Bagi calon-calon UPSR, pastinya mereka berdebar-debar menanti hari peperiksaan tersebut.

Masing-masing akan cuba menjawab soalan-soalan bagi setiap subjek dengan sebaik mungkin. Semakin dekat dengan tarikh peperiksaan, semakin ‘pulunlah’ mereka yang terlibat dengan peperiksaan tersebut. Bukan hanya calon dan guru, ibu bapa juga terasa bahangnya dengan penangan UPSR. Ada yang sanggup mengambil cuti, ada juga yang memberi tumpuan kepada anak sehingga tidak ambil peduli apa yang berlaku di sekeliling mereka. Apa yang penting, anak yang menjadi calon UPSR mendapat keputusan paling cemerlang.

Penulis masih ingat lagi, ketika mengambil UPSR pada awal tahun 1990-an, penangan seperti ini tidaklah begitu ketara. Malah, tiada langsung majlis penyampaian keputusan UPSR.

Penulis hanya diberitahu untuk melihat keputusan UPSR yang dilekat pada papan pengumuman berhadapan dengan bilik guru pada waktu rehat. Tiada sesi khas untuk mengambil keputusan UPSR yang dihadiri oleh guru dan ibu bapa. Di era penulis, UPSR diambil tanpa mempeduli­kan sebarang sasaran ke­putusan. Hanya semata-mata untuk mengambil peperiksaan umum sebelum melangkah ke alam sekolah menengah.

Namun, alhamdulillah, re­zeki penulis, akhirnya de­ngan keputusan UPSR yang diperoleh penulis, dapatlah memasuki salah satu daripada empat sekolah berasrama penuh (SBP) lelaki ketika itu, iaitu, Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR), Seremban.

Seingat penulis, penulis tidak perlu langsung mengisi borang permohonan untuk memasuki SBP. Surat tawaran ke SBP disampaikan oleh guru sekolah. Maknanya di sini, tapisan dibuat oleh pihak berkenaan tanpa perlu memohon kemasukan ke SBP. Itu era dahulu, tidak sebagaimana era kedua-dua anak penulis yang kini sudah berada di bangku sekolah menengah. Tidak tahulah bagaimana pula situasi­nya buat anak bongsu penulis yang masih kecil lagi. Mungkin lebih hebat lagi pengumuman keputusan peperiksaan awam? Atau mungkin juga situasi era 1990-an kembali semula.

Namun, begitulah keadaan sekarang. Masing-masing cuba membuat yang terbaik agar dapat memasuki sekolah yang terbaik. Tekanan demi tekanan yang dirasai berlaku kerana kehendak semasa. Tekanan ini boleh ditangani jika calon bersedia dari awal lagi. Misalnya, bermula daripada darjah lima sudah bersedia untuk menghadapi UPSR semasa darjah enam.

Jadi, di saat-saat menjelang UPSR mahupun PT3 yang akan diadakan pada awal Oktober ini, tekanan perlu ditangani sebaik mungkin. Bagi ruang kepada bakal calon agar berasa tenang, selesa dan yakin untuk menjawab soalan UPSR mahupun PT3. Tidak perlu bimbang jika sudah bersedia dari awal lagi. Banyakkan berdoa kepada Yang Maha Esa, Allah SWT, seterusnya bertawakal akan apa jua keputusan yang akan diperoleh.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Profesor Madya Pusat Pengajian Perakaunan, Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).