Walaupun daripada aliran politik berbeza, kedua-duanya senada apabila berbicara mengenai perlunya muafakat ummah dalam kalangan generasi muda bagi menangani keresahan kaum terbesar di negara ini.

Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL dan NIZAM YATIM dengan Pengerusi Yayasan Belia Malaysia (YBM), DATUK DR. SUHAIMI IBRAHIM serta Pengarahnya, MUSTAFFA KAMIL AYUB mengenai Himpunan Generasi Muda Muslim Malaysia (HG3M) anjuran badan itu yang bakal diadakan tidak lama lagi sebagai platform untuk meningkatkan muafakat ummah.

Umat Islam memang tertekan

DALAM keadaan sekarang, memang rata-rata orang Melayu Islam tertekan dari segi ekonomi, politik dan lain-lain. Tekanan ekonomi disebabkan kos sara hidup yang tinggi. 

Kalau kita duduk di Kuala Lumpur dengan pendapatan RM5,000 sebulan, tak cukup.

Pada 16 Mei lalu kita menyambut Hari Guru. Tahukah dengan gaji pada paras sekarang, guru yang tinggal di bandar tidak boleh menampung kos hidup? Sebab itu, hari ini cikgu tiada pilihan, mereka terpaksa mencari kerja sampingan.

Sangat popular dalam statistik negara, ramai terlibat dalam perniagaan pemasaran bertingkat (MLM) adalah cikgu. Ada juga guru dan polis terlibat dengan skim cepat kaya untuk menambah pendapatan. Ini adalah antara keresahan yang berlaku.

Dalam pada itu, kita kena ingat bahawa ada tiga pemikiran konservatif yang melingkari pemikiran orang Melayu ini. Kalau setakat meluat, okeylah, dia meluat sahaja, menyampah, dia buat tak tahu sahaja. Itu satu pemikiran. Itu tidak boleh sampai tumbangkan kerajaan.

Kedua, dia benci. Kalau sudah sampai peringkat benci ini tak apalah, dia tak mahu tengoklah. Okeylah, dalam benci tapi sayang. Ketiga, marah. Bila sudah marah, tak boleh dah, dia jadi bakarlah. Terbakar kampung kita nampak, terbakar hati siapa tahu. Itu marah tu.

Jadi tiga perkara ini kena tengok, UMNO dulu inilah penyakitnya. Orang meluat mula-mula tak apa lagi, lepas itu datang benci dan kemudian datang marah. Bila marah itu, dia terjemahlah macam-macam.

Bila marah akan jadi macam Arab Spring. Oleh itu, jangan bagi rakyat lapar. Kalau perut kosong, rakyat akan hilang pertimbangan. Rasional itu sudah tak ada lagi.

Mengenai HG3M, ia diadakan bagi merangkumkan pemikiran anak-anak muda pelbagai aliran untuk menangani keresahan ini. Sama ada dia cenderung ke sebelah sana atau tidak, itu soal lain.

Tetapi soalnya, pemikiran itu yang kita nak dengar dan terima.

Teruskan kepemimpinan berhikmah

SEBAGAI seorang yang pernah terlibat dalam UMNO dan PKR, saya dapat merasakan ada masalah dalam politik kita apabila kesefahaman itu agak terlalu minimum.

Pada hari ini pula, kerajaan di Putrajaya itu, Muslim dalam 30%, 70% berada dalam segmen pembangkang. Cina pula sebaliknya, 90 % di segmen pemerintah dan 10 % di segmen pembangkang.

Jadi keadaan itu tidak stabil dan legitimasi politik Melayu tidak berlaku dengan tuntas.

Keadaan itu mengakibatkan pertembungan agak cukup tajam dalam kalangan kepemimpinan Muslim manakala rakan-rakan kita Tionghoa, mereka lebih bersatu padu dalam politik.

Oleh itu, perlu ada kekuatan baharu dalam kalangan orang Melayu untuk melihat beberapa persefahaman bersama bagi kepentingan rakyat.

Apatah lagi musim pilihan raya telah pun berlalu, maka kita boleh lebih melihat apa yang penting untuk umat Melayu.

Saya merasakan kita perlu meneruskan kepemimpinan berhikmah dalam kalangan kepemimpinan Melayu Muslim.

Langkah ini dapat merungkai kemelut sekarang apabila sebahagian besar pemimpin Melayu lebih condong untuk bertembung dan mencari titik perbezaan secara berterusan tanpa ada hujungnya.

Menerusi HG3M, kita akan memanggil anak muda daripada pelbagai latar belakang bagi membincangkan mengenai keresahan rakyat supaya ada pemikiran baharu.

Maknanya kita ingin melihat satu jalan baharu, membina muafakat, walaupun bukan semestinya penyatuan kerana penyatuan tidak mudah.

Satu lagi isu yang mahu saya sentuh adalah mengenai politiking terlalu kuat dalam kalangan kepemimpinan Melayu Muslim.

Kita lebih condong untuk menuding kelemahan dan melondeh semua orang. Akhirnya, kelihatan hampir semua institusi Melayu dilondehkan sehabis-habisnya.

Ada kelemahan betul, tetapi tidak semua kelemahan patut kita londeh habis-habisan. Tetapi apa yang berlaku hari ini, kelihatannya, sebarang kelemahan yang ada semuanya telah dilondehkan. Daripada institusi raja-raja, parti politik, birokrat, teknokrat, belia, habis semuanya dilondehkan.

Tiada apa lagi yang ditutup. Walaupun sesetengahnya betul dan kita perlu tangani, tetapi apakah semua perkara mestinya kita londehkan? Akhirnya, tiada pun jalan penyelesaiannya.