Beberapa siri hujan lebat yang menyeluruh dijangka bakal melanda negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia dan Barat Sarawak. Sepanjang tempoh bulan ini adalah dijangkakan kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia menerima jumlah hujan pada paras purata.

Bagaimanakah cara kita sebagai rakyat marhaen untuk berbelanja sepanjang musim tengkujuh ini? Jangan pula lupa, pada waktu itu juga anak-anak sudah mula bercuti jadi keberadaan mereka di rumah menggalakkan mereka untuk makan lebih banyak berbanding hari persekolahan. Sudah pasti stok barangan makanan juga perlu ditambah. Malah, kita juga perlu memastikan keperluan anak-anak untuk ke sekolah pada tahun depan akan dapat dibeli dan disediakan bermula bulan ini.

Sebagai ibu bapa dan pengguna, sudah pasti kita perlu ­lebih bijak berbelanja untuk mengelakkan daripada membeli barang dengan harga yang mahal. Kita juga perlulah mengelak daripada ditipu dek peniaga yang tamak.

Sebagai pengguna, anda perlulah bijak merancang ­keperluan dengan membuat senarai barangan yang diperlukan sesuai dengan bajet yang diperuntukkan. Senarai bara­ngan ini penting bagi memudahkan urusan pembelian ketika ber­belanja. Selain menjimatkan masa, ia juga boleh menge­lakkan daripada membeli barangan yang tidak diperlukan.

Anda juga perlulah membuat perbandingan harga sebelum membeli barangan bagi mengelakkan daripada menjadi mang­sa kepada peniaga yang menaikkan harga barangan, pengguna boleh berjimat dengan membeli barangan ketika jualan murah atau jualan gudang yang diadakan di pusat beli-belah.

Sebaiknya, elakkan membuat sebarang pembelian secara spontan. Sebahagian besar daripada pembelian yang dibuat didorong oleh naluri. Walaupun terdapat barangan yang nampak menarik di mata anda, fikirkan sama ada anda benar-benar memerlukannya sebelum membuat keputusan untuk membeli barangan tersebut.

Pastikan anda membeli barangan berkualiti setimpal de­ngan harga yang ditawarkan. Anda boleh membuat perban­dingan harga serta kualiti barangan terlebih dahulu sebelum membeli. Contohnya, bagi pakaian anak-anak yang bakal naik sekolah pada tahun hadapan, anda bolehlah membeli saiz yang lebih besar sedikit kerana faktor tumbesaran mereka yang cepat meningkat. Pastikan pakaian mereka juga berkualiti dan tidak mudah koyak atau lusuh agar ia boleh dipakai dalam tempoh yang lebih lama.

Pada setiap hujung tahun, promosi iklan giat dijalankan. Ketika ini pelbagai barangan dengan harga menarik ditawarkan kepada pengguna. Bagaimanapun, usahlah mudah terpengaruh dengan tawaran murah. Anda harus mempertimbangkan kepentingan barangan tersebut. Jika tidak penting, tidak perlulah membelinya.

Di pihak penguat kuasa pula, pihak berwajib diharapkan dapat mengadakan pemantauan secara berterusan terhadap barangan kawalan dan menasihati peniaga dan pembekal agar tidak mengambil kesempatan. Ini bagi memastikan tindakan dapat diambil sekiranya ada pihak yang melanggar peraturan kawalan harga yang ditetapkan.

Musim tengkujuh dan penghujung tahun datang dan pergi. Pun begitu, jangan pula kita berbelanja seolah-olah tiada hari esok lagi. Jadilah seperti yang disebut dalam peribahasa, beringat sebelum kena dan berjimat sebelum habis.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.