RM400,000 hingga RM700,000, malah melebihi RM1 juta adalah harga biasa di kebanyakan projek perumahan baharu yang sedang dibangunkan pi­hak pe­maju.

Melihat harga sedemikian sudah pasti kediaman tersebut hanya boleh dibeli segelintir individu berpoket tebal. Mereka yang kurang berduit hanya pasrah menjeling rumah tersergam indah kerana hendak membeli jauh dari kemampuan.

Menyedari kenaikan harga rumah yang menjadi rungutan, kerajaan Negeri Sembilan mengambil langkah proaktif dalam mengatasi masalah pemilikan rumah dalam kalangan rakyat negeri ini.

Selepas mengambil kira pelbagai faktor, Dasar Perumahan Negeri Sembilan telah mensyaratkan pemaju membina se­banyak 50 peratus daripada pembangunan perumahan de­ngan rumah teres mampu milik berbanding 30 peratus sebelum ini, bermula Januari tahun lalu.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 15 peratus daripa­da rumah kategori A itu mesti dijual tidak melebihi harga RM80,000. Sebanyak 15 peratus lagi tidak melebihi RM250,000 dan 20 peratus pada kadar harga RM400,000.

Langkah itu ternyata tepat dan bukan sekadar retorik.

Tanpa dasar yang diperkenalkan itu sudah tentu projek kediaman mewah lebih diutamakan oleh pemaju yang mahu untung besar tanpa memikirkan pembeli yang kurang mampu.

Lebih penting, harga sebuah rumah teres di bawah RM80,000 yang ditetapkan memang benar-benar mampu milik dan bukan mampu te­ngok seperti di tempat lain.

Dalam hal ini, kerajaan pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan ternyata melihat jauh ke hadapan dalam isu perumahan.

Tidak hairanlah jumlah yang mendaftar untuk mendapatkan rumah mampu milik di negeri ini semakin bertambah dari semasa ke semasa. Dasar tersebut bukan sahaja menggembirakan pembeli, malah pihak pemaju turut menerimanya dengan tangan terbuka.

Ini terbukti apabila sebuah syarikat pemaju perumahan, OSK Property Holdings Berhad melancarkan projek perumahan di Mambau baru-baru ini akan membina 831 unit rumah mampu milik berharga RM80,000 ke bawah dalam fasa kedua projek itu.

Tidak siapa boleh menafikan, dasar yang dilaksanakan kerajaan negeri telahpun membuahkan hasilnya. Mereka yang sebelum ini mungkin sudah mengalah untuk membeli rumah kini melihat peluang itu terbuka semula.