Polis tidak memberikan permit kerana penduduk membantah disebabkan sebuah treler yang  diubahsuai menjadi pentas ceramah, mengganggu lalu lintas.

Akibatnya treler dialihkan dan tidak boleh digunakan maka pemimpin Pakatan Harapan termasuk Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad terpaksalah berceramah di atas kereta pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux milik Pakatan Harapan.

Berceramah di kawasan perumahan seperti di Bukit Jana semalam bukanlah tempat yang sesuai malah kenderaan 4WD yang menjadi pentas ceramah semalam betul-betul diletakkan di hadapan rumah penduduk.

Sudahlah begitu, pembesar suara yang digunakan terlalu bingit  sehingga menimbulkan gangguan kepada penduduk berdekatan.

Maka tidak hairanlah penduduk membantah namun beginilah sikap pembangkang yang tidak mengendahkan rungutkan penduduk sebaliknya meneruskan ceramah.

Dalam pada itu, kehadiran kepimpin pembangkang semalam menggamit memori Kem Tahanan Kamunting yang terletak di bandar Kamunting.

Kem ini menempatkan semua tahanan yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau lebih tepat tahanan politik.

Beberapa penceramah semalam antara yang ditahan di Kem Kamunting semasa Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Antaranya Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden PAN, Mohamad Sabu dan aktivis sosial Hishamuddin Rais
malah Datuk Seri Anwar Ibrahim juga pernah ditahan di Kem Kamunting.

Apa yang peliknya, jika sebelum bekerjasama dengan Mahathir, pemimpin pembangkang sering menyebut  betapa kejamkan penahanan mereka di bawah ISA di Kem Kamunting namun nada berbeza dilontar semalam.

Pengalaman mereka ditahan di Kem Kamunting hanya disebut sepintas lalu,  mungkin kerana mahu menjaga hati Mahathir.

Malah Hishamuddin umpamanya tidak lagi membidas kisahnya ditahan di Kamunting sebaliknya berjenaka bahawa Kamunting adalah kampungnya juga.

Apakah mereka semudah itu melupakan penahanan di Kem Kamunting yang sebahagian besarnya sewaktu Mahathir menjadi Perdana Menteri?

Ini jelas merupakan satu lagi lakonan mereka sedangkan selama ini penahanan di Kem Kamunting dijaja sebagai perbuatan kejam kerajaan di bawah Mahathir.

Malah Wan Azizah yang sekian lama menjaja kisah deritanya kerana suaminya Anwar pernah ditahan termasuk di Kem Kamunting menyalahkan  kononnya ISA boleh disalahgunakan.

Soalnya siapakan yang menyalahkan gunakan ISA ketika itu?

Lebih pelik, Mahathir dalam ucapannya tidak menyebut mengenai Kem Kamunting.

Mungkin Mahathir mahu melupakan perbuatannya menjadikan ISA antara senjata untuk menghapuskan musuh-musuh politiknya. - UTUSAN ONLINE