Walaupun terdapat ketegangan dan kekerasan berlaku di Filipina Selatan, Thailand Selatan dan Myanmar Barat, adalah diharapkan pada 50 tahun akan datang, segala konflik itu berakhir dan dapat diselesaikan. Dalam hal ini cabaran paling besar dalam ASEAN berlaku di negeri Rakhine di Myanmar dengan melibatkan kaum Rohingya.

Jika Myanmar tidak memilih jalan positif, maka kesan negatif jangka panjang bukan saja berlaku ke atas negara itu tetapi juga akan melibatkan dua rantau: Asia Tenggara dan Asia Selatan. Ini kerana apabila konflik berpanjangan berlaku di Rakhine, ia bukan saja turut memberi kesan pada negara-negara jiran dalam ASEAN iaitu Thailand, Malaysia dan Indonesia, tetapi juga kepada rantau Asia Selatan melalui Bangladesh dan India.

Bangladesh sendiri menanggung beban besar akibat kebanjiran pelarian Rohingya sementara India menimbulkan bantahan pihak pejuang hak asasi manusia apabila New Delhi menyatakan akan menghalau semua pelarian Rohingya walaupun ia terdaftar dengan Pesuruhjaya Tinggi bagi Pelarian Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR).

India yang dipimpin oleh kerajaan nasionalis Hindu memberi alasan keselamatan terhadap tindakannya itu. New Delhi bimbang teroris Islam menyeludup masuk bersama pelarian Rohingya.

Tetapi bagi sebahagian orang Myanmar pula, tindakan mereka menekan kaum itu adalah juga atas alasan menghalang teroris. Katanya militan Rohingya melancarkan serangan teroris. Malah ada kalangan pemuka Buddha di sana menyifatkan dasar UNCHR adalah membela teroris.

Tetapi jika orang Rohingya secara keseluruhannya ditekan dan dilayan kesemuanya sebagai teroris, apa yang boleh diharapkan daripada anak-anak muda kaum itu selain daripada mereka akan mengangkat senjata.

PBB sendiri sudah menyifatkan orang Rohingya sebagai kaum yang tidak bernegara dan tidak mempunyai kawan. Bagi orang Islam khususnya di Malaysia dan Indonesia pasti mereka mudah untuk bersimpati pada nasib saudara seagama. Kaum Rohingya dianggap sedang menghadapi nasib sama dengan orang Bosnia semasa Perang Balkan 20 tahun lalu.

Tetapi negara-negara jiran majoriti Islam, Bangladesh, Malaysia dan Indonesia sendiri tidak berupaya untuk menampung pelarian Rohingya yang terpaksa menyabung nyawa berhijrah keluar dari kampung halaman sendiri.

Walaupun dinafikan hak mereka, orang Rohingya adalah rakyat Rakhine dan Myanmar. Mereka tidak boleh dihalau begitu saja. Kewarganegaraan mereka wajar diiktiraf.

Dalam hal ini Suruhanjaya Penasihatan Rakhine yang diketuai bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan memberi amaran pada Myanmar supaya menamatkan keadaan tanpa kewarganegaraan kaum Rohingya dan menghentikan semua sekatan yang dikenakan ke atas mereka.

Ini kerana jika tidak, masa depan negeri Rakhine dan Myanmar sendiri akan terjejas. Laporan 63 halaman itu menyatakan bahawa untuk mencapai kestabilan dan pembangunan jangka panjang, caranya ialah dengan integrasi semula orang Rohingya dan penduduk lain di negeri Rakhine.

Penduduk lain itu bermaksud orang Rakhine yang beragama Buddha dan diterima sebagai warga negara Myanmar. Suruhanjaya itu ditubuhkan oleh Ahli Majlis Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi yang juga seorang menteri dan pemimpin de facto negara itu untuk mendapatkan perakuan daripada satu badan bebas.

Tetapi sukar bagi Suu Kyi hendak menerima perakuan itu, jauh sekali untuk melaksanakannya. Ini kerana beliau berdepan dengan rakyat Myanmar yang umumnya menolak orang Rohingya. Ditambah pula dengan kerajaannya yang tidak dapat mempengaruhi tentera.

Pertembungan

Mereka mengangap orang Rohingya yang berjumlah satu juta orang adalah pendatang tidak sah dari Bangladesh. Sedangkan mereka sudah berada di situ lama sebelum Myanmar terbentuk. Campuran penduduk tentulah berlaku tetapi pada hari kemerdekaan Myanmar, mereka adalah penduduk negara. Myanmar mengiktiraf 135 kumpulan etnik tetapi menolak Rohingya.

Laporan yang diserahkan pada kerajaan Myanmar di ibu negaranya di Naypyidaw, Khamis lalu mengingatkan bahaya ekstremisme di negeri Rakhine. Pertembungan antara dua golongan ekstremis agama Islam dan Buddha yang sudah tercetus boleh menjadi besar dan mampu menarik jatuh Myanmar, Bangladesh dan India.

Itu belum dikira kecaman antarabangsa terhadap Myanmar yang buat masa ini menempatkan 120,000 orang Rohingya di kem-kem pelarian tanpa perwakilan politik, kemudahan kesihatan dan pendidikan. Mereka ditempatkan di situ supaya dilindung daripada keganasan kaum yang dilancarkan oleh penduduk Rakhine yang beragama Buddha.

Menurut suruhanjaya itu, sama ada orang Islam dan orang Buddha dapat hidup bersama secara aman di Rakhine bukan persoalannya. Apa yang perlu difikirkan ialah bagaimana kedua-dua kaum dapat hidup bersama. Itulah jalan yang perlu dicari dan dilaksanakan.

Orang Rohingya perlu diintegerasi semula dalam masyarakat Myanmar. Ini kerana selama ini pun mereka hidup bersama. Kalau konflik adalah kerana ekonomi iaitu rebutan sumber, maka apa yang perlu dilakukan ialah usaha membasmi kemiskinan dan peningkatan pembangunan.

Adalah dipercayai dunia bersedia untuk membantu Myanmar untuk mendapatkan pembangunan jika hak semua penduduk Rakhine terjamin, dan selanjutnya mendatangkan perdamaian.

Tetapi jika Myanmar menolak laporan itu dan menegaskan bahawa orang Rohingya bukan rakyatnya, maka penyelesaian tidak akan tercapai. Tindakan seumpama itu akan menggalakkan kegiatan keganasan dan apabila ia mula bertapak, adalah sukar untuk membasminya.

Akhirnya, seperti mana berlaku di tempat lain, perdamaian terpaksa juga diterima dan ketika itu konflik berkenaan tidak menguntungkan sesiapa. Hasrat Myanmar hendak mencapai kemajuan seperti mana negara-negara ASEAN lain hanya tinggal mimpi.

ASEAN hanyalah satu gagasan yang dianggotai oleh 10 negara berjiran di antara satu sama lain. Ia wujud kerana 10 negara ini wujud untuk mencapai suatu keadaan damai yang boleh memberi kemakmuran kepada penduduknya. Ia berada di sebuah rantau yang dinamakan Asia Tenggara. Rantau ini juga satu gagasan yang lahir daripada sejarah kolonial sebelum Perang Dunia Kedua.

Sebelum itu tidak ada Asia Tenggara. Manusia tinggal di banyak tempat di seluruh rantau yang bersambung dengan bahagian lain di benua Asia. Malah Asia dan kebenuaan adalah satu konsep, seperti mana arah kompas, Timur dan Barat.

Pada zaman pra-moden peperangan berlaku untuk merebut wilayah. Di zaman moden ini, peperangan terus juga berlaku. Tetapi kini ada undang-undang antarabangsa dan piagam hak asasi manusia supaya tidak ada lagi penganiayaan dan kesengsaraan. Rohingya adalah rakyat Myanmar. Berikanlah hak kewarganegaraannya.