Semuanya tidak menjadi isu, apa yang Almarhum ibu bapa kami ajarkan ialah makanan itu perlu halal dan wajib dilafazkan nama Allah sebelum menikmatinya - benda sama yang diajarkan oleh kesemua ibu bapa lain.

Mereka tidak pernah mewajibkan hanya hidangan khusus sahaja perlu dimakan setiap hari. Apa yang pen­ting ‘maqasid’ makanan itu tertunai.

Anak-anak jiran kami juga mempunyai pelbagai cita rasa makanan tersendiri. Ibu bapa kami dan mereka tidak pernah mencampuri urusan makan-minum itu.

Semuanya berlapang dada selagi tidak melibatkan perkara haram atau boleh merosakkan ‘akidah’. Moto mereka ialah makan untuk hidup bukan hidup untuk makan.

Analogi di atas boleh dikaitkan dengan tragedi para agamawan yang sukar untuk berlapang dada dengan perbezaan pendapat individu lain. Habis semua ‘musuh’ yang solat menghadap kiblat sama itu dilabelkan dengan pelbagai bahasa kurang elok. Alasannya amat mudah iaitu kerana tidak sealiran!

Rasanya semua telah arif bahawa semasa agamawan berkenaan mula-mula ‘menadah kitab’, antara disiplin ilmu utama yang diajar oleh guru mereka ialah berlapang dada, dengar dan terima pandangan pihak lain. Ilmu para guru ini bukan calang-calang, ia bersambung sanad dengan ulama silam yang semestinya mendapat ‘ijazah’ daripada tabi’ tabiin, tabiin, sahabat dan akhir sekali Rasulullah SAW.

Adakah Rasulullah SAW dalam sirah dakwah selama 23 tahun di Mekah dan Madinah mengajar para sahabat memaki-hamun mereka yang tidak sependapat?

Setahu penulis yang bukan ustaz, Baginda amat hebat dari segi akhlak , setiap teguran disampaikan dengan penuh hikmah. Maka, metodologi maki hamun agamawan semasa ini diwarisi daripada siapa? Fikir sendiri!

Kita beralih pula kepada misalan lain. Diceritakan bahawa kerajaan sebuah negeri mengarahkan seluruh rakyatnya jika ingin selamat, mereka perlu belayar ke sebuah negeri yang dinamakan sebagai ‘syurga’. Syaratnya perlu membeli ‘tiket’ daripada kumpulan manusia yang bernama ustaz di sebuah premis khusus.

Maka berpusu-pusu manusia membeli tiket. Malangnya semasa beratur, mereka terpaksa menadah te­linga dan melihat para penjual tiket itu bergaduh sesama sendiri bersabit dengan pelbagai isu remeh. Contohnya, warna pakaian yang dipakai tidak ‘matching’ dengan kopiah, kenapa tasbih si polan lebih panjang daripada si polan yang lain, kenapa bulu sejadah A lebih tebal daripada kepunyaan B.

Akhirnya manusia yang bosan itu memilih menggunakan cara haram atau salah. Dibeli tiket melalui ‘ulat’. Maka belayarlah mereka dengan bot tiada jaket keselamatan, ada menaiki rakit yang sudah longgar tali pengikat. Karamlah mereka akibat dipukul arus deras dan ombak ganas, tidak sampai ke destinasi diidamkan, sebaliknya hanyut ke negeri bernama neraka!.

Tidakkah terbit rasa penyesalan dalam hati penjual tiket berkenaan? Kerana mereka, ramai yang tersasar daripada destinasi sepatutnya.

Sakit perpecahan Melayu-Islam dalam politik sudah parah, janganlah ditambah dengan tragedi agama. Sesuatu amat perlu dilaksanakan. Pihak berwajib tidak salah jika diwujudkan satu majlis atau jawatankuasa khusus sama ada secara formal wuntuk menjernihkan hubungan sesama agamawan ini.

Jika takut memalukan segelintir yang bertaraf selebriti, jemputlah secara senyap-senyap, bincang secara anak beranak. Tersilap adalah lumrah bagi manusia, jadi amat tidak salah jika saling mengingati mana-mana yang sedikit tergelincir daripada landasan. Hakikatnya, manusia ingin membeli ‘tiket’ daripada penjual yang sah!