanggungan dan mulut-mulut yang mesti disuapkan. Mereka akan berfikir berkali-kali untuk menerima nasib seburuk Nadim hanya kerana mahu membangunkan organisasi.

Malah dengan ketua yang seperti itu, organisasi tidak akan bersimpati dengan pekerja yang sanggup berkorban untuk organisasi.

Maka yang berakal dan mempunyai banyak idea membangunkan organisasi pun menjadi seperti kura-kura - sembunyikan kepala di bawah cengkerang.

Di sisi ketua yang dahaga puji ampu, yang berakal panjang dan banyak idea serta jujur menegur wajar disekat. Maka yang menanggung rugi adalah organisasi kerana pekerja berbakat dan berpemikiran sudah menjadi kura-kura.

Penyakit ketua pun merebak kepada pekerja, kalau rakan-rakan sekerja yang memberi cadangan dianggapnya melobikan diri untuk mendapat jawatan.

Maka sekali lagi pekerja yang komited dengan tugasnya berubah menjadi kura-kura. Menyorok kepala yakni tidak perlu memberikan apa-apa cadangan untuk organisasi.

Demikianlah sedikit ceritera tentang ampu puji. Kita pun tentunya pernah menyaksikan ada ketua yang tersungkur di pintu kuasa kerana tersihir dengan puji dan ampu juak-juak yang berkepentingan dan ‘membunuh’ mereka yang menjadi Nadim.

Ambillah iktibar daripada sekian banyak ceritera dan kejadian. Usah ulangi terkorbannya Nadim hanya kerana ketua yang tiada wibawa.