Aplikasi YouTube sebagai contoh menghidangkan macam-macam ilmu yang baik dan tidak baik terutama yang boleh menjana pendapatan mudah. Ramai orang menjadikan saluran perkongsian video percuma ini sebagai ‘guru’ dalam beberapa bidang.

Ada orang mengasah bakat nyanyian, memasak, perniagaan dan keusahawanan menggunakan platform ini, sementelahan lagi saluran ini tidak kedekut berkongsi ilmu.

Tidak keterlaluan kalau dikatakan ramai yang berjaya meningkatkan kemahiran dalam bidang-bidang tertentu menggunakan khidmat ‘guru YouTube.’ Mereka yang sudah berjaya dan mencipta nama ini tanpa segan silu mengakui belajar daripada saluran perkongsian video percuma berkenaan.

Baru-baru ini heboh satu negara apabila seorang wanita lulusan kolej vokasional di Melaka ditangkap dan didakwa kerana menawarkan perkhidmatan pergigian tanpa lesen. Dia dihukum penjara enam bulan dan denda RM70,000.

Dia didapati bersalah kerana menawarkan perkhidmatan memasang pendakap gigi tanpa lesen.

Wanita tersebut bagaimanapun hanya sempat meringkuk dalam penjara selama enam hari sahaja. Sebuah kelab motosikal berkuasa besar dan beberapa persatuan melancarkan kutipan derma kilat bagi membebaskan wanita yang digelar netizen sebagai ‘doktor gigi palsu.’ Ketika dibebaskan dia dan keluarga sempat memberi ucapan sepatah dua kata, sesuatu yang amat jarang dilakukan oleh pesalah-pesalah lain yang seboleh-bolehnya menggunakan apa sahaja untuk menutup muka agar tidak dikenali.

Kes sedemikian bukanlah kali pertama berlaku di Malaysia. Sekurang-kurang lima individu telah didakwa di mahkamah sejak dua tahun lalu kerana kes yang sama, menawarkan khidmat memasang pendakap gigi secara haram ini.

Mereka yang ditahan dan didakwa adalah orang biasa-biasa sahaja yang langsung tidak ada latar belakang pendidikan profesional dalam bidang pergigian. Mereka mengakui mempelajari bagaimana menjadi ‘doktor gigi’ menerusi YouTube. Peralatan dan barang-barang keperluan untuk perkhidmatan tersebut dibeli menerusi internet atau farmasi.

Kalau pelajar jurusan pergigian perlu menghabiskan masa bertahun-tahun untuk memperoleh kelulusan profesional bagi melayakkan mereka bergelar doktor gigi, ‘doktor gigi palsu’ ini hanya berguru beberapa hari menggunakan YouTube. Yang menariknya perkhidmatan ini mendapat sambutan!

Perniagaan ini menawarkan pulangan yang lumayan barangkali. Harga yang dikenakan sangat murah. Kalau klinik atau hospital swasta mengenakan caj beberapa ribu ringgit, ‘doktor gigi segera’ ini pula mengenakan caj semurah RM300 sahaja.

Doktor palsu ini tidak mempunyai klinik tetap. Mereka adalah ‘doktor bergerak’ dan boleh beroperasi di mana sahaja, di rumah pelanggan, inap desa, hotel waima di pasar malam ataupun pasar Ramadan sekali pun mereka sanggup.

Perkhidmatan ditawarkan secara terbuka tanpa sembunyi-sembunyi. Sesetengahnya disaksikan oleh orang ramai. Maka pada harga sedemikian ramailah yang datang mendapatkan perkhidmatan ini terutama yang telah lama mengidam memakai pendakap gigi yang kononnya menjadikan senyuman lebih ‘cool’ walaupun hakikatnya tidak!

Walaupun beberapa individu yang menjalankan perniagaan sedemikian sudah ditahan, didakwa dan didapati bersalah oleh mahkamah, perkhidmatan doktor gigi palsu ini masih berleluasa. Cuba layari internet atau jenguk laman Facebook, Twitter mahupun Instagram,ada sahaja perkhidmatan menggunakan pelbagai jenis nama. Paling mudah google sahaja fake braces maka keluarkan senarai doktor gigi palsu ini.

Pihak berkuasa khususnya Kementerian Kesihatan perlu memperhebatkan operasi membanteras doktor-doktor gigi palsu ini terutama yang menawarkan perkhidmatan pendakap gigi. Kesan buruk ke atas kesihatan pelanggan sangat besar, sama seperti kesan buruk penggunaan bahan larangan dalam sesetengah ubat-ubatan atau produk kecantikan pada masa ini.

Orang ramai dan masyarakat pula tidak seharusnya menyokong dan bersimpati dengan perbuatan ini. Perkhidmatan yang membahayakan kesihatan dan nyawa orang ramai perlu dihapuskan. Tidak timbul isu ‘menganiaya orang kecil yang mencari sesuap rezeki.’ Masih ada banyak lagi lubang rezeki halal yang boleh diterokai. Yang salah tetap salah!

Seperti kata netizen, hari ini doktor gigi palsu. Esok lusa tidak mustahil muncul pakar bedah otak segera pula.