Profesor pula akan hilang fokus jika mereka terpaksa memikirkan survival universiti lebih daripada hal akademik, apa lagi kalau tiada kenaikan gaji dalam satu jangka masa yang kritikal. Bau bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan daun pisang.

“Saya yakin hal itu tidak akan berlaku. Beri masa sehingga tahun 2020 untuk universiti ini membina tapak yang kukuh,’’ kata Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Dr. Wahid Omar, memulakan perbualan eksklusif dengan Mingguan Malaysia di pejabatnya, baru-baru ini.

Beliau melihat para profesor di universiti tidak pernah berpatah arang, cuma hala tuju penyelidikan perlu ditumpu kepada isu berprofil tinggi dan menjamin pulangan, serta menjalin lebih banyak hubungan dengan rakan perniagaan di industri dan perkongsian ilmu dengan universiti lain. Bagaimana kolek boleh belayar tenang di badai gelora ganas yang tidak bertepi? Cukupkah dengan nakhoda bergantung kepada pengayuh panjang sehasta?

Sedangkan, pengkomersialan hak milik intelektual (IP) belum boleh menjana pendapatan yang mampu menyara kos pentadbiran dan pembangunan yang semakin meningkat, sehingga menelan 30 peratus, atau mungkin lebih duit universiti. Hal ini belum termasuk pemberian yang diiringi dengan pengenaan sedikit cukai tertentu yang perlu dibayar balik. Memang betul. Wahid mengakui, sukar untuk mengkomersialkan IP kalau status sekarang kekal.

Dengan nada kurang senang, katanya, ada yang sinikal dengan kewajaran pulangan ringgit dan sen, walaupun setelah profesor di universitinya memerah tenaga, keringat dan masa untuk menjayakan sesuatu penyelidikan berkepentingan negara. Sungguhpun belum ada penyelidikan universiti yang jack pot, mendapat anugerah projek puluhan atau ratusan juta ringgit, bukan bermaksud penyelidikan mereka bernilai rendah.

Namun, beliau mempersoalkan nilai kerja profesor yang diukur secara kuantitatif tanpa mengira sekali impaknya yang besar kepada masyarakat dan negara.Wahid percaya, adalah lebih adil kalau nilai penyelidikan seseorang profesor dilihat daripada unjuran keuntungan yang dikecapi oleh masyarakat keseluruhannya.

"Saya ada meminta profesor di UTM memikirkan bagaimana kita boleh mengira nilai penyelidikan dari segi kepentingan dan unjuran kesan kepada sekian banyak orang,’’ katanya, yang sudah meninjau mekanisme itu secara global, yang mungkin ada di luar negara.

Sebagai contoh, penyelidikan tentang pembiakan benih kerang di Johor. Elemen keuntungan kepada penternak dan pengusaha seharusnya diambil kira sebagai total nilai penyelidikan berkenaan. Wahid berkata, sasaran membawa negara mencapai tahap pendidikan tinggi berkualiti di peringkat antarabangsa perlu agar selaras dengan Transformasi Negara 2050 (TN50) menjelang 2050.

Cabaran pastilah akan menjadi lebih besar apabila profesor terpaksa mengejar trending semasa seperti tuntutan fasa era Revolusi Industri 4.0 ini. Sebenarnya, tambah beliau, dalam kalangan profesor di UTM, amalan Revolusi Industri 4.0 itu sudah sekian lama berlaku. Permodenan mentaliti sudah lama berlaku di UTM. Kata beliau, pelajar UTM pada setiap masa sepanjang mereka di fakulti dididik dengan fundamental yang cukup untuk mendepani trending seperti Revolusi Industri 4.0 ini.

Menampung

Ujarnya, isu-isu yang mengikuti impak trending seperti era mesin menggantikan manusia, hanya berlaku, apabila kita hanya memikirkan keuntungan sehingga hilang nilai manusiawi.Mengulas lanjut, ujar beliau, dalam mengharungi cabaran yang cukup besar itu, universiti perlu lebih kreatif dan inovatif, dan pada masa yang sama masyarakat perlu menerima hakikat perubahan-perubahan yang akan berlaku selepas ini, seperti kemungkinan penyusunan semula struktur yuran, khususnya yuran asrama.

“Ada pelbagai cara untuk memastikan survival ini,’’ katanya.

Pada masa yang sama, UTM juga memikirkan dasar–dasar kritikal anak bangsa seperti membuka seluas-luasnya peluang pendidikan kepada lepasan teknikal dan vokasional. Pada masa yang sama, kepada masyarakat yang ada kemampuan di luar sana, UTM juga menyediakan program berbayar bagi menampung kewangannya.

Wahid berkata, pihaknya mengenal pasti aktiviti penjanaan pendapatan khususnya melalui penyewaan ruang dan sumber, mempergiat aktiviti bagi tujuan wakaf atau endowmen serta menyebar luas aktiviti perundingan, perkhidmatan, sewaan dan memperkenal kursus bersifat swasta dan pseudo yang mengenakan caj. Penjanaan pendapatan dan perbelanjaan berhemat adalah amanah dan tanggungjawab yang tidak pernah luput dalam mindanya.

“Kami mengoptimumkan penggunaan sumber dalaman selaras dengan keadaan masa kini tanpa perlu kompromi faktor keselesaan serta kebajikan pelajar.’’ Beliau amat prihatin dengan kebajikan pelajar, dan memulakan inisiatif memotong gajinya sendiri untuk tujuan itu. Ramai mengikut jejaknya bagi membela kebajikan pelajar yang memerlukan.

"Ramai pelajar kurang kemampuan yang perlu diberi perhatian dan dibimbing. Bukan sahaja kewangan yang sukar, tetapi tahap pencapaian yang perlu diangkat ke standard tertentu.

“Fundamental pelajar seperti keselesaan dan sara hidup perlu disemak dan dibantu,’’ katanya.

Bukan setakat itu sahaja, semua warga UTM berganding bahu dengan cara tersendiri untuk memulakan inisiatif menampung pemotongan peruntukan beberapa sektor seperti kebersihan dan keceriaan di UTM. Kedudukan di tengah kota metropolitan tidak menghalang pihaknya memanfaatkan aset seperti sedikit baki tanah atau menubuhkan dana wakaf untuk menjana sumber kewangan sendiri.

Beliau turut melontarkan pandangan tentang perlunya autonomi sesebuah IPTA diiringi dengan pengurusan tertinggi yang cekap dalam pemasaran dan melihat peluang, khususnya ketika berhadapan dengan cerdik pandai yang ada persepsi sendiri tentang sesuatu hal. Ujarnya bukan semua perkara kena ikut buku bila berdepan cerdik pandai ini.

Beliau menggambarkan supaya penggantinya mestilah mempunyai latar belakang dalam bidang perniagaan, walau pada masa yang sama berasa bangga kerana fakultinya, iaitu Kejuruteraan Awam telah melahirkan ramai pemimpin universiti , sama ada di UTM atau universiti lain.

“Pelbagai pendekatan telah dilaksanakan bagi mewujudkan persekitaran UTM yang mampu melonjakkan keunggulan ilmu, selaras dengan usaha kerajaan menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan ilmu di peringkat antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, kesungguhan UTM terbukti apabila penarafan yang dibuat oleh QS World University Ranking 2017 dan 2018 baru-baru ini turut meletakkan UTM dalam kedudukan 288 universiti terbaik di dunia dan ke-49 di rantau Asia. Sekali gus menunjukkan bahawa UTM menjadi destinasi pendidikan tinggi berkualiti di rantau ini.

“Alhamdulillahm UTM telah berjaya mengukuhkan kedudukan dan ini semua merupakan kerja keras warga UTM sekali gus menarik lebih ramai pelajar dalam dan luar negara untuk melanjutkan pelajaran ke sini,” katanya.

Tambahnya lagi, kejayaan itu juga atas usaha UTM yang memberi penekanan ke arah memperkasa pendidikan dalam sains, teknologi dan kejuruteraan ke arah merealisasikan Aspirasi UTM Global 2020 iaitu menyasarkan pencapaian di kedudukan ke-50 dunia dalam bidang teknologi dan kejuruteraan.

Wahid menambah, perubahan zaman dan cabaran semasa, UTM turut membangunkan kreativiti teknologi terkini melalui kerjasama dengan Open Learning Australia untuk melaksanakan konsep pembelajaran kelas maya iaitu dengan menawarkan kursus pengajian atas talian secara terbuka atau Massive Open Online Course (Mooc) yang kini mempunyai seramai 5,451 pelajar yang mengikuti program tersebut.

Hal ini termasuk penawaran kursus baharu Mobile-Based Augmented Reality Development yang memberi tumpuan kepada aplikasi mudah ahli.

Dalam pada itu, Wahid berkata, dalam mendepani cabaran pendidikan global yang semakin sengit menjelang 2025 UTM terus melaksanakan dasar enVision 2025.

Dasar itu meletakkan UTM berlandaskan empat teras iaitu Penyelidikan Translasi, Universiti 4.0, Pendidikan Transnasional (TNE) dan Kemampanan Institusi.

“Ia melibatkan asiprasi UTM selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025,” kata Wahid mengakhiri temu bual.