Namun begitu, yang lebih penting, baik kepada yang menang mahupun kepada yang kalah, bermuhasabah diri. Kemenangan bukan bermakna kita hebat dan kekalahan bukan menunjukkan kita lemah.

Begitulah resam dunia, adat pertandingan mesti ada yang kalah dan ada yang menang. Pilihan raya adalah satu kemuafakatan dan bermesyuarah untuk mendapat apa-apa yang kita inginkan dan fokuskan, berdasarkan sokongan suara ramai (rakyat). Allah Yang Maha Besar sudah takdirkan begitulah keadaannya, dan Dialah yang menggenggam hati setiap insan untuk bertindak mendapat apa yang kita mahukan dan yang kita peroleh hari ini.

Ingatlah semuanya yang terjadi dengan perancangan Allah SWT, pemilik kekuasaan seluruh Alam ini, bukan dengan kehebatan dan usaha kita mendapat apa-apa yang kita hajatkan. Bagi orang Mukmin percayalah kepada qadak dan qadar, bahawa Dialah yang berkuasa pada sekalian alam ini. Dia (Allah SWT) berkuasa memberikan kekuasaan kepada sesiapa yang Dia suka, dan Dia merampas kekuasaan itu daripada sesiapa sahaja yang Dia suka.

Dia (Allah SWT) berkuasa memuliakan dan menghina sesiapa yang Dia mahu. Kepada yang telah berjaya bermuhasabah diri, ingat besarnya tanggungjawab untuk mengotakan segala yang dijanjikan. Betapa besarnya tugas untuk membetulkan keadaan, agar “sembuh” seperti sedia kala. Gunakanlah kebijaksanaan, “Jika tidak dapat dibaiki, jangan pula dipecahkan”. Tertegaknya dunia ini sebab empat perkara. Pertama, keadilan pemimpin, kedua, kedermawaan memenangi hati rakyat yang kaya. Ketiga, keilmuan ulama. Keempat doa orang miskin. Semuanya yang berlaku ada hikmahnya dan kita mengharapkan kerajaan yang baharu dapat membuat perubahan yang positif – boleh melihat kebenaran dan kebatilan serta keadilan.

Bagi yang kalah pula renung dan nilai kembali diri. Kalau selama ini kita selamat, tetapi kali ini kita tidak dapat mengelak daripada tertewas, bagai kata peribahasa Cina, “Mujur sepanjang hari, malang sekelip mata”. Niatkan pilihan raya ini sebagai alat untuk kita memilih kehidupan yang lebih baik – hendak menjaga akidah, sempurnakan ibadah dan lembutkan akhlak kita dan akhirnya bertaubat.

Seterusnya berubah kepada satu fasa kehidupan yang berbeza, cara hidup yang berbeza, cara berfikir yang berbeza fokus yang berbeza. Selepas pilihan raya lakukan pembersih jiwa dan “Reset minda”. Yang penting apa kita hendak buat selepas apa yang telah berlaku.

Begitu juga rakyat, muhasabah diri – kalau kita hendak pemimpin kita baik, kita dan keluarga juga perlu baik. Ibarat telur burung yang belum menetas, dierami ibunya dengan kasih sayang, dengan harapan akan menyambung kehidupannya.

Ibu burung itu akan menyediakan sarang yang selesa dan selamat daripada ancaman musuh, dan melindungi anak-anak yang menetas dari telurnya, hinggalah anaknya itu boleh terbang berdikari mencari rezeki. Begitu jualah kita manusia, sebagai ibu atau bapa kita optimistik kepada anak cucu kita yang penuh harapan ingin hidup dengan baik dan bahagia di dunia ini.

Kita juga bertanggungjawab untuk masa hadapan anak cucu kita. “Jika pandai menggunting, hendaklah juga pandai menjahitnya.” Jangan salahkan sesiapa jika apa-apa yang berlaku tidak seperti yang kita harapkan, sebalik jom kita refleksi diri adakah kita sedang memperbaiki diri sendiri dan keluarga sebelum kita cuba perbaiki diri orang lain. Jika setiap orang sibuk memperbaiki diri dan melakukan terbaik, insya-Allah negara kita akan bertambah baik.

Ideologi, agama dan budaya yang berbeza dalam kerajaan baharu, bukan menjadi masalah besar jika setiap daripada kita menjaga emosi kita. Apakah emosi yang boleh meneruskan emosi kehidupan kita?

Kasih sayang! Kalau kita tidak ada kasih sayang apakah yang akan terjadi? Setiap orang ada agama dan kepercayaan masing-masing. Maka jagalah agama kita, kepercayaan dan amalan serta akhlak kita, akan terbentuklah insan yang positif daripada segi sifat luaran dan dalamannya yang hati/jiwa/roh penuh dengan emosi kasih sayang.

Keupayaan

Akhirnya untuk renungan semua pihak, didik hati kita menerima takdir, dan bijak mentadbir takdir. Yang penting pertama, bukan apa yang berlaku ke atas kita, tetapi respons kita terhadap takdir yang berlaku. Kedua, makna yang kita beri atas takdir hidup kita. Yang berlaku di sekeliling kita atau ke atas kita tidak boleh kita kawal. Tetapi, yang kita boleh kawal yang ada dalam diri kita. Empat prinsip kehidupan positif yang kita perlu bina bagi menghadapi suasana selepas pilihan raya, yang luar biasa ini.

Pertama, berani menerima kemenangan dan kelebihan orang lain. Kedua, bijaksana menangani kekurangan dan kelemahan orang lain. Ketiga, belajar melupakan kebaikan dan jasa kita, supaya jangan kita berasa kita sudah berjasa dan mengharapkan orang lain mengenang jasa dan kebaikan kita. Hal ini amat penting bagi menghilangkan sikap bongkak dan berasa diri kita penting. Keempat, belajar memaafkan dan melupakan kesalahan orang kepada kita.

Jika melakukan hal tersebut, kita sebenarnya sedang membersihkan jiwa/roh//hati kita. Sebab jika kita ada rasa dendam, marah, dengki, geram dan menyampah dari segi saintifik, kita sedang merembeskan hormon negatif yang akan merosak jantung dan merosak sistem imunisasi dan kesihatan, serta melemahkan tenaga kita.

Supaya kita dapat menenangkan suasana yang baru berlaku ini jangan hilangkan kasih sayang, rasa hormat dan menjaga hati orang, jangan sampai mengaibkan orang. Ingatlah, tidak ada benda yang kita tidak suka yang orang suka. Dan tidak benda yang kita suka yang orang tidak suka.

Cubalah memahami perasaan orang lain dan merasa apa yang orang rasa, (berjalan dengan kasut orang itu) baru kita tahu. Ingatlah kualiti kehidupan kita ditentukan oleh kualiti emosi kita, kualiti emosi bergantung pada kualiti hati.

Kalau hati baik, fikiran kita juga baik. Kalau kita marah sangat pun kepada seseorang, ingatlah semula kebaikan orang tersebut. Tidak mungkin tiada langsung jasa dan kebaikannya kepada kita. Betulkan semula bahtera kita dengan nakhoda yang berbeza tetapi tujuannya sama. Yakinlah bahawa ada kuasa lain, (qadak dan kadar) yang mengadili diri kita sebagai pemimpin.

Tidak ada kejahatan dan kebaikan yang akan berbalik kepada kita semula – kalau tidak kita yang mendapat balasannya, mungkin anak cucu kita. Pemimpin perlu jujur dan bermanfaat, bukan mendapat manfaat untuk kepentingannya. Pemimpin dan orang bawahan boleh lakukan dua perkara.

Pertama, keupayaaan memberikan motivasi kepada orang yag dipimpin (berupaya memberikan semangat kepada orang lain dan dirinya sebagai contoh). Bukan memanipulasi, memaksa dan menunjuk kuasa. Kedua, mesti jelas ke mana arah hendak dibawa orang yang kita pimpin.

Akhlak yang baik dan tinggi nilai integritinya. Pemimpin berbuat banyak kebaikan tetapi tidak menunjuk dan mendakwa itu usahanya. Berkhidmat kepada masyarakat, dengan ikhlas. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

- PENULIS adalah Pengarah Pusat Mata dan Lasik Prof. Muhaya.