Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

KEADAAN semakin tegang. Situasi menjadi bertambah genting. Kedua-dua belah pihak nekad tidak mahu berganjak dari pendirian masing-masing. Darah pah­lawan yang mengalir mengharamkan mereka berundur. Bila pertimbangan semakin pudar, kesemuanya lebih rela agar bumi menyambut titisan darah daripada berundur.

Kecuali seorang lelaki yang sederhana tinggi tubuh badannya. Wajahnya tenang dan berseri-seri. Jelaslah beliau ialah ketua salah sebuah kumpulan pahlawan itu. Ketegangan suasana yang kian meruncing dipecahkan oleh suara lelaki itu.

“Tulislah...,” katanya dengan tenang. “Tulislah Bismillahirrahmanirrahim ”.

Riak wajah ketua pihak yang berdepan dengan lelaki itu menjadi lebih berkerut, jelas mencerminkan ketidakpuasan hatinya. “Kami tidak tahu apa itu ‘Ar-Rahman’,” katanya dengan tegas. “Tulislah Bismillahumma.”

Keadaan serta merta menjadi kecoh. Cadangan ini tidak masuk akal sama sekali. Tidakkah kaum musyrik ini sedar bahawa mereka sedang berdepan dengan seorang Rasul yang diutuskan oleh Allah, Tuhan sekalian alam? Darah musyrikin ini akan mengalir membasahi bumi Allah ini seketika nanti, sumpah para Muslimin.

Mendengarkan cadangan yang tidak masuk akal ini, kaum Muslimin bangkit dengan suara serta nada yang tinggi. “Demi Allah, kami tidak mahu menulis kecuali Bismillahirrahmanirrahim”.

Sekiranya ketegangan ini tidak dibendung serta merta, pertumpahan darah pasti berlaku. Suatu kompromi harus dicadangkan segera untuk mengelakkan keadaan menjadi buruk.

Sekali lagi, dengan tenang, lelaki bertubuh sederhana tinggi itu berkata: “Tulislah Bismikallahumma, ini adalah perjanjian yang dibuat oleh Muhammad Rasul Allah”.

Namun, cadangan ini juga ditolak oleh puak musyrik. ­Ketua perunding kaum musyrik yang bernama Suhail berkata: “Seandainya kami mengakui bahawa engkau adalah Rasul Allah, nescaya kami tidak menahanmu untuk datang ke Baitullah dan memerangi kami. Tetapi tulislah Muhammad bin Abdullah”.

Sekali lagi kaum Muslimin tidak berpuas hati dengan cadangan Suhail itu. Kenapakah kita harus menuruti kehendak kaum musyrik ini, sedangkan kita boleh dengan mudah mengalahkan mereka sekarang ini dalam peperangan?

Tetapi sekali lagi Rasulullah mengalah. Baginda ber­sabda: “Demi Allah, aku adalah Rasul Allah seandai­nya kalian mendustakan aku. Tulislah Muhammad bin Abdullah.”

Kita tinggalkan hikayat rentetan perjanjian Hudaibiyah ini untuk seketika.

Bulan lalu, negara dikejutkan dengan peristiwa pembunuhan seorang warganegara Korea Utara, Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2). Kejutan ini bermula dari titik peristiwa bagaimana beliau dibunuh, hinggalah cubaan untuk memecah masuk rumah mayat di mana mayatnya sedang dibedah siasat.

Setelah dibedah siasat, pihak koroner berpendapat Jong-nam dibunuh dengan racun agen VX, sejenis racun saraf yang amat berbahaya di dunia. Agen VX ini diklasifikasikan sebagai sejenis weapon of mass destruction yang mana pengeluaran dan penyimpanannya lebih dari 100 gram setahun diharamkan oleh hampir seluruh negara di dunia ini selaras dengan perjanjian Chemical Weapons Convention 1993. Hanya tiga negara sahaja (termasuklah Korea Utara) yang ingkar untuk menandatangani perjanjian ini.

Pada masa sama, pihak polis pula ingin menemuramah beberapa individu Korea Utara yang pada pendapat mereka boleh membantu dalam siasatan kes pembunuhan itu. Hampir semua pihak media dunia melaporkan peristiwa kes pembunuhan ini.

Anehnya, reaksi daripada kerajaan Korea Utara menimbulkan pelbagai persoalan. Dari mula, hasil bedah siasat koroner telah disangkal. Walaupun tidak menjalankan sebarang bedah siasat, namun mereka telah membuat rumusan tentang punca kematian Jong-nam. Korea Utara berpendapat Jong-nam sebenarnya meninggal dunia akibat serangan jantung, dan bukannya dibunuh.

Korea Utara kemudiannya menuduh Malaysia bersekongkol dengan Korea Selatan kerana kononnya kita mempunyai agenda tersembunyi. Ini adalah titik permulaan kemerosotan hubungan diplomatik di antara negara ini dan Korea Utara. Keadaan menjadi lebih teruk apabila kedua-dua negara bertindak mengusir duta-duta dari kedutaan masing-masing. Malah, warganegara kita yang berada di Korea Utara juga tidak dibenarkan pulang. Malaysia juga mengambil pendekatan yang sama dengan menyekat warganegara Korea Utara untuk pulang ke tanah air mereka.

Dalam pada itu, keluarlah pelbagai suara dari kedua-dua belah jurang politik yang terus mengecam tindakan Korea Utara yang dianggap mencabar kedaulatan negara kita. Ini menambahkan lagi kemelut yang sedang melanda.

Pada ketika ini, penulis mengajak kesemua pihak ber­kenaan untuk menimba pengajaran dari peristiwa perjanjian Hudaibiyah. Walaupun pihak musyrik pada ketika itu mempunyai kekuatan tentera yang lemah berbanding tentera Islam, dan walaupun baginda Rasulullah telah dihina oleh pihak musyrik, namun berbekalkan kehandalan baginda berpolitik, tindakannya yang mengalah dengan tuntutan musyrik itu adalah suatu strategi jangka masa panjang yang amat bijak. Hasil strategi itu, kota Mekah dibuka kepada Muslim tanpa pertumpahan darah pada tahun berikutnya.

Sekiranya pengajaran perjanjian Hudaibiyah ini diterima pakai dan diaplikasikan kepada situasi yang melanda negara kita sekarang ini, penulis yakin kemelut diplomatik yang sedang melanda dapat diselesaikan.

Pada pendapat penulis, pengajaran yang dapat dicedok daripada peristiwa perjanjian Hudaibiyah adalah sikap me­ngalah bukanlah suatu tindakan lemah. Dalam situasi yang boleh mengakibatkan hubungan diplomatik di antara dua negara menjadi tegang, ada baik sekiranya situasi itu dipandang dari suatu kaca mata yang rasional serta objektif.

Tindakan serta tutur kata secara spontan, walaupun berdepan dengan situasi yang amat mencabar, harus dan mesti dielakkan. Sekiranya tindakan diambil menurut perasaan dan hati yang baran, tidak mustahil hubungan diplomatik di antara dua negara yang telah lama dijalinkan akan terungkai sekelip mata. Ini sudah pasti akan mendatangkan kerugian yang amat nyata kepada kedua-dua pihak. Renungkan.

DATUK M REZA HASSAN ialah seorang peguam.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain