Tentang ‘penyakit’ berselfie atau berswafoto dalam Facebook ni. Kalau selfie biasa-biasa tak apalah. Ini pelik sehinggakan abang hensem rasa-rasalah ada gangguan jiwa kot dalam dirinya untuk jadi pusat perhatian.

Hairannya, ‘penyakit’ ini hinggap pada orang perem­puan sahaja.

Kalau layari Facebook di tengah malam (abang hensem ada masa panjang waktu itu) akan muncul lah sang ‘aktres’ ni.

Wajah disuakan ke Facebook dengan mata sembab dan ditulis: “...baharu selesai solat dhuha.”

Kemudian muat naik pula muka masam... “Hari ini tak dak mood.”

Kadang-kadang upload susuk tubuh bahagian tertentu... naik sikitlah badan konon.

Dihulurkan pula tangan, yang dinyatakannya “nak bengkak jari ni masak.” Tapi sebenarnya nak tunjuk cincin, ge­lang emas.

Bukan setakat selfie sahaja, tapi siap buat live lagi. Instagram pun ada live. Memasak pun nak tunjuk: “Masak untuk si dia (suami). Siap tag pada suami lagi. Eh! Si suami tu peduli pun tidak.

Ini semua dibuat sekadar nak kira berapa ba­nyak dapat like. 57, 68, 90... opss! Asal melepasi 100 like dah cukup... puas hati. Kau ini artis ke?

Yang tak seronoknya dek layan Facebook atau WhatsApp ni, hari-hari si isteri masak nasi dan telur goreng. Padahal dalam peti ais, penuh ikan, ayam, udang dan bagai. Kadang-kadang sayur jadi rosak sebab tak dimasak. Yang baharu berkahwin pula, tahi anak masih melekat di Pampers sebab isteri asyik layan ‘benda’ ni. Si suami nak tahu senang sahaja, bila nak basuh, punggung anak dah merah sebab lama sangat tak basuh.

Abang hensem ni bukan apa, risaulah kalau ‘penyakit’ berselfie yang bukan-bukan ini boleh menjemput pakej empat penyakit ini dalam diri.

Pertama, takbur yang berasal dari perkataan bahasa Arab takabbara, membawa maksud sombong.

Kedua, ujub bermaksud bangga akan diri sendiri kerana kelebihan atau sesuatu yang ada termasuk harta benda dan kecantikan.

Yang ketiga pula, riak iaitu tidak ikhlas. Antaranya, lakukan sesuatu dengan mengharap balasan setimpal. Satu lagi yang keempat, Sum’ah - seseorang yang memberitahu amalan salihnya yang sebelumnya tidak diketahui atau tersembunyi. Ya lah, apabila ibu dan bapa mentua datang ke rumah, waktu itulah baharu kau nak solat dan bertasbih.

Yang lebih pelik lagi, apabila netizen komen, marah lah pulak. “FB aku suka hati akulah,” jawabnya.

Kalau ikut pakar psikologi dan perubatan, ada istilah penyakitnya mereka si kaki selfie ini.

Antaranya, Body Dismorphic Disorder (BDD). Hasil penelitian dilakukan oleh University of Strathclyde, Ohio University dan University of Iowa ditemukan: Semakin banyak wanita melakukan selfie dan memuat naik di media sosial, semakin mudahlah dia berasa insecure atau tidak selesa dengan citra tubuhnya sendiri.

Ini lantas membawanya untuk membandingkan tubuh­nya dengan tubuh orang lain dan berfikir negatif tentang penampilannya.

“Yang bahayanya nanti, mereka pada akhirnya berasa bersalah jika tubuh mereka tak seperti yang mereka lihat dari orang lain di media sosial,” kata pakar sakit jiwa, Petya Eckler.

Satu lagi ialah gejala keperibadian narsistik. Iaitu percaya bahawa dirinya lebih baik dari yang lain, untuk te­rus-menerus mengharapkan pujian. Dia juga gagal untuk mengenali emosi dan perasaan orang lain dan tidak boleh terima kritikan.

Dan penyakit psikologi lain membabitkan eksibisionis atau kecenderungan mempamerkan bahagian tubuh tertentu kepada orang lain. Risikonya, anda pasti menjadi mangsa diperas ugut. Tanggunglah sendiri.

Apa pun, abang hensem nak ucapkan terima kasih sa­ngat kepada kerajaan Arab Saudi yang melarang jemaah haji dan umrah bergambar termasuk berswafoto di dalam Masjidilharam dan Masjid Nabawi. Ini demi memelihara kesucian dua masjid suci itu dan menghormati jemaah lain yang beribadat.

Nak abang hensem petik jugalah iaitu ketika Rasulullah SAW tiba di Miqat, baginda bersabda: “Allah memerintahkan ibadah haji dilakukan tanpa riak dan tidak dihebahkan kepada orang ramai.”

Selepas ini tak ada lah lagi dalam Facebook “Ha, ini waktu aku tawaf, bermalam di Padang Arafah atau sedang lontar jamrah.”

Dan harap-harap selepas ini pelayaran abang hensem di Facebook tidak lagi terserempak dengan selfie yang pelik-pelik ini ya kaum hawa.