Kalau tidak silap ini kali kedua, penulis menerima surat yang mengandungi ucapan sedemikian. Kali pertama kira-kira lima tahun lalu. Kad ini adalah petanda awal pilihan raya sudah hampir benar. Memang hampir benar. Dewan Rakyat dan Dewan Negara sudah berada di penghujung persidangan dan dijangka berakhir pada 5 April ini. Dua akta penting sudah diluluskan.

Parlimen bakal dibubarkan bila-bila masa sahaja dari sekarang. Kalau bukan kerana pilihan raya, agak-agak pemimpin politik berkenaan mahukah bersusah payah ‘bertanya khabar’ sedemikian rupa!

Selain surat, penulis masih ingat turut menerima teks khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada sebuah parti politik lain yang turut menyertakan butiran mengundi yang sama. Rasanya bukan penulis seorang sahaja yang pernah mengalami pengalaman seperti ini. Ada beribu-ribu lagi pengundi yang tinggal di negeri lain turut menerima surat jemputan yang sama.

Ini adalah senario biasa yang berlaku setiap kali pilihan raya. Walaupun tarikh pembubaran Parlimen pun tidak diketahui bila, parti-parti politik bertanding tidak duduk diam. Masing-masing sudah lama menekan pedal minyak, malah sudah memasuki gear lima pun. Jentera pilihan raya diperhebatkan. Oleh kerana setiap kertas undi itu penting, kerja-kerja mengesan pengundi di luar daerah dilipatgandakan bak kata perumpamaan sehingga masuk ke lubang cacing.

Kalau melihat kepada teknologi maklumat dan komunikasi yang serba canggih pada hari ini, tugas tersebut tidaklah kelihatan sukar. Mereka boleh berhubung, merayu dan memujuk setiap pengundi menggunakan pelbagai platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan WhatsApp.

Mesej berlegar dan tular dalam waktu yang begitu pantas sehingga tiba kepada sasarannya. Percayalah peti mesej akaun media sosial pengundi seperti Facebook, Instagram dan Twitter pasti menjadi sasaran selepas ini.

Selain jentera parti, orang yang paling sibuk tetapi tidak senang duduk sekarang ialah mereka yang memasang impian menjadi calon.

Kalau penyandang pun ‘resah gelisah’ dengan kedudukan mereka yang belum tentu terjamin, yang lain apatah lagi. Penyandang mesti sentiasa dilihat kuat bekerja dan berkhidmat untuk pengundi di kawasan masing-masing. Bukan apa, di sekeliling mereka terlalu ramai yang sedang melobi dan menunggu peluang. Silap langkah, orang lain yang dapat. Ada yang sudah berbuat demikian sejak lima tahun lalu. Banyak tenaga dan wang ringgit sudah dikeluarkan. Usaha ini perlu diteruskan sehingga nama-nama mereka terpilih.

Maka pemandangan ahli-ahli politik turun padang, bermesra dengan penduduk dan kadang kala melakukan aktiviti-aktiviti ‘aneh’ yang tidak pernah sekalipun dalam seumur hidup dilakukan, bukan lagi sesuatu yang luar biasa. Mereka yang sebelum ini batang hidung pun sukar dilihat, tiba-tiba muncul dan berkampung di kawasan idaman masing-masing. Bukan itu sahaja, ada dalam kalangan mereka dengan pantas menukar diri dan ‘larut’ ke dalam kehidupan rakyat marhaen.

Ahli-ahli politik sebegini sanggup ‘memakai baju’ rakyat biasa walaupun baju yang disarungnya itu belum tentu ‘padan’ dan ‘selesa.’ Maka ada dalam kalangan mereka sanggup masuk belukar atau hutan mencari kayu api, menoreh getah, memotong balak atau turun ke laut menjadi nelayan.

Bagaimanapun tidak semua impian menjadi kenyataan. Ada yang berjaya disenarai pendek, dipilih, dipilih semula dan tidak tersenarai langsung. Yang sudah disenarai pendek belum tentu terpilih manakala yang sudah lama menyandangpun belum tentu kekal dan selamat.

Kadang kala akan muncul calon-calon bidang terjun yang bersifat calon boleh menang pada saat akhir. Kepada yang harapan mereka tiba-tiba seperti terhumban ke dalam parit akibat tidak terpilih, jangan kecewa, masih banyak lagi cara untuk menyumbang dan berbakti kepada rakyat.

Ahli politik sejati tidak menjadikan pangkat dan kedudukan sebagai matlamat utama perjuangan. Mereka ikhlas berjuang. Bagaimanapun tidak ramai yang termasuk dalam kumpulan ini.

Yang banyak dan ketara sekarang ini ahli-ahli politik plastik yang melihat ‘bertanding’ sebagai matlamat utama. Sebahagian mahu sangat menjadi calon kerana percaya ada ‘laba’ besar menanti di hadapan. Walaupun tanggapan itu masih belum terbukti betul. Soal berbakti kepada perjuangan perkara kedua atau ketiga.

Kepada mereka yang layak mengundi, laksanakan tanggungjawab anda dengan sebaik mungkin demi masa depan negara, anak, cucu, cicit bangsa kita. Jangan terpedaya dengan kempen merosakkan undi atau #undirosak. Kempen tersebut tidak bermanfaat sedikitpun.

Masa depan negara berada pada tangan anda. Kepada pemimpin politik yang mengutus surat bertanya khabar dan mengingatkan agar balik mengundi pada pilihan raya umum nanti, penulis ucapkan berbanyak terima kasih. Tetapi maaf penulis tidak akan balik mengundi pada pilihan raya kali ini kerana penulis mengundi secara pos!