Eloklah tu, Mesut Ozil, Lionel Messi dan selepas itu Cristiano Ronaldo dari pasukan Portugal awal-awal lagi sudah ‘bungkus’. Akak cun memang faham sangat kesedihan abang hensem ketika ini. Sungguh bersimpati. Harap bertabahlah. Orang lelaki kenalah kuat. Mana boleh ‘hati tisu’.

Tetapi akak cun bukan hendak cerita pasal demam Piala Dunia ini. Akak cun sokong Jerman sebenarnya. Sebab itu malas hendak ulas lebih-lebih. Sekarang ini, biarlah mana-mana pasukan hendak balik kampung, akak cun sudah tak peduli lagi. Akak cun tunggu musim baharu Liga Perdana Inggeris sajalah bulan depan.

Kali ini akak cun hendak cerita pasal lelaki yang berjiwa sensitif pula. Maknanya, kita kena bercakap sangat berhati-hati dengan lelaki sebegini. Kalau tidak dia akan cepat ‘sentap’. Selepas itu, dia mulalah berdiam diri, buat tak layan, tengok TV atau asyik membelek telefon bila kita bercakap dengannya. Bila ditanya kenapa ini? Dia akan jawab: “Tak ada apa-apalah.” Tapi dengan muka masam atau nada marah. Itu tak ada apa-apakah?

Kebiasaannya, tidak dapat dinafikan, orang perem­puanlah cepat terasa dan suka merajuk. Tetapi kalau lelaki yang kuat merajuk, memang nampak lain macam sikitlah. Kalau kita tanya orang lelaki, kenapa suka merajuk? Dah macam orang perempuan pula, jawapan lazim, lelaki pun manusia juga.

Akak cun memang susahlah hendak pujuk orang kuat merajuk. Sebabnya, rasa rimas hendak layan hal-hal ma­cam ini. Memang akak cun tak boleh hendak handle orang merajuk. Main jauh-jauhlah ketika itu. Tunggu sudah habis merajuk baru akak cun tegur semula.

Macam mana hendak mengenali lelaki yang berjiwa sentimental ini? Jangan tanya akak cun, akak cun pun tak tahu. Sebab kawan-kawan lelaki di sekeliling akak cun kebanyakannya berjiwa kental dan kebal. Bergurau kasar, mana tahu cakap perlahan, semuanya kalau bercakap macam hendak gaduh saja. Tak pernah pula akak cun te­ngok mereka merajuk atau ambil hati. Tetapi tak tahulah kalau sudah sampai di rumah, dia orang ini menangis pula.

Yang pastinya, orang lelaki yang suka merajuk tidak boleh dikenalpasti dengan paras rupa. Ada saja lelaki yang muka garang, nampak ganas tetapi mudah terasa. Nampak macam tak kena, perawakan dengan jiwa. Tetapi itulah, perangai manusia. Yang muka baik jangan terus dikata baik, yang muka ala samseng jangan terus diingat penyamun pula.

Akak cun dah jumpa ramai lelaki muka garang ini. Masa dia bergurau memang tak ingat dunia. Kalau mengutuk akak cun memang dia nombor satu, tetapi bila akak cun kutuk dia sikit, tiba-tiba saja dia diam dan perlahan-lahan menjauhkan diri dan seterusnya hilang dari radar.

Beberapa hari selepas itu, apabila akak cun hendak mesej dia, saja-sajalah hendak ‘membawang’, sebab te­ngok dia diam saja tak hubungi akak cun macam selalu, tahu-tahu nombor akak cun sudah kena ‘blocked’. Terkebil-kebil akak cun. Sudah kenapa ni, badan besar tapi hati kecil!

Ada pula orang lelaki, yang lemah lembut dan muka baik, kita pun sampai rasa kasihan pula hendak bergurau lebih-lebih dengannya takut dia tidak tahan, tetapi apabila bergurau, dia pula yang melampau-lampau, bukan main kasar lagi. Yang ini pula, jenis yang susah hendak ambil hati.

Kata seorang rakan lelaki akak cun, kebanyakan orang lelaki tidak akan menunjukkan hati tisunya di hadapan orang tetapi apabila duduk bersendirian dan terkenangkan hal-hal yang menyedihkan pasti dia akan menitiskan air mata terutama hal yang melibatkan keluarga dan orang yang disayangi.

Kalau menonton TV atau wayang pun macam itu juga, apabila ada cerita-cerita sedih, diam-diam saja lelaki yang hati tisu dan sensitif ini, menyeka air mata. Kalau ditegur - Awak menangiskah? Dia akan marah pula - Mana ada?

Yang ini memang akak cun selalu perasan, bila tengah menonton wayang, ada adegan sedih, dinosaur mati contohnya dalam filem Jurassic World, tahu-tahu ada saja orang sebelah (lelaki) yang mengesat mata dan hidung. Yang perempuan, pula steady. Laju saja makan pop corn.

Tetapi dalam pada itu, kata rakan akak cun itu, ada juga lelaki yang berpura-pura hati tisu. Menangis depan orang perempuan takut ditinggalkan atau teman wanitanya ada orang lain, padahal di belakang bukan main suka. Cepat sahaja cari pengganti. Lakonan memang mantap. Spesies lelaki macam inilah yang akak cun suka tarik telinga.

Kesimpulannya, bagi akak cun, walaupun orang lelaki itu nampak kuat, kasar atau cool, hakikatnya mereka ini ramai yang berjiwa sensitif dan sebenarnya suka hendak bermanja. Tak apalah, jangan mengada-ngada sudahlah. Nampak tak kena, orang lelaki kuat mengada-ngada. Nasib baik abang hensem tak macam itu.